mk-logo
Berita
Utusan belum perlu bayar tunggakan bonus lagi
Diterbitkan:  Jul 28, 2011 4:22 AM
Dikemaskini: 5:08 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Utusan Melayu (M) Bhd bagi mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan yang mengarahkan syarikat akhbar milik Umno itu membayar tunggakan bonus dua bulan gaji kepada petugasnya bagi 2009.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Abang Iskandar Abang Hashim di kamarnya pagi ini.

"Mahkamah menetapkan 14 September bagi mendengar permohonan semakan kehakiman,” katanya.

Utusan Melayu diwakili oleh peguam S Rutheran.

Pada 24 Mei Mahkamah Perusahaan memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar tunggakan bonus dua bulan gaji kepada petugasnya.

Presiden mahkamah itu Susila Sithamparam berkata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang membawa kes itu ke mahkamah telah membuktikan bahawa Utusan Melayu mencatat keuntungan pada tahun berkenaan.

Kata beliau dalam penyata beraudit 2009 yang terkandung dalam laporan Tahunan 2009nya, Utusan Melayu mengisytiharkan bahawa ia mencatat keuntungan kumpulan berjumlah RM5.121.

"Responden (Utusan Melayu) tidak boleh menolak hakikat bahawa ia adalah sebuah syarikat pemegangan dan mempunyai anak syarikat. Mahkamah berpendapat perkataan "keuntungan" atau "profit" dalam Perkara 44 Perjanjian Bersama membawa maksud keuntungan yang diraihnya sebagai sebuah syarikat pemegangan pada 2009.

"Kesatuan itu telah membuktikan responden (Utusan Melayu) mencatat keuntungan pada 2009," katanya.

Susila memerintahkan Utusan Melayu mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama dengan serta-merta.

NUJ membawa kes itu ke mahkamah pada 23 Mac tahun lalu apabila Utusan Melayu tidak membayar bonus dua bulan gaji kepada petugasnya untuk 2009 dengan alasan sehingga 31 Dis 2009, penerbit akhbar Utusan Malaysia itu mengalami kerugian RM26,169,490 sebagai syarikat individu.

NUJ memohon mahkamah memerintahkan syarikat itu supaya mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama bertarikh 5 Sept 2006 yang ditandatangani antara NUJ and Utusan Melayu (M) Bhd.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini