Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Status agama si mati cetuskan kekeliruan
Diterbitkan:  Sep 22, 2011 10:40 AM
Dikemaskini: 11:24 AM

Status agama seorang lelaki yang baru meninggal dunia telah mencetuskan kekeliruan dalam keluarganya apabila pihak berkuasa agama Islam Negeri Sembilan datang ke rumah mereka untuk menuntut mayatnya awal hari ini.

Mayat Lawrence Selvananthan, 33, dijadualkan dibawa ke sebuah gereja di Seremban pada jam 3 petang ini untuk upacara pengebumian, tetapi keluarganya telah dihalang oleh pihak polis dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEINS) yang mendakwa dia telah memeluk agama Islam.

Sepupu si mati, yang hanya mahu dikenali sebagai Jenny, berkata angggota polis datang ke rumah keluarga tersebut di Lukut, Port Dickson pada kira-kira jam 12.40 tengahari, dan memaklumkan bahawa mereka tidak boleh meneruskan upacara pengebumian tersebut.

Katanya, anggota polis menunjukkan apa yang beliau sifatkan sebagai dokumen salinan, mengandungi butiran Lawrence dikatakan telah memeluk Islam.

"Mereka memberitahu kami bahawa dia baru memeluk tiga hari lalu. Nama dan nombor kad pengenalan adalah betul, tetapi tidak ada foto. Kami tidak pasti (kesahihan) tandatangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Difahamkan, Lawrence, seorang pemandu lori, ditemui tidak sedarkan diri dalam lorinya, oleh anggota keluarga, dan disahkan mati setibanya di hospital besar Seremban malam tadi. Punca kematiannya tidak jelas.

ADUN PKR bagi kawasan Port Dickson, Ravi Munusamy, yang menjadi orang tengah antara kedua-dua belah pihak, mengesahkan berlakunya kekeliruan antara anggota keluarga si mati dengan anggota polis dan pegawai JHEAINS.

Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya 30 pegawai datang ke rumah tersebut untuk menuntut mayat si mati, dan kedua-dua pihak masih mengadakan perbincangan ketika berita ini ditulis.

Ravi berkata pihak keluarga meragui tuntutan bahawa si mati telah memeluk Islam, kerana saksi Lawrence dikatakan berbuat demikian, tidak hadir walaupun telah diminta untuk mengesahkan tuntutan itu.

"Malah tandatangan pada dokumen itu bukan tandatangannya. Saudara  lelakinya mengesahkan ia bukan tandatangannya (Lawrence)," kata Ravi.

"Anggota keluarganya sangat sedih. Anak perempuannya kehilangan bapa dan isterinya kehilangan suami. Mereka kata, dia mengucap (memeluk Islam) di jabatan tersebut, tetapi mereka sepatutnya memaklumkan segera kepada pihak keluarganya. Kami rasa ini sangat tidak adil kepada kami," kata Jenny.

[Baca berita penuh]

ADS