Tragedi bot karam di perairan Jungut, Nusa Penida, Bali awal hari ini meragut 11 nyawa, manakala 14 lagi penumpang dilapor hilang.
Sehingga jam 7.29 malam ini, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 11 penumpang.
Jurucakap polis Bali Agus Doeta Supranggoni berkata bot yang bernama Sri Murah Rezeki itu dilapor karam pada pukul 2.40 pagi tidak lama selepas ia mengambil sebahagian daripada peserta upacara Ngaben, iaitu upacara pembakaran mayat bagi penganut agama Hindu Bali, di Nusa Penida, Klungkung.
Beberapa media tempatan melaporkan bahawa bot berkenaan yang dikendalikan lima anak kapal, dikatakan membawa penumpang berlebihan daripada kemampuannya yang hanya boleh membawa 30 orang.
Gabenor Bali Made Mangku Pastika memberitahu wartawan tempatan bahawa bot berkenaan membawa 36 penumpang termasuk anak kapal selain peralatan muzik dan beberapa barang lain.
Made menjelaskan bahawa sebilangan besar mangsa pernah menjadi duta kesenian pada Pesta Kesenian Bali (PKB).
"Ada satu keluarga besar yang terdiri daripada empat bersaudara semuanya guru. Daripada empat saudara itu, baru seorang yang ditemui mati. Selebihnya masih dicari pasukan penyelamat," katanya.
Ada di antara penumpang itu dilaporkan membawa bersama peralatan muzik seperti gamelan dan angklung di atas bot itu.
Pasukan penyelamat yang turut dibantu nelayan tempatan meneruskan operasi mencari dan menyelamat di perairan Nusa Penida, Nusa Lembongan, Kusamba dan sekitarnya sehingga Pantai Sanur Bali, bagi mencari mangsa yang masih hilang.
- Bernama
