Seorang pegawai tentera berpangkat mejar yang menyertai Al-Ma'unah mendakwa ketua kumpulan itu, Mohd Amin Mohd Razali mengugutnya dengan 'pedang berkembar' kerana enggan menyertai kursus kerohanian di Benut, Pahang tahun lalu.
Jamaluddin Darus, 40, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau "melihat pedang berkembar berterbangan di hadapan keretanya" selepas enggan hadir ke kursus itu di pondok An-Nur.
"(Pedang itu terbang) sebagai amaran," katanya, sambil menambah beliau bagaimanapun terus ke pondok itu selepas peristiwa tersebut.
Jamaluddin juga menjelaskan beliau ke Bukit Jenalek, Perak pada 30 Jun tahun lalu untuk menjalani latihan kerohanian, termasuk amalan berzikir dan "mengikut apa yang disuruh oleh guru (Mohd Amin)." Beliau juga menambah, latihan tentang "rahsia dalam rahsia."
Apabila ditanya peguam belanya, Zabidi Mohamad, maksud "rahsia dalam rahsia," Jamaluddin berkata istilah kerohanian itu berkaitan "benda atau perkara yang kita tidak sangkakan akan berlaku, itu adalah satu pelajaran baru."
Beliau juga menjelaskan anggota Al-Ma'unah merancang latihan menggunakan senjata bersama tentera dan mengambil senjata daripada dua kem di Perak.
Menurutnya lagi, pada 2 Julai tahun lalu, lima atau enam anggota tentera di kem 304 Grik, Perak membantu beliau memungahkan senjata ke dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.
"(Ketika di kem itu) saya tidak menggunakan sebarang ugutan atau paksaan (ke atas angota-anggota tentera di kem tersebut)," kata Jamaluddin, sambil menambah beliau mengikut Amin kerana percaya pemimpin kumpulan itu seorang yang jujur dan tidak pernah menipunya.
Ramai ahli kumpulan dan malah bukan ahli kumpulan itu turut menghormati Amin, katanya.
Bagaimanapun apabila sampai di Pos 2, Kuala Rui, Jamaluddin berkata beliau tidak berpuas hati melihat seorang pengawal tentera "memakai kain pelikat dan berbaju T."
"Saya dengan spontan menyuruh anggota tersebut membuat push-up sebanyak 10 kali. Selepas itu saya mengarahkan beliau memanggil semua anggota tentera berbaris di kawasan lapang dan seterusnya saya memberikan beberapa teguran dan mengarahkan mereka membuat push-up , ketuk ketampi, berjalan itik dan lain-lain (hukuman mendera) lebih kurang 15 ke 20 minit," jelas Jamaluddin dengan lancar.
Seramai 19 orang lagi anggota kumpulan Al-Ma'unah diarah membela diri selepas pihak pendakwa menamatkan sesi dan mendapati wujud prima facie dalam kes yang pertama kali di negara ini.
Mereka dibicarakan di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan atau berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup.
Sebelum ini, 10 orang anggota kumpulan itu mengaku bersalah atas tuduhan pindaan dan masing-masing dihukum penjara 10 tahun.
Mereka dituduh mengambil senjata dari Pos 2, Kem 19, Kuala Rui, Lebuhraya Timur Barat, Gerik, Hulu Perak; Batalion 304 Gerik, Kem tentera Hulu Perak dan Bukit Jenalek antara bulan Jun dan Julai tahun lepas.
Perbicaraan bersambung esok.
