Most Read
Most Commented
Read more like this

Jualan akhbar tabloid PAS Harakah menurun sebanyak 20 peratus selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang tabloid itu daripada dijual secara terbuka dan kepada bukan ahli parti. Kementerian dalam surat amarannya kepada tabloid tersebut pada 24 Disember lalu juga mengenakan syarat agar Harakah hanya dijual di pejabat dan markas parti seluruh Malaysia. KDN memberikan tarikh sehingga 8 Januari depan kepada PAS untuk mematuhi larangannya sebelum kementerian itu bertindak.

"Jualan menurun kerana pengedar-pengedar takut menghadapi tindakan KDN," jelas Pengarah Urusan Harakah , Datuk Hishamuddin Yahya kepada malaysiakini . Ditanya apakah faktor-faktor lain yang mungkin menyebabkan jualan tabloid itu menurun, Hishamuddin beberapa kali menegaskan hanya faktor larangan kementerian.

Harakah yang diterbitkan dua kali seminggu itu dijual, menurut seorang kakitangan pemasarannya, sebanyak 300,000 pada setiap keluaran. Kira-kira 20 peratus atau 60,000 naskhah tidak habis dijual sejak operasi KDN merampas tabloid itu pada 22 dan 23 Disember lalu.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, pembaca-pembaca tidak berpuas hati dengan larangan itu dan mereka masih mendapatkan Harakah di pejabat tabloid itu di Jalan Pahang Barat.

Kementerian menjelaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap Harakah jika ia masih dijual kepada bukan ahli PAS. "Kami hanya mengikut permohonan asal dari PAS bahawa buletin parti hanya untuk ahli-ahli dan berkaitan aktiviti-aktiviti parti," tegas Penolong Ketua Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan, Tengku Mahmood Tengku Ismail kepada malaysiakini

"Walaupun dijual di pejabat atau markas parti, jika ia dibeli oleh bukan ahli, kementerian akan tetap bertindak."

Hishamuddin bagaimanapun berhujah pihaknya memerlukan masa dua bulan untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan KDN. "Surat berkenaan hal ini sudah dihantar kepada kementerian tetapi sehingga kini, kami tidak menerima sebarang jawaban," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika dihubungi malaysiakini , Mahmood menyatakan pihak kementerian "akan mengkaji semasak-masaknya" permohonan memperbaharui permit Detik . Penerbitan majalah itu kini tertangguh sebanyak tiga keluaran mulai awal Disember lalu.

Menurut Mahmood, penerbit Detik telah melanggar beberapa syarat dalam permohonan asal dan menafikan isu Ahmad Lutfi Othman sebagai ketua pengarang Detik dibuat atas alasan politik. Malaysiakini difahamkan KDN turut mempertikaikan perlantikan Lutfi sebagai ketua pengarang majalah politik popular itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS