PAS dakwa 'Hantu Bonceng' hina Islam

   

Pemuda PAS menyatakan kekesalannya terhadap kelemahan agensi kerajaan membenarkan filem "berbaur penghinaan kepada Islam" diterbitkan untuk tontonan umum, seperti filem Hantu Bonceng arahan sutradara terkenal Ahmad Idham.

NONE Ketuanya Nasrudin Hassan ( kiri ) berkata, filem komedi baru yang dibintangi pelawak terkenal Zizan Razak mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah.

Nasrudin berkata, terdapat dialog dalam satu babak yang berbunyi " asyhadu anna Muhammadar syaitan " (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan).

"Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa, justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan," katanya.

Filem dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM 5 juta untuk lima hari tayangan.

Selain Zizan yang sinonim dengan rancangan Raja Lawak, ia turut membariskan aktres terkenal Juliana Evans dan Jue Aziz.

Penapis teh atau cendol?

Ia mengisahkan Amran yang sering diganggu dengan hantu Maya yang mati ketika diboncengnya sebelum itu. Berbagai cara dilakukan Amran untuk menepis gangguan itu sehinggalan tanpa disedari Amran mula berubah menjadi lebih baik.

hantu bonceng the movie Dalam kenyataannya hari ini, Nasrudin berkata, filem untuk tontonan umum itu akan mencetus kekeliruan, memberi gambaran salah terhadap Islam,  dan turut merosakkan akidah masyarakat awam.

Justeru, dewan itu mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), mengapa masih wujud babak kontroversi itu.

"Apa yang ditapis selama ini? Penapis apa yang mereka pakai? Penapis tea (teh)? Atau penapis cendol yang berlubang besar?

"Sehingga masih banyak adegan yang  'menyenakkan mata' dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan," kata graduan Universiti Al-Azhar itu.

Lebih malang, Nasrudin menambah, pihak berkuasa agama didakwa seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa-apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam, seperti dalam kes blog Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara sebelum ini.

Cadang lembaga penapisan tertinggi

Nasrudin juga menyatakan kekesalannya terhadap lambakan filem tahyul dan karut untuk tontonan umum di kaca televisyen bermaharajalela di pelbagai saluran.

"Jika orang awam pun menyedari berlakunya perkara ini, bagaimana pihak berkuasa agama masih tidak menyedarinya?" soalnya lagi.

hantu bonceng the movie Sehubungan itu, Nasrudin berkata, pihaknya menggesa Finas dan LPF mewujudkan panel syariah berautoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi, terutama dalam menangani karya berkaitan Islam.

"Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulama seperti mufti atau pihak berkuasa agama, seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem.

"Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulama untuk melepaskan diri," katanya lagi.

Katanya, industri filem harus maju dan berkembang ke seluruh dunia dengan membawa imej baik tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak, semata-mata untuk dijadikan "tangkal pelaris".

Malaysiakini
terkini untuk anda