Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), tidak rela perhimpunan BERSIH2.0 diadakan di ibu negara berikutan ia bakal mengundang bala petaka buat golongan peniaga.

Penasihat Fomca, Chua Kim Tee berkata, banyak yang akan menerima kesan kerana selain boleh menyebabkan kerugian kepada peniaga, orang ramai di kawasan berhampiran juga terpaksa hidup di dalam kebimbangan.

Justeru, katanya, tindakan tegas wajar diambil kerajaan bagi menyekat penganjuran perhimpunan Bersih yang dirancang pada 9 Julai depan.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan BERSIH 2.0 kerana ia boleh menimbulkan ketegangan sekiranya tidak dikekang dari awal.

"Perhimpunan ini akan menyebabkan kesan buruk kepada peniaga di kawasan terbabit. Walaupun penganjur ada menegaskan perhimpunan berkenaan adalah aman, namun ia boleh menjadi luar kawalan, terutama apabila ramai menyertainya," katanya.

Golongan pemimpin, tegasnya patut lebih bertanggungjawab terhadap kesan buruk tersebut dan tindakan menghasut orang ramai supaya menyertai perhimpunan itu suatu yang tidak wajar.

"Pemimpin patut tahu dan sedar bahawa mereka tidak sepatutnya menghasut orang ramai menyertai perhimpunan seperti ini. Apa jua perhimpunan, kalau diadakan di jalanan, bukanlah suatu yang baik.

"Sebab itu saya berharap kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab supaya perhimpunan ini tidak diadakan," katanya.

Menurut Chua, pihak terbabit sepatutnya menggunakan saluran lain untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, termasuk di dalam Parlimen.

Katanya, apa jua permasalahan tidak sepatutnya di bawah ke jalanan dan lebih teruk lagi, menggalakkan rakyat menyertainya.

"Apabila sesuatu berlaku, rakyat sendiri yang akan susah kerana pemimpin ini tentu akan hilang entah ke mana. Ini sudah banyak kali kita saksikan di mana-mana," katanya.

ADS