Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Balu dakwa peguam SPRM fitnah Sarbaini
Diterbitkan:  Sep 23, 2011 4:11 AM
Dikemaskini: 7:36 AM

Balu kepada Ahmad Sarbaini Mohamed hari ini mendakwa peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam prosiding inkues telah memfitnah Allahyarham suaminya melalui satu kenyataan.

NONE Maziah Manap (kanan) berkata beliau kesal dengan tindakan oleh peguam SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa Penolong Pengarah Kastam Selangor itu meninggal dunia ketika cuba melarikan diri untuk berjumpa seorang rakan.

"Kenyataan (hujah peguambela) SPRM tersebut tidak disokong oleh sebarang keterangan semasa inkues dan merupakan satu tohmahan dan spekulasi oleh SPRM sehingga membabitkan nama pihak ketiga," kata Maziah dalam satu kenyataan.

Muhammad Shafee melalui satu kenyataan hujah peguambela pada 12 September lalu mendakwa, Ahmad Sarbaini berniat melarikan diri untuk bertemu seorang kakitangan syarikat pengangkutan Schenker Logistics (M) Sdn Bhd, Wan Zainalabidin Wan Zaki.

"Kenyataan akhbar tersebut dihebahkan secara meluas seolah-olah ianya satu fakta hakiki.

"Saya sangat dukacita dan sedih dengan kenyataan akhbar SPRM tersebut yang merupakan satu lagi tohmahan yang sangat zalim terhadap Allahyarham dan keluarga saya," kata Maziah dalam satu kenyataan.

Maziah mendakwa, Shafee membuat kenyataan tersebut supaya kenyataan yang diberikan oleh Allahyarham Ahmad Sarbaini dan Wan Zainalabidin kepada SPRM sebelum ini "dapat diselaraskan."

Sedangkan, katanya, hujah yang dikemukakan oleh peguam Wan Zainalabidin telahpun menyatakan bahawa:

  • Tidak terdapat sebarang bukti bahawa Allahyarham terbabit dengan salah laku rasuah.
  • Tidak terdapat sebarang sebab untuk Allahyarham takut dan cuba melarikan diri.
  • Tiada asas kepada teori SPRM bahawa Allahyarham cuba melarikan diri untuk memberikan amaran kepada Wan Zainalabidin demi memastikan pernyataan mereka menjadi konsisten.
  • Pengakuan Allahyarham yang kononnya telah diperolehi, adalah secara muslihat, perdayaan dan paksaan dan amat bercanggah dengan pernyataan awalnya di mana Allahyarham secara tegaas menafikan sebarang perlakuan rasuah
  • Pemadaman rakaman CCTV pada waktu kejadian selama tempoh lebih 22 jam seperti disahkan oleh pegawai forensik, ASP Fauziah Che Mat, menunjukkan usaha SPRM untuk menyembunyikan kejadian sebenar.
Katanya lagi, beliau menjawab kenyataan berkenaan kerana tidak sanggup lagi mendengar cemuhan yang dibuat "semata-mata untuk melepaskan SPRM daripada dipertanggungjawabkan ke atas kematian suami saya."

Beliau juga mahu pihak yang menyebabkan kematian suaminya itu dipertanggungjawabkan supaya maksud "keadilan" membawa erti kepada keluarga mereka.

Inkues berhubung kematian Ahmad Sarbaini dijadualkan akan diputuskan pada Isnin depan.

ADS