Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, Marina Yusoff akan mendedahkan hubungan Perdana Menteri, Datuk Seri Mahathir Mohamad dengan beberapa wanita dan skandal para pemimpin Barisan Nasional tidak lama lagi. Marina memberitahu malaysiakini hari ini bahawa beliau akan membuat pengumuman itu "pada masa dan tempat yang sesuai."
Semalam, bekas pemimpin utama wanita Umno dan Semangat 46 itu mengulangi hasratnya untuk mendedahkan hal itu setelah beberapa kali sebelum ini menyatakan niat yang sama. Beberapa hari selepas bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada September 1998, ketika menyampaikan ucapan di kediaman Anwar di Bukit Damansara, Marina pernah mendakwa hal yang sama dan dalam kempen pilihanraya umum November lalu, beliau mendakwa mempunyai "senarai 19 orang wanita yang pernah mempunyai hubungan dengan Mahathir."
"Saya akan mendedahkan siapa teman-teman wanita Mahathir," kata Marina di majlis pelancaran kempen boikot tiga media utama Utusan Malaysia , New Straits Times dan program berita 'Buletin Utama' stesen televisyen, TV3 semalam. "Saya tahu pemimpin BN yang melakukan liwat."
Menurut Marina, isu skandal pemimpin BN itu bukan sekadar satu gimik politik.
Beliau juga bercadang 'membongkar rahsia' peristiwa rusuhan 13 Mei 1969. "Saya tahu di mana letaknya kubur mangsa-mangsa rusuhan 13 Mei yang tidak bertanda," katanya, sambil menegaskan bahawa pemimpin Umnolah yang terlibat dalam peristiwa itu. "Semua maklumat tentang peristiwa ini pernah diberitahu kepada saya oleh [Perdana Menteri waktu itu] Almarhum Tuanku Abdul Rahman Al-Haj."
Bulan lalu, Marina dituduh di mahkamah di bawah Akta Hasutan kerana mendakwa "pemimpin Umno menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969."
Sementara itu Ketua Pemuda KeADILan, Mohamad Ezam M.Nor, mendakwa beliau telah menerima "satu bungkusan" dokumen sulit berkenaan anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menurutnya, dokumen itu mengenai kontrak perniagaan makanan selama 15 tahun oleh Universiti Putra Malaysia itu diterima sehari sebelum majlis berkenaan.
