BERITA

Jerebu kembali melanda negara

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Sep 2011, 1:23 pagi

Beberapa kawasan di negara ini akan dilanda jerebu selama beberapa hari kerana tidak menerima hujan untuk lima hari berturut-turut.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan berkenaan ialah Arau (Perlis), Kota Setar (Kedah), Seberang Perai Utara (Pulau Pinang), Kinta dan Manjung (Perak), Kepong, Klang, Petaling dan Sabak Bernam (Selangor), Batu Pahat (Johor) dan Miri (Sarawak).

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) malam tadi keadaan berjerebu yang melanda sekitar kawasan Lembah Klang, negeri-negeri di utara Semenanjung, Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa daerah di Pahang pagi ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan akibat kebakaran yang berlaku di Sumatera, Indonesia.

haze in kl 120609 Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan diminta bekerjasama memadamkan kebakaran kecil serta melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

JAS juga mendapati kualiti udara di kebanyakan tempat di seluruh negara hari ini mencatat paras sederhana pada sebelah pagi.

Semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 14 kawasan mencatatkan paras baik dan 38 mencatatkan IPU sederhana.

Antara kawasan yang mencatatkan IPU sederhana ialah Shah Alam, Selangor (84), SK Jalan Pegoh, Ipoh, Perak (83) dan Pelabuhan Klang (81) manakala kawasan yang mempunyai IPU sihat, Sarikei, Sarawak (30), Sri Aman, Sarawak (31) dan Kuching, Sarawak, (32).

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.