Zimbabwe mendapat manfaat yang hebat daripada konsep bestari yang didokong oleh siri-siri Dialog Antarabangsa Langkawi (LID), kata Presiden Robert Mugabe.
Beliau berkata, ini disemai terutamanya ketika di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencetuskan idea LID itu.
Mugabe berkata, Zimbabwe menggunakan idea dan prinsip perkongsian bestari dalam mengatur program dan dasarnya dengan memanfaatkan prinsip perkongsian bestari.
Katanya, prinsip itu dikembangkan menerusi tadbir urus, pembangunan komuniti, sektor swasta dan maklumat dalam menggariskan dasar dan program bagi memastikan penyertaan maksimum dalam usaha-usaha pembangunan.
Beliau berkata demikian setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi menghadiri LID yang akan berlangsung selama tiga hari di Putrajaya.
LID ialah sebahagian daripada siri-siri Dialog Perkongsian Bestari, yang mempromosikan prinsip dan amalan perkongsian bestari, untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan dan sektor-sektor lain dalam usaha ke arah pertumbuhan ekonomi.
Perkongsian bestari ialah konsep inovasi berasaskan kepada etos positif "memakmurkan jiran untuk faedah bersama".
"Idea itu mesti disokong oleh beberapa perkara ... kita memerlukan modal, kita memerlukan kepakaran dan kita memerlukan teknologi. Kesemua ini datang sebagai maklumat ataupun input," katanya.
Pemimpin berusia 87 tahun itu adalah antara pemimpin yang biasa hadir di forum LID yang pertama kali diadakan di luar pulau peranginan Malaysia, Langkawi.
Pemimpin atau wakil dari 16 negara akan menghadiri LID yang dihoskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
LID itu bertemakan "Menjana Perkongsian Bestari Untuk Transformasi Sosio-Ekonomi".
Ia akan memberi fokus kepada usaha mentransformasikan dan melonjakkan Dialog Perkongsian Bestari ke arah meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negara-negara yang menyertai.
- Bernama
