Malaysiakini BERITA

BERSIH 2.0: A Samad Said, Ambiga dan Ibrahim disiasat

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said merupakan antara yang dipanggil bagi memberi keterangan kepada polis hari ini, dipercayai berhubung puisi 'hasutan' di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan juga Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya dalam majlis berkenaan.

NONE Beliau yang popular dengan panggilan Pak Samad itu disiasat lebih sejam di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi kerana membacakan puisi berjudul Unggun Bersih dan menyampaikan ucapan ringkas di majlis tersebut.

Selain A Samad, turut disiasat mengikut undang-undang sama ialah naib presiden PKR N Surendran dan juga peguam Fadiah Nadwa Fikri tiba ke IPD Dang Wangi bagi mengiringi A Samad pada kira-kira jam 2.30 petang ini.

Difahamkan, notis serahan untuk mengadiri siasatan mengikut Seksyen 111, Kanun Acara Jenayah itu diserahkan kepada kedua-dua peguam berkenaan ketika siasatan ke atas A Samad berlangsung.

Pada masa yang sama, pengerusi jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreevenasan turut disiasat selama kira-kira dua jam, bermula jam 2 petang, berhubung perhimpunan yang akan dijalankan pada 9 Julai.

Siasatan ke atas Ambiga juga dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan juga Seksyen 27(5) Akta Polis.

Selain itu, turut disiasat hari ini ialah presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berhubung satu ucapan yang disampaikannya pada 19 Jun lalu "yang dikatakan menghasut."

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, kata Ibrahim kepada pemberita selepas disiasat selama hampir dua jam terdahulu di balai berkenaan.

"Saya telah beri keterangan sepatutnya dan tidak ada apa-apa yang saya sentuh (melibatkan hasutan).

"Percakapan (saya) dirakam oleh banyak pihak termasuk media. Jadi saya tak perlu berselindung apa-apa, jadi terpulang kepada pihak keselamatan untuk membuat keputusan," tambahnya. 

Sementara itu, pihak m edia diberitahu lewat petang ini bahawa dua orang lagi - naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar (kiri ) dan anggota Lawyers for Liberty, Latheefa Koya , juga dipanggil untuk memberi kenyataan esok .

Ahli parlimen PKR Subang , R Sivarasa juga turut dipanggil.

Kesemua mereka hadir di pelancaran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur / Selangor.