BERITA Malaysiakini

Liwat II: Anwar mohon temu bual Najib, Rosmah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan satu notis usul memohon pihak pembelaan dibenarkan  menemu bual lima saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes liwatnya sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos.

rosmah mansor najib 250609 02 Dalam permohonannya yang difailkan menerusi Tetuan Karpal Singh & Co pagi ini, Anwar selain menamakan Najib dan Rosmah, turut menamakan tiga saksi yang lain.

Mereka ialah Hasanuddin Abd Hamid pemilik unit kondominium di mana kejadian didakwa berlaku; bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Anwar di dalam notis itu menyatakan bahawa mengikut undang-undang adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan semua kos ditanggung pihak pendakwaan.

Di dalam afidavit sokongannya, Anwar menyatakan bahawa peguamanya, SN Nair menerima sepucuk surak daripada Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields bertarikh 18 Julai bahawa Mohd Rodwan, Najib, Rosmah dan Musa enggan ditemu bual tetapi bersetuju untuk menjadi saksi pihak pembelaan dengan syarat sapina dikeluarkan terhadap mereka.

azlan Sementara itu, Hasanuddin enggan ditemu bual kecuali jika ia dilakukan dengan kehadiran peguamnya, kata Anwar dalam afidavitnya.

Anwar berkata jika kesemua saksi berkenaan gagal hadir untuk ditemu bual peguamnya, beliau telah dinafikan hak untuk satu perbicaraan yang adil.

Daripada 25 orang yang dikenal pasti untuk ditemu bual pihak pembelaan, hanya lima ditemu bual setakat ini.

Mereka ialah bekas ratu pecut Datuk Mumtaz Jaafar; Dr Mohd Osman Abd Hamid, bekas doktor Pusrawi; adik perempuan Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan; seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali sebagai Dr Daniel dan Khairil Anaz Yusof, bekas pegawai khas Najib semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada 13  Julai, hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 8 hingga 26 Ogos untuk mendengar hujahan pihak pembelaan.

NONE Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin ( kiri ) memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu ketua pembangkang itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang merupakan pengadu kes itu ialah saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Pada penghujung kes pendakwaan, pihak pendakwaan mengemukakan 71 saksi, yang mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwar bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.