Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ekoran titah Yang di-Pertuan Agong semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta mengadakan dialog dengan BERSIH 2.0.

Senator Dr Syed Husin Ali berkata, titah Yang di-Pertuan Agong semalam bermaksud bahawa Seri Paduka berharap terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak.

NONE "Saya hendak tengok sama ada PM akan ikut nasihat Agong. SPR (Surujanjaya Pilihan Raya) sudah tutup pintu. Sekarang antara BERSIH dan perdana menteri," katanya.

Bercakap dalam sidang media di lobi Dewan Negara, Syed Husin bagaimanapun tidak dapat menjawab sama ada perhimpunan 9 Julai akan diteruskan atau tidak.

"(Untuk dialog) setahu saya pada 8 hari bulan, perdana menteri dan isteri ke lapangan terbang. Sama ada perhimpunan 9 Julai diteruskan atau tidak, saya tidak dapat menjawabnya," katanya.

Bekas timbalan presiden PKR juga berkata, keputusan lanjut berhubung perhimpunan itu terletak pada BERSIH 2.0 sebagai penganjurnya.

"Keputusannya sudah tentu akan dibuat berdasarkan respons daripada rakyat sendiri," katanya.

Dewan tolak usul

Turut hadir dalam sidang media itu Senator S Ramakhrisnan daripada DAP dan Senator Mumtaz Md Nawi daripada PAS.

Kesemua mereka, kecuali perempuan, memakai tali leher kuning tanda sokongan pada BERSIH. Malah, Syed Husin sendiri memulakan sidang medianya dengan ucapan "selamat tengah hari bersih".

NONE Sementara itu, mengulas tangkapan terhadap aktivis parti politik dan NGO, termasuk bawah Ordinan Darurat yang membenarkan penahanan suspek sehingga 60 hari, Syed Husin berkata perkara itu tidak boleh dilakukan kerana belum digazet.

"(tindakan itu) seolah-olah mengharamkan warna kuning. Ia sebenarnya tidak boleh berlaku kerana belum digazetkan," katanya.

Menganggap tindakan itu "keterlaluan sangat", Syed Husin mengingatkan bahawa undang-undang negara tidak boleh diletakkan di atas perlembangan yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman.

Sementara itu, Ramakhrisnan pula memberitahu, speaker Dewan Negara telah menolak usulnya untuk membincangkan tentang perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini.

"Parlimen merupakan saluran terbaik untuk membincangkan perkara ini. Mereka cakap sila guna saluran yang betul. Parlimen tolak, Dewan Negara tolak, jadi tiada tempat untuk disalurkan," katanya.

ADS