Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Larang pembesar suara bukan keputusan negeri'
Diterbitkan:  Aug 15, 2011 11:25 AM
Dikemaskini: 5:28 AM

Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri yang melarang penggunaan pembesar suara sebelum azan subuh, kata Exco Hal-Ehwal Agama Abdul Malik Kassim.

abdul malik pc 120811 01 Sebaliknya, menurut beliau, keputusan itu dibuat pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad dan dianggotai oleh para ulama,  professional agama serta wakil daripada istana.

“Justeru, saya menolak dengan sekeras-kerasnya tohmahan pihak yang mengaitkan pimpinan kerajaan negeri terlibat dengan keputusan Majlis Fatwa tersebut.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang  menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang  bil. 2/2011 yang bersidang  pada 7 April 2011, mengenai  hukum membaca Al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa mesyuarat Majlis Fatwa bilangan 2/2011 yang dipengerusikan oleh mufti kemudiannya disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil.3/2011 pada 6 Jun lalu yang memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara dari surau dan masjid sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut hukum syarak.

Boleh pertimbangkan

“Namun, kerajaan negeri berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa,” tambah beliau.

azan islam call to prayer Abdul Malik berkata mereka sebagai pentadbir institusi agama sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Menurutnya, Majlis Fatwa memutuskan bahawa perbuatan tersebut boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid demi maslahah ummah.

“Demi kepentingan politik sempit, pihak-pihak tertentu akan mengambil peluang mengekploitasi keputusan Majlis Fatwa tersebut. Pihak berkenaan pastinya akan menabur fitnah kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Islam.

“Dalam semangat  Ramadan Al-Mubarak ini, demi kepentingan umat Islam, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri bertuah ini.

“Malah, saya mengalu-alukan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa bermuzakarah dengan pihak terbabit dalam semangat saudara seagama,” katanya.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106 Sebelum ini, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya ( kiri ) berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

Turut menyokong tindakan itu adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS