Polis didakwa halang ceramah PAS
PAS Melaka hari ini mendakwa pihak polis negeri itu menghalang partinya mengadakan ceramah politik secara terbuka. Parti Islam itu dikatakan mengganggu ketenteraman awam ketika mengadakan ceramah politik dan polis bertindak setelah menerima beberapa aduan dari masyarakat setempat. Menurut PAS, polis hanya membenarkan tiga tokoh utama parti itu - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Fadzil Noor dan Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang - berceramah sekali sahaja.
Keputusan itu diketahui PAS negeri itu setelah beberapa pemimpinnya bertemu Ketua Polis Melaka, Datuk Malik Abd Hamid, minggu lepas. Pertemuan itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung pembatalan enam permit ceramah politik di seluruh Melaka selepas pilihanraya umum November lalu.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Haji Izutdin Hassan memberitahu malaysiakini hari ini, "Ibupejabat Kontinjen Polis (IPK) mengeluarkan satu arahan yang menghalang ceramah politik secara terbuka kerana PAS didakwa telah mencetuskan ketegangan kaum dan cuba memecah-belahkan masyarakat di negeri ini."
"Polis mahu membatalkan ceramah PAS tetapi kami memohon jasa baik IPK membenarkan pemimpin tertinggi PAS menyampaikan ceramah umum apabila diundang oleh PAS Melaka."
Ketua Polis Melaka tidak bersedia mengulas isu tersebut apabila dihubungi oleh malaysikini .
Bagaimanapun menurut sumber rasmi di IPK yang tidak mahu dikenali, pembatalan permit ceramah itu bersifat sementara. Pihak polis hanya membekukan ceramah yang dijalankan sepanjang bulan Ramadhan sahaja.
"Sekiranya PAS hendak memohon permit ceramah, pihak polis tidak akan menghalang selagi parti itu mengikut garis panduan permohonan seperti yang telah ditetapkan," kata sumber itu lagi.
Menurut sumber itu, polis menerima dua laporan polis dari penduduk setempat yang membantah ceramah parti itu. Ceramah PAS, menurut laporan kepada polis itu, dikatakan mengandungi "unsur-unsur yang akan memecah-belahkan perpaduan masyarakat."
Sumber polis itu juga menyebutkan akhbar PAS, Harakah , hari ini dalam satu laporan berhubung sekatan berceramah itu sebagai tersalah tafsiran sumber polis. Menurut laporan itu, pihak polis mengarahkan, selain untuk tiga pimpinan tertinggi PAS itu, ceramah-ceramah lain hendaklah diadakan di tempat tertutup seperti di markas parti, hotel, dan dewan. Polis negeri juga tidak memberikan tempoh sekatan itu dikuatkuasakan.
Apabila ditanya sekatan baru ini, Izutdin seterusnya mendakwa terdapat "unsur-unsur tekanan politik dari Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam" kerana program ceramah di negeri-negeri lain boleh berjalan seperti biasa.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.