Malaysiakini BERITA

S'jaya diraja: Teoh Beng Hock bunuh diri

S Pathmawathy & Wong Teck Chi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa Suruhanjaya Diraja Siasatan kematian Teoh Beng Hock mendapati setiausaha politik DAP itu membunuh diri.

NONE Katanya, suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tiga pegawai SPRM didapati telah menggunakan taktik soal siasat yang "agresif, tidak wajar, maka langgar peraturan", kata Nazri dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen petang ini.

Laporan suruhanjaya itu menyebut bahawa tindakan yang dilakukan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut. SEDUTAN LAPORAN

   

Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar.

   

Suruhanjaya itu dalam laporannya berpendapat soal siasat keempat telah menjadi faktor pencetus yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Pegawai SPRM telah memberitahu inkues dan siasatan suruhanjaya diraja bahawa soal siasat terhadap Teoh tamat pada jam 3.30 pagi dan setiausaha politik DAP itu dibebaskan. Bagaimanapun, mereka mendakwa Teoh tidak pulang tetapi sebaliknya memutuskan untuk tidur di atas sofa di pejabat SPRM.

Tetapi laporan RCI menyatakan Teoh tidak dibebaskan selepas sesi soal siasat SPRM.

Bagaimanapun, Nazri berkata, pegawai SPRM itu tidak mempunyai niat untuk membunuh Teoh.

"SPRM memulakan siasatan berikutan terdapatnya maklumat yang mengatakan bahawa ADUN Selangor dan Pakatan Rakyat terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik mereka dan bukan bagi faedah orang ramai.

"Teoh sepatutnya menjadi saksi utama bagi SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan tersebut yang melibatkan seorang ahli exco kerajaan Selangor dari DAP.

azlan "Siasatan SPRM telah memberi tekanan kepada Teoh untuk membuat pengakuan sebagai bukti," katanya.

Bagaimanapun, tambah Nazri, suruhanjaya diraja mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh.

Menurut Nazri, hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati Teoh bukan dibunuh tetapi dia merasa terbeban dan tertekan dengan sesi soalsiasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakannya yang lemah, telah menyebabkan dia membunuh diri.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil ke atas para pegawai yang terbabit yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Laporan prosiding suruhanjaya diraja setebal 124 muka surat itu merupakan keputusan sebulat suara oleh kesemua anggota panelnya yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

azlan Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan. 

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Prosiding suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Februari dan berakhir pada 10 Mei lalu.

Laporan hasil siasatan suruhanjaya itu telahpun diserah kepada Yang

di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada bulan lepas.

Berikut adalah kenyataan penuh Nazri

Jemaah Menteri telahbersetuju supaya Laporan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock (TBH) diumumkan kepada orang ramai pada 21 Julai 2011 (Khamis).

Laporan itu boleh diperolehi daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan harga RM45 senashkah bermula jam 10.00 pagi 22 Julai 2011 (Jumaat).

NONE Saya mewakili Kerajaan Malaysia ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Suruhanjaya Diraja yang dipengerusikan oleh YA Tan Sri Datuk Seri James Fong Cheng Yuen yang telah dapat menjalankan siasatan secara telus, adil dan teliti.

Suruhanjaya Diraja ini telah ditauliahkan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Januari 2011 dan telah mempersembahkan Laporan Suruhanjaya kepada baginda pada 22 Jun 2011.

Siasatan dan penyediaan Laporan Siasatan ini telah berjalan selama hampir lima bulan. Dalam mempastikan siasatan dijalankan secara

menyeluruh, telus dan adil, Suruhanjaya telah memanggil seramai 70 orang saksi yang antaranya terdiri daripada para pegawai Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pakar-pakar forensik dari dalam dan luar negara, ahli keluarga, majikan serta rakan-rakan mendiang TBH.

NONE Suruhanjaya Diraja telah diamanahkan menjalankan siasatan ke atas dua terma rujukan. Terma rujukan yang pertama ialah untuk menyiasat sama ada berlakunya apa-apa perbualan yang tidak wajar semasa pemeriksaan dijalankan ke atas TBH dan membuat syor-syor apa-apa tinadkan sewajarnya di mana perlu.

Hasil siasatan Suruhanjaya mendapati bahawasanya tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas TBH yang didapati melanggar prosedur sedia ada (para 197 laporan).

Suruhanjaya Diraja juga telah mengusulkan supaya SPRM meneliti dan mengambil tindakan penambahbaikan dalam aspek-aspek berikut:

i. kelayakan masuk ke perkhidmatan dan latihan pegawai.

ii. infrastruktur dan kemudahan asas pejabat; dan

iii. mengkaji semula prosedur-prosedur sedia ada supaya ianya lebih mantap dan berkesan.

Terma rujukan yang kedua ialah untuk menyiasat kematian TBH dan hal keadaan yang menyelubungi dan menyumbang kepada kematiannya.

NONE Hasil siasatan Suruhanjaya mendapati bahawa TBH BUKAN DIBUNUH tetapi beliau yang merasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakan beliau yang lemah telah menyebabkan beliau membunuh diri.

SPRM memulakan siasatan berikutan terdapatnya maklumat yang mengatakan bahawa ADUN Selangor dari Pakatan rakyat terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik mereka dan bukan bagi faedah orang ramai.

TBH sepatutnya menjadi saksi utama bagi SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan tersebut yang melibatkan seorang Ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) dari parti DAP. Siasatan SPRM telah memberi tekanan kepada TBH untuk membuat pengakuan sebagai bukti.

Suruhanjaya Diraja mendapati bahawa pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh TBH, sebaliknya bertujuan agar mendiang membuat pengakuan sebagai bukti agar beliau boleh menjadi saksi bagi kes penyelewengan penggunaan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor tersebut.

Fakta mengenai bunuh diri ini telah disokong oleh testimoni pakar psikitri forensik, Profesor Paul Edward Mullen yang telah diambil khidmat oleh Majlis Peguam Malaysia. Prof Mullen mengatakan TBH benar-benar membunuh diri berdasarkan perwatakan yang telah bertukar dari kumpulan berisiko ternedah bagi pembunuhan diri kepada kumpulan berisiko tinggi setelah melalui sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan.

Oleh itu, TBH BUKAN DIBUNUH oleh orang lain.

KESIMPULAN

SPRM akan meneliti dan mengambil tindakan penambahbaikan sebagaimana disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja.

Saya ingin meminta semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu ini dan memutarbelitkan fakta yang dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja dan seterusnya meminta semua pihak menghormati dan menerima hasil Laporan Suruhanjaya Diraja demi menghormati keluarga TBH.

teoh beng hock macc sprm 160709 series pictures of dead body Bagi pihak Kerajaan, saya ingin melahirkan rasa yang amat kesal kepada keluarga mendiang TBH di atas kematian mendiang. Kerajaan turut bersedih dengan kejadian tersebut dan kehilangan beliau. Dengan selesainya siasatan oleh Suruhanjaya ini, saya amat berharap semua pihak, termasuk keluarga TBH dapat membawa episod ini kepada penutup dengan laporan ini.

Kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil ke atas para pegawai yang terbabit yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Suka saya memaklumkan bahawa keputusan siasatan Suruhanjaya Diraja adalah dicapai secara sebulat suara (unanimous).

Dalam laporannya, Suruhanjaya Diraja mengiktiraf kepentingan SPRM sebagai agensi yang berwibawa dalam menangani rasuah serta salah

guna kuasa dan mempunyai keyakinan bahawa SPRM akan menjadi sebuah agensi penguatkuasaan yang disegani dan diteladani oleh pihak lain.

Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan akan terus memastikan keutuhan perundangan negara terus dipelihara, usaha membanteras dan memerangi rasuah di semua peringkat dilaksanakan secara tegas dan telus, dan Kerajaan penuh yakin dan percaya dengan kewibawaan dan integriti SPRM dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.