Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pensyarah bela Tunku
Diterbitkan:  Sep 9, 2011 11:08 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Keputusan mencapai kemerdekaan melalui rundingan dengan British oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau UMNO pada 1956, adalah hasil kebijaksanaan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj demi mengelak lebih banyak pertumpahan darah dan kerugian jika dituntut dengan kekerasan.

Menurut Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zainal Kling, UMNO ketika itu sedar tidak ada gunanya menentang British kerana masyarakat di Tanah Melayu tidak mempunyai senjata, sedangkan British adalah kuasa imperial terkuat dunia ketika itu.

Menurut Zainal, tiga pihak yang terlibat dalam rundingan itu adalah Raja-raja Melayu, delegasi rakyat (diketuai Tunku Abdul Rahman) dan kerajaan British di mana rundingan lebih berkisar tuntutan Tanah Melayu untuk diberikan 'self-government' iaitu pemerintahan sendiri orang Melayu di Tanah Melayu.

"Kita menuntut self-government bukan sahaja untuk pemerintahan Tanah Melayu, tetapi juga menguasai hubungan luar dan pertahanan negara melalui konsep penentuan nasib sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama .

Ini berbeza dengan perjuangan golongan haluan kiri seperti Parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng yang mengikut cara konfrontasi, yang bukan untuk tujuan murni mencapai kemerdekaan tetapi untuk menubuhkan negara komunis.

Zainal berkata, golongan berhaluan kiri terutamanya komunis tidak memperjuangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu itu sendiri, sebaliknya lebih ke arah agenda mereka menubuhkan negara komunis.

Menurutnya lagi, komunis memberontak atas nama melawan penjajahan British, jadi istilah negara di bawah jajahan British itu adalah istilah golongan berhaluan kiri, sebaliknya istilah rasmi yang digunakan ialah negara di bawah pentadbiran British.

"Berbeza dengan orang Melayu, komunis melakukan perjuangan bersenjata kerana mereka menggunakan senjata-senjata yang dibekalkan oleh pihak British sendiri kepada Tanah Melayu ketika menentang tentera Jepun terdahulu.

"Dan walaupun kemerdekaan berjaya dicapai, komunis yang terpaksa menyerah kalah dan harus menyerahkan senjata, masih berusaha menyebarkan propaganda penubuhan negara komunis sehingga membawa kepada pengharaman pihak itu," katanya.

Menurut Zainal, pengharaman komunis adalah kerana ia bertentangan dengan agama Islam, agenda penubuhan negara komunis akan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu dan mereka lebih cenderung untuk melakukan pemerintahan yang berkonsepkan keganasan dan penindasan.

Zainal berkata, sistem demokrasi berperlembagaan dipilih berbanding dengan sistem komunis kerana sistem yang berasal dari teori Karl Marx dan Friedrich Engels itu tidak membenarkan sebarang penubuhan dan parti politik yang mempunyai ideologi berbeza, sekaligus menidakkan kebebasan bersuara.

Sementara itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata visi jauh Tunku dan Datuk Onn Jaafar ketika itu berjaya meminimumkan pengorbanan yang melibatkan titisan darah waima untuk kemerdekaan sekali pun.

Beliau berkata, usaha rundingan yang diilhamkan oleh Tunku lebih bersifat diplomatik dan rasional berbanding golongan berhaluan kiri yang lebih cenderung melakukan konfrontasi.

"Paling penting, di atas kebijaksanaan Tunku, kita dapat menyatukan negeri-negeri Melayu yang ada dalam negara kita dalam membentuk gagasan negara bersifat persekutuan, serta dapat juga membebaskan negeri-negeri yang ditadbir secara terus oleh British seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

"Mungkin Tunku berfikir apa ertinya merdeka kalau anak watan lebih ramai terbunuh, sedangkan kita nak bangunkan modal insan, nak jamin supaya anak cucu cicit wujud, kita nak merdeka dengan kewujudan generasi yang bertunjangkan keturunan kita sendiri," katanya.

Sebaliknya, menurut Md Shuib, jika generasi terdahulu lebih mengutamakan fahaman yang diamalkan golongan berhaluan kiri, kemungkinan besar proses kemerdekaan itu sendiri akan lambat serta Persekutuan Tanah Melayu tidak akan terbentuk.

"Pemimpin-pemimpin kita terdahulu sudah nampak, kalau berperang dengan British, secara tidak langsung lebih ramai rakyat negara kita akan terkorban akibat kekurangan pengalaman berperang, senjata dan sebagainya.

"Inilah kebijaksanaan pemimpin kita yang berpandangan jauh, dapat menilai sejauh mana pengorbanan yang diperlukan dan meminimumkan korban akibat konfrontasi," katanya.

Md Shukri berkata, pemimpin-pemimpin terdahulu lebih rasional sehingga mengangkat nilai nyawa menjadi salah satu elemen daripada aspirasi nilai-nilai murni dalam usaha ke arah kemerdekaan negara.

Dr Zainal mahupun Md Shukri mengakui tidak dapat memahami atau menduga sejauh mana kedangkalan pemikiran Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang secara tiba-tiba cuba mengangkat Mat Indera yang jelas seorang komunis sebagai hero kemerdekaan.

Md Shukri berkata Mohamad Sabu selamanya akan hidup dalam dosa terhadap rakyat Malaysia dan negara tercinta jika betul itulah yang dikatakannya dan usaha beliau untuk menulis semula sejarah tanah air.

--Bernama

ADS