BERITA

'DAP cetus perbalahan Cina tentang Cina'

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Ogs 2011, 12:46 pagi

Tiada cara untuk wujud 'small China' di Malaysia kerana ia bukan sesuatu yang baik untuk negara, kata presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.  

Beliau berkata MCA menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan apa yang ia ingin lihat ialah kesederhanaan, bukan saja toleransi tetapi juga penerimaan hakikat bahawa ini adalah sebuah negara berbilang kaum.  

Dalam hal ini, Soi Lek menyelar strategi DAP mencetuskan perbalahan Cina menentang Cina terhadap MCA untuk memenangi hati dan fikiran rakyat.  

"Oleh kerana DAP bukan parti memerintah, mereka boleh menimbulkan ekpektasi masyarakat Cina...mereka timbulkan ini dalam erti jika mereka berkuasa mereka akan membina lebih banyak sekolah dan lebih menjaga masyarakat Cina.  

"Ini mengelirukan kerana DAP, dengan bersendirian, tidak akan dapat membentuk kerajaan.

"Sebabnya mudah, mereka hanya tumpukan perhatian kepada kerusi Cina sedangkan bilangan kerusi majoriti Cina di Parlimen paling banyak 45, daripada sejumlah 222 kerusi (yang dipertaruhkan).

"Jadi, DAP perlu bergabung dengan parti lain yang bergantung pada sokongan kaum lain. Dalam hal ini, mereka memilih PAS dan PKR, jadi apa yang dijanjikan oleh DAP jika mereka berkuasa akan 'serap' kerana parti komponen lain perlu menjaga kepentingan kaum lain,"  katanya dalam sidang akhbar sempena Konvensyen MCA Sabah di Kota Kinabalu hari ini.  

Soi Lek berkata BN bukanlah sempurna sepenuhnya tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang melakukan yang terbaik untuk mentransformasi ekonomi dan rakyat Sabah perlu menyokong inisiatif ini.   

Beliau menggesa semua 25 bahagian MCA di Sabah supaya bersiap sedia bagi membantu parti-parti komponen BN memenangi pilihan

raya umum akan datang.   

"Di Sabah, bilangan anggota MCA terus bertambah dan hari ini kita mempunyai kira-kira 60,000 anggota dengan satu kerusi negeri.  

"Kita tidak akan bincangkan soal peruntukan  kerusi secara terbuka, kita serahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri dan ketua menteri Sabah, sebab pada akhirnya kita mesti memenangi pilihan raya umum ini, jadi peruntukan kerusi akan berdasarkan pada parti dan calon yang boleh menang," ujarnya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.