Majlis Peguam Malaysia meminta kerajaan supaya tidak menjadikan Akta Patriot yang digunapakai di Amerika Syarikat sebagai contoh dalam menggubal dua akta baru berikutan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata presiden majlis itu Lim Chee Wee.
Katanya, Akta Patriot merupakan undang-undang melampau kerana ia mencabuli serta melanggar hak asasi manusia seperti penahanan tanpa bicara oleh pihak berkuasa terhadap individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan pegnganas.
"Undang-undang ini terlalu melampau, jadi kita minta kerajaan jangan jadikan ia contoh, sebaliknya ikut undang-undang seperti di Kanada atau Australia," katanya kepada Bernama hari ini.
Lim berkata Akta Anti Keganasan 2001 di Kanada dan Akta Anti-Keganasan 2005 di Australia wajar dijadikan panduan kerana kedua-dua negara berkenaan merupakan negara anggota Komanwel manakala undang-undangnya mempunyai peruntukan yang sewajarnya dalam melindungi hak asasi manusia.
"Undang-undang di Kanada misalnya mempunyai tempoh pelaksanaan tertentu iaitu ia akan dimansuhkan apabila tidak lagi relevan dan digantikan dengan undang-undang yang sesuai dengan keadaan semasa," katanya.
Lim mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan perkara yang sama ketika menggubal undang-undang di negara ini dalam usaha membanteras sebarang tindakan subversif atau yang mengancam ketenteraman negara.
Beliau juga berkata Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia anjuran Majlis Peguam selama tiga hari bermula Isnin ini, dijangka dihadiri 1,000 pengamal undang-undang dari dalam dan luar negara.
Ia dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Bernama
