Kerajaan Kelantan menyelar tindakan Petronas mahu menyalurkan pengeluaran gas di Utara Malay Basin - yang keseluruhannya bernilai RM15 bilion - ke Terengganu tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.
Exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa ( kiri ) berkata, Utara Malay Basin, telaga Bergading dan blok berkaitan - PM301, PM302 - sepenuhnya dalam perairan Kelantan.
Tambahnya, ia juga tidak bertindih dengan mana-mana negeri atau negara lain, malah 50km lebih dekat dari Terengganu.
"Adalah tidak wajar Kelantan tidak dirundingi dalam hal ini. Juga adalah tidak wajar sekali lagi Kelantan dipinggirkan dari mendapat faedah secara langsung daripada pembangunan hasil mahsul yang dianugerahkan Allah tersimpan di perut buminya," kata Husam.
Pada 23 Ogos lalu, Petronas dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa projek pembangunan pengeluaran gas di Utara Malay Basin akan disalurkan dengan paip lautan yang baru sejauh 200km ke Kerteh, Terengganu.
Husam yang juga pengerusi jawatankuasa tuntutan royalti Petroleum Kelantan menggesa Petronas meneliti semula dokumen cadangan kerajaan negeri supaya gas itu didaratkan di Bachok, Kelantan.
"Kerajaan negeri bersedia memberikan segala kemudahan bagi tujuan itu termasuk teknologi terkini yang mampu memproses gas dengan kandungan karbon yang tinggi dengan kos lebih murah dan dengan itu loji pemprosesan dapat ditempatkan di sini," kata Husam.
Katanya, kerajaan negeri akan berbuat apa sahaja supaya hasil mahsul Kelantan tidak sekali lagi diangkut keluar tanpa memberikan apa-apa faedah kepada rakyat dan negeri Kelantan.