Pagi ini adalah hari yang penting bagi N Sasinthra Devi.
Ini kali pertama wanita berusia 27 tahun itu akan mengadakan sidang akhbar bagi pihak keluarganya bagi mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi dan menuntut keadilan bagi makciknya, Sarasvathy Muthu.
Dengan memberanikan dirinya, Sasinthra berkata keluarganya langsung tidak percaya dengan keputusan kerajaan untuk menahan Sarasvathy, atau lebih mesra dengan panggilan Saras dan lima pemimpin PSM yang lain mengikut Ordinan Darurat (EO).
Beliau membidas kerajaan kerana menggunakan undang-undang yang dikhaskan untuk penagih dadah dan samseng ke atas makciknya yang berjuang bukan untuk dirinya tetapi membela golongan miskin dan terpinggir.
Walaupun cuba sedaya upaya menunjukkan ketegasan seperti perwatakan makciknya, namun Sasinthra tidak dapat menahan kesebakan dan mengalirkan air mata apabila menceritakan keadaan kesihatan wanita itu.
Tidak banyak maklumat yang diperolehi berhubung keadaan enam tahanan Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu. Namun menurut rakan-rakan Sarasvathy, beliau pernah dikejarkan ke hospital dan mengadu sakit dada.
Cebisan maklumat itu cukup meremukkan hati Sasinthra kerana setelah 19 hari ditahan, tidak ada berita yang disampaikan kepada keluarganya.
“Saras bukan sahaja pemimpn parti, tetapi juga pemimpin keluarga kami. Kami hanya tahu dia dikejarkan ke hospital... Kami benar-benar bimbang mengenainya,” kata Sasinthra sambil linangan air mata mengalir di pipinya.