BERITA

Kes tertunggak mahkamah turun secara drastik

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Ogs 2011, 4:01 pagi

Hanya kira-kira dua tahun, bilangan kes sivil yang tertunggak di Mahkamah Tinggi dapat dikurangkan daripada 44,873 kes pada tahun 2009 kepada hanya 5,309 kes.

zaki azmi chief justice installation event 291008 01 Hakikat ini membuatkan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berasa lega dan berpuas hati untuk melepaskan jawatan tersebut pada usia persaraan 66 tahun pada 12 Sept ini.

Namun semasa wawancara di pejabatnya di Istana Kehakiman baru-baru ini, Zaki enggan menerima pujian atas kejayaan itu, sebaliknya beliau menegaskan ia adalah atas usaha gigih semua pihak iaitu para hakim dan juga kakitangan mahkamah dalam melaksanakan misi tersebut.

Menurutnya kejayaan menurunkan kes-kes tertunggak dengan drastik telah menjadikan Malaysia sebagai contoh ikutan kepada negara-negara Common Law lain untuk belajar cara melakukannya.

Zaki berkata kejayaan Malaysia mengurangkan kes tertunggak itu dijangka turut terkandung dalam laporan Bank Dunia yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

azlan Katanya kejayaan mengurangkan kes tertunggak sebenarnya membawa keadilan kepada pihak yang terlibat, malah kalangan peguam juga mendapat keuntungan besar daripada langkah itu.

Sejak tahun 1990, katanya, kes-kes tertunggak mencecah angka puluhan ribu dan ia mengambil masa empat hingga 15 tahun untuk diselesaikan.

"Ini tidak baik untuk peniaga-peniaga dan juga mana-mana pihak yang datang ke mahkamah. Bila saya ambil alih jawatan ini target yang pertama adalah untuk menurunkan kes-kes tertunggak. Beberapa cara yang kita cuba ambil, satu daripadanya adalah menambah jumlah hakim Mahkamah Tinggi," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah menyediakan alat-alat rakaman kes di mahkamah yang mempercepatkan perbicaraan di mahkamah, selain memperkenalkan prosedur atau aturcara yang boleh mempercepatkan lagi perbicaraan kes.

Menurut Zaki, usaha mengurangkan kes tertunggak bermula pada 2009 apabila pihaknya telah membilang dan membuka setiap fail mahkamah bagi mengetahui status kes tersebut.

"Pada hujung tahun 2009, sebanyak 44,873 fail (kes sivil) di Mahkamah Tinggi (di seluruh negara), pada tahun 2010, angka itu turun kepada 9,734 kes. Sekarang ini (sehingga 1 Julai 2011) fail-fail yang ada hanya 5,309. Banyak bertanya bagaimana kita boleh turun daripada 44,000 kepada 9,000, banyak tidak percaya," katanya.

Beliau berkata sebenarnya jumlah 44,000 itu adalah fail yang tidak bergerak atau pihak-pihak yang tidak berminat hendak teruskan kes atau pun ada yang sudah meninggal dunia.

Zaki berkata bila fail dikeluarkan satu persatu-satu maka didapati banyak kes yang sudah selesai.

Katanya kes sivil di Mahkamah Sesyen pula turun 61,659 kes pada 2009 kepada 10,947 kes pada tahun 2010 dan 2,039 sehingga Julai 2011; di peringkat Mahkamah Majistret daripada 71,000 dikurangkan kepada 1,100 pada tahun 2010 dan tahun ini, tinggal 309 sahaja.

Katanya kes baru yang didaftar di Mahkamah Tinggi pada tahun 2010 berjumlah 23,900 dan dalam tempoh setahun, banyak kes diselesaikan dan hanya tinggal 6,838 kes sahaja.

Zaki juga menjelaskan mengenai kejayaan Mahkamah Tinggi Dagang Baru yang dilaksanakan pada 1 Sept 2009, bertujuan melupuskan kes dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh difailkan.

"Kes-kes NCC dilupuskan dalam tempoh sembilan bulan. Anda daftar hari ini, dan dalam masa sembilan bulan, 90 peratus daripada akan dilupuskan. NCC lebih pantas daripada mana-mana tempat di dunia," katanya.

Beliau berkata dengan kejayaan itu, NCC turut diperkenalkan di Shah Alam, Selangor, Johor Baharu, Pulau Pinang, sebelum dikembangkan ke negeri-negeri lain.

Mengenai penetapan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk mahkamah, Zaki berkata pada mulanya KPI telah disalah takrif oleh peguam yang bertanggapan bahawa hakim-hakim hendak selesaikan kes dengan cepat semata-mata untuk mencapai sasaran KPI.

Bagaimanapun, kata Zaki pihak peguam kini sudah faham niat mahkamah dan mereka turut bekerjasama membantu supaya tidak banyak kes ditangguhkan.

Ditanya mengenai tahap keyakinan rakyat terhadap bidang kehakiman negara, Zaki berkata perkara itu adalah cabaran paling sukar dilaksanakan, tetapi menurutnya, tohmahan dan surat aduan mengenai tingkah laku hakim misalnya sudah banyak berkurangan.

Zaki juga menasihati hakim supaya jangan mengambil masa terlalu lama untuk menulis alasan penghakiman, selain mengesyorkan supaya memendekkan alasan penghakiman.

"Tetapi saya tidak melarang mana-mana hakim jika sekiranya dia nak tulis alasan panjang-panjang. Cuma, jangan mengambil masa untuk menulis alasan penghakiman," katanya.

Ditanya apakah kriteria seorang hakim yang baik, Zaki berkata seorang hakim yang baik bukan sahaja boleh dinilai daripada penghakimannya tetapi meliputi semua aspek.

"Seorang hakim dia mesti adil, mesti sabar, tapi bukan sabar sehingga kes tak jalan. Dia mesti mengendali kes di hadapannya dengan betul, adil. Buat keputusan yang baik," katanya.

"Dia menulis penghakimannya dengan baik dan dia turut menguruskan kesnya dengan baik. Itulah kualiti seorang hakim. Setengah hakim tulis penghakiman yang cantik tapi berbulan-bulan tak siap pasal dia nak buat penghakiman yang sempurna," katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.