Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: Golongan sesat mahu wujudkan komunisme
Diterbitkan:  Jul 23, 2011 10:26 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Golongan yang tertarik terhadap fahaman komunisme dan mahu mewujudkan kembali fahaman itu di negara ini adalah golongan yang sesat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

rais yatim Justeru, beliau berkata masyarakat tidak harus melayan atau terpengaruh dengan golongan tersebut yang disifatkannya sebagai golongan yang tidak memahami sejarah negara.

"Gerakan menentang komunisme mesti menyeluruh di Malaysia ini sebab ia telah diputuskan oleh sistem perundangan dan sistem demokrasi iaitu pelaksanaan atau pewujudan Parti Komunis Malaya adalah haram.

"Sebab itu, apa-apa ajaran dan amalan yang dikemukakan oleh mereka perlu dianggap haram dan tidak boleh diamalkan di negara kita," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) kali ke-35, di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata amat perlu bagi semua pihak, termasuk bekas anggota pasukan polis, memainkan peranan dalam menerangkan kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar tentang agenda golongan tersebut.

Rais berkata kementeriannya juga bercadang menggunakan khidmat bekas anggota polis yang mempunyai pengalaman luas dan hubungan baik dengan masyarakat untuk menerangkan kepada masyarakat tentang perkara itu.

NONE Sementara itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan terhadap portal berita The Malaysian Insider berikutan penyiaran gambar berkaitan perhimpunan 9 Julai lalu.

Katanya pihaknya kini menunggu hasil siasatan terutama soal kesahihan gambar-gambar tersebut.

"Kami di kementerian sangat objektif melihat dari sudut undang-undang dan tidak mahu melampaui kuasa-kuasa tertentu. Oleh itu penguatkuasa (akan) mencari jalan yang betul-betul neutral (menyiasat perkara itu) dan diredhai oleh undang-undang negara," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais menggesa semua pihak, terutama ibu bapa, agar dapat memastikan anak-anak mereka mendalami ilmu dan kemahiran penggunaan teknologi serta media baru yang kini penggunaannya semakin meluas.

Katanya ini bagi memastikan masyarakat negara ini tidak ketinggalan dan tidak mudah diperdaya oleh agenda jahat masyarakat Barat yang boleh memporak-porandakan tamadun dan budaya masyarakat Timur.

"Jangan tamadun kita ditukar oleh orang lain, yang elok-elok budaya kita sudah tidak ada lagi. Orang boleh memfitnah kita, boleh memperbodoh kita, jadi penting untuk kita mengetahui penggunaannya," katanya.

Pada majlis itu, Rais turut menyerahkan 20 netbook 1Malaysia kepada anak-anak bekas anggota polis dan cek bernilai RM40,000 daripada kementerian untuk persatuan tersebut.  

- Bernama

ADS