Berita Malaysiakini

Saman RM200j Tajudin selesai luar mahkamah

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kes saman RM200 juta bekas Pengerusi Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli terhadap sebuah portal berita kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam proses perbincangan menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Perkara itu dilapor dimaklumkan oleh Peguam George Miranda yang mewakili The Malaysian Insider dan wartawannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Harmindar Singh Dhaliwal hari ini, lapor Bernama .

tajudin ramli mas 070910 Agensi berita nasional itu juga melaporkan, mahkamah menetapkan 28 September untuk pengurusan kes saman melibatkan kedua-dua pihak.

Hakim menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin, Miranda yang mewakili syarikat serta pegawai dan wartawan portal terbabit di dalam kamar.

Pada 18 Ogos lepas, Tajudin memfailkan saman berjumlah RM200 juta terhadap portal itu berikutan penerbitan artikel yang didakwanya memfitnah beliau.

Beliau menamakan syarikat The Malaysian Insider Sdn Bhd sebagai defendan pertama serta Ketua Pegawai Eksekutif Jahabar Sadiq dan wartawan Shazwan Mustafa Kamal sebagai defendan kedua dan ketiga.

Tajudin yang menerajui syarikat penerbangan itu dari 1994 hingga 2001, mendakwa portal berita berkenaan menerbitkan kata-kata fitnah dalam sebuah artikel pada 31 Mei 2011.

Beliau turut mendakwa portal terbabit mengulang beberapa kata-kata fitnah menerusi artikel lain walaupun telah dipohon menerusi surat supaya tidak berbuat demikian, dan pengulangan itu menunjukkan portal terbabit berniat jahat.

Tajudin berkata The Malaysian Insider membalas suratnya dengan penegasan bahawa kata-kata di dalam artikel itu bukan fitnah dan ia mempunyai pelbagai sumber maklumat.

Selain ganti rugi am untuk kecederaan dan kehilangan reputasi tidak kurang RM200 juta, Tajudin turut menuntut ganti rugi keterlaluan dan faedah.

- Bernama