Indonesia sambut Aidilfitri Rabu ini

   

Umat Islam di Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidifitri pada Rabu ini, demikian diumumkan oleh Menteri Agama Suryadharma Ali malam semalam.

Keputusan itu merupakan kesimpulan daripada pandangan wakil-wakil kumpulan Islam, yang sebilangan daripada mereka berpendapat 1 Syawal jatuh pada hari Rabu, berdasarkan hasil pemantauan anak bulan Syawal di 96 tempat di seluruh republik itu.

Daripada sejumlah tempat itu, sebanyak 30 tempat menghasilkan keputusan tidak melihat anak bulan dan cuma tiga tempat yang menyatakan melihat anak bulan namun ketiga-tiga hasil penemuan itu ditolak kerana ia tidak sesuai secara keilmuan.

Walaupun kerajaan telah menetapkan 1 Syawal pada Rabu, para anggota Muhammadiyah, salah satu kumpulan Islam terbesar di Indonesia akan tetap merayakan Aidilfitri hari ini.

Wakil Muhammadiah pada mesyuarat itu telah memohon izin daripada Suryadharma untuk kumpulan itu menyambut Aidilfitri hari ini.

Kumpulan itu juga meminta pihak berkuasa melindungi keselamatan para anggota kumpulan itu yang akan menunaikan solat Aidilfitri mendahului sehari lebih awal daripada umat Islam lain.

Sambutan Aidilfitri kumpulan itu sesuai dengan penetapan yang dibuat oleh pimpinan pusat Muhammadiah berdasarkan kaedah kiraan falak yang mereka gunakan.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda