Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar hanya mampu mendepa tangan dan mengangkat bahu ketika ditanya mengenai masalah birokrasi dalam membersihkan daftar pemilih.
Wan Ahmad memberi reaksi sedemikian ketika mengulas mengenai amalan sedia ada yang mewajibkan waris pengundi yang meninggal dunia supaya memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila keadaan itu berlaku.
Jelasnya, JPN hanya dapat mengemaskini data berkenaan apabila mendapat laporan daripada waris berkenaan – yang membolehkan SPR mengemaskini data berhubung pengundi berkenaan.
"Tapi bawah sistem sedia ada, balai polis yang mengeluarkan permit mengkebumi jenazah tidak dirangkaikan dengan JPN.
"Kita tidak boleh hanya padamkan nama orang dalam daftar pemilih," katanya lagi yang mengundang keluhan daripada kira-kira 300 orang yang hadir di majlis forum anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) itu.
Bercakap dalam debat pusingan kedua bersama pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Wan Ahmad turut menjelaskan bahawa SPR berusaha membersihkan sehingga 7,000 nama pengundi yang meninggal dunia daripada daftar pemilih setiap bulan.
Menjawab soalan berhubung cadangan supaya pemilih didaftarkan secara automatik sebaik mencapai usia layak mengundi pula, Wan Ahmad berkata cadangan berkenaan boleh dikemukakan kepada kerajaan.
"Tetapi dalam sistem sekarang, kerajaan perlu setuju dengan pindaan itu dahulu, barulah rang undang-undang itu boleh didrafkan oleh Peguam Negara.
"Kita mungkin fikir perkara itu betul tapi ada orang yang berfikiran berlainan," katanya lagi yang menambah rakyat juga perlu diberi hak untuk memilih sama ada mereka mahu mendaftar sebagai pemilih.
Jawapan itu nyata tidak memuaskan hati beberapa orang yang hadir sehingga ada yang mencabar Wan Ahmad supaya bertindak meletak jawatan atas dasar prinsip sekiranya cadangan mereka enggan diterima oleh kerajaan.
Wan Ahmad turut dicabar sekali lagi supaya mendedahkan cadangan pindaan yang dikemukakan olehnya kepada kerajaan sebelum ini agar dapat memulihkan persepsi yang timbul terhadap badan pengurus pilihan raya itu.
Pengerusi jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata, SPR perlu tegas dalam mengemukakan pindaan itu atas dasar prinsip.
Seorang lagi yang mengemukakan soalan, Datuk KC Vohrah berkata, Peguam Negara tidak berhak untuk menentukan perkara yang betul atau salah bagi pihak SPR.
"Saya tidak faham mengapa Peguam Negara perlu draf undang-undang anda.
"Sepatutnya anda pergi kepada peguam negara dan pertahankan pendirian anda," kata Vohrah lagi yang merupakan bekas penasihat kanan di Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu, moderator forum berkenaan, Tan Sri Ramon Navaratnam turut meminta hadirin supaya mengangkat tangan sekiranya mereka melihat SPR sebagai badan yang tidak bebas.
Hampir semua yang hadir di majlis berkenaan mengangkat tangan apabila ditanya sedemikian.
Wan Ahmad dalam penjelasannya kemudiannya sekadar berkata, permintaan itu terlalu besar dan para hadirin sepatutnya perlu lebih munasabah.
"Anda perlu munasabah kerana kita bekerja dalam sistem. Hakim juga boleh tekankan apa saja reformasi tapi kita perlu bekerja di dalam sistem," katanya lagi dalam forum yang turut disertai peguam veteran Datuk Mohd Shafee Abdullah.