Perhimpunan 9 Julai: Tiada lagi rundingan, kata polis

   

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak lagi berminat berunding atau berbincang dengan mana-mana penganjur perhimpunan pada 9 Julai ini selepas nasihat diberikan kepada pemimpin masing-masing sejak kelmarin dan semalam.

NONE Utusan Malaysia Online memetik beliau sebagai berkata mereka yang berkeras untuk meneruskan dan menyertai perhimpunan itu bakal dikenakan tindakan tegas termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Semalam, pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga, bemesyuarat dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan meminta laluan supaya pihaknya dapat menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

Pada mesyuarat itu, menurut Ambiga, Ismail melahirkan kebimbangannya jika perhimpunan aman itu diteruskan, walaupun diberi jaminan ia akan dijalankan secara aman.

BERSIH 2.0, berharap dapat berunding dengan Ismail sekali lagi minggu depan bagi mendapatkan bantuan polis bagi memastikan perhimpunan itu selamat.

Cubaan 'berlembut' gagal

Selain BERSIH, Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu - PERKASA juga berhasrat berhimpun pada hari yang sama dan telah berjumpa dengan polis.

NONE Semua ketiga-tiga kumpulan juga memberi jaminan perhimpunan mereka akan diadakan secara aman.

Sementara itu, Bernama pula memetik Khalid berkata tindakan itu diambil selepas cubaan untuk 'berlembut' atau menggunakan pendekatan berhemah seperti penerangan dan penjelasan mengenai kesan perhimpunan itu gagal dan menemui jalan buntu.

"(Dalam pertemuan dengan pihak yang mahu menganjurkan perhimpunan haram) kami beri penerangan dan penjelasan mengenai kebimbangan peniaga, pengusaha pelancongan dan orang ramai terhadap perancangan mereka untuk meneruskan perhimpunan itu.

NONE "Hasil pertemuan itu, mereka (pihak penganjur perhimpunan) ingin juga meneruskan perhimpunan. Kami telah beri penerangan dan penjelasan, mereka masih mahu meneruskan, jadi kami akan gunakan apa juga peruntukan undang-undang yang ada untuk pastikan perhimpunan ini tidak diteruskan.

Tangkap sebelum 9 Julai

"Kami telah putuskan bahawa tidak ada lagi rundingan yang akan dibuat dengan mana-mana pihak. Kami sudah beri amaran sebelum ni, bahawa kami tidak akan benarkan perhimpunan diadakan," katanya pada sidang berita di Bukit Aman, hari ini.

Khalid berkata jika perhimpunan itu diteruskan, PDRM akan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada di negara ini termasuk menahan peserta perhimpunan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

NONE PDRM juga tidak menolak kemungkinan untuk menangkap penganjur sebelum 9 Julai ini sebagai langkah mengagalkan perhimpunan itu diadakan, katanya.

Ketika ditanya sama ada polis juga akan menahan mereka yang memakai baju Patriot, beliau berkata: "Apa saja yang menunjukkan sokongan terhadap perhimpunan itu, baik kuning, merah, hijau, biru, kelabu, mana sahaja yang menggambarkan seperti memberi sokongan pada perhimpunan haram, kita akan ambil tindakan".

Malaysiakini
terkini untuk anda