BERITA

WAY undang belia diolog, larang demo

Elissa Helmy

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Jun 2011, 8:27 pagi

Presiden Perhimpunan Belia Sedunia (WAY), Datuk Idris Haron menasihati golongan belia supaya jangan "membuang masa" menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 yang diatur pada 9 Julai ini.

Sambil menganggap ia perhimpunan haram, beliau berkata, kaum belia perlu sedar terhadap kewujudan pihak tertentu yang mahu mengeksploitasikan peranan mereka demi mencapai kepentingan pihak tertentu.

NONE Jelasnya, sekiranya belia tetap berminat berhimpun, pihaknya menyarankan supaya mengikuti program Dialog Antarabangsa Belia Melaka anjuran WAY pada 26 hingga 29 Jun ini di Everly Resort Tanjung Kling, Melaka terlebih dahulu.

Ini kerana, katanya, antara objektif dialog kali ke-11 itu adalah untuk menyedarkan belia tentang usaha pihak terbabit yang sengaja mahu memperalatkan golongan belia demi kepentingan agenda mereka.

"Belia tidak seharusnya melepaskan peluang menyertai dialog tersebut kerana melaluinya, belia diberi kesedaran tentang hak dan peranan mereka dalam pembangunan negara selain penyalahgunaan tenaga belia untuk tujuan tertentu.

"Dialog kali ini membawa tema 'Membentuk Generasi Usahawan Masa Hadapan' namun ia turut mengandungi perbincangan secara global tentang penyalahgunaan kuasa pihak tertentu ke atas belia bagi mencapai kepentingan pihak tertentu," katanya.

Idris yang juga ahli parlimen Tangga Batu berkata, dialog tersebut amat bertepatan dengan perkembangan isu semasa yang sedang melanda negara pada masa ini terutama penganjuran demontrasi BERSIH 2.0 yang akan diadakan.

"Perhimpunan ini nyata bakal menggalak kekacauan dan bakal mewujudkan keadaan huru-hara dan penganjurannya turut dikutuk pimpinan antarabangsa.

"Kepada belia, tak perlu buang masa anda menyertai perhimpunan haram itu lebih baik anda sertai dialog ini kerana ia mendidik belia untuk menjadi usahawan pada masa depan," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.