BERITA

Khir Toyo: Tiga menteri mahu saya dipenjarakan

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Ogs 2011, 2:44 pagi

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo mendakwa tiga menteri persekutuan dalam jemaah menteri sekarang sedang berkonspirasi bagi beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah.

Dalam blognya hari ini, Dr Khir yang menulis mengenai ‘memohon ampun dan maaf’ sempena semangat Ramadan, berkata beliau tidak akan mendedahkan nama menteri-menteri berkenaan kerana tidak mendapat bukti yang sahih.

NONE Namun katanya, beberapa sumbernya sangat boleh dipercayai.

“Dalam bulan yang mulia ini juga saya ingin mengingatkan tiga orang sahabat yang menjadi menteri dalam kabinet sekarang agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya,” tulisnya.

Dr Khir baru-baru ini diarah membela diri berhubung kes rasuah pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.

Katanya, konspirasi itu tersebar apabila seorang daripada menteri itu dilaporkan berkata kepada dua rakannya bahawa BN mampu merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat jika dirinya didakwa.

“Seorang menteri dilaporkan berkata kepada dua orang menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan.

Kebodohan pemimpin

“Apakah mereka ini begitu besar boleh menguasai hakim perbicaraan? Saya tidak mahu percaya mereka berupaya mengarahkan hakim atau hakim akan mendengar arahan kumpulan ini,” tulis Dr Khir sambil menambah beliau masih percaya dengan kebebasan dan integeriti institusi kehakiman.

NONE Beliau juga mengingatkan ketiga-tiga menteri berkenaan, agar menumpukan kerja mereka membantu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan terutama membabitkan potfolio masing-masing.

“Kenyataan bahawa jika Khir Toyo dipenjarakan maka BN akan dapat kembali Selangor hanya menunjukkan kecetekan pemikiran pemimpin tersebut yang tidak memahami keseluruhan isu rakyat di Selangor.

“Lebih daripada itu, ia menunjukkan kebodohan pemimpin ini seolah-olah majoriti rakyat Selangor tidak cerdik dan tidak boleh menilai fakta-fakta kes di mahkamah.

“Apakah pada hemat beliau rakyat Selangor secara majoritinya dungu, bebal dan bengap yang akan mengikut skrip sandiwara beliau?” soalnya lagi.

Menurut Dr Khir, majoriti rakyat terutamanya di Selangor mahu melihat keadilan undang-undang ditegakkan tidak kira ia di pihak Umno mahu pun di pihak parti-parti lain.

Dakwaan konspirasi oleh Dr Khir timbul apabila bekas menteri besar itu diarah membela dirinya pada perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 26 September depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

azlan Beliau dipersalahkan berikutan kekalahan BN di Selangor pada pilihan raya umum 2008 selepas memerintah negeri itu daripada 2000 hingga 2008.

Berikutan keputusan yang memalukan itu, Khir berundur diri. Jawatannya sebagai pengerusi perhubungan negeri Selangor diambil alih oleh Najib selaku presiden parti Umno.

Najib kemudian melantik Datuk Noh Omar, seteru Dr Khir sebagai timbalannya dan dilihat sebagai calon menteri besar baru jika BN mampu menang pada pilihan raya negeri akan datang.

Menurut spekulasi Dr Khir yang juga ADUN Sungai Panjang tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.