Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum mengkaji permohonan Harakah untuk menangguhkan arahan kementerian selepas tabloid PAS itu dikehendaki mematuhi syarat permitnya sebelum 8 Januari lalu. Dalam jawaban kepada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan KDN kepada tabloid itu pada 24 Disember lalu, Harakah memohon tempoh dua bulan untuk melaksanakan kaedah pengedaran baru. Kaedah baru itu dicapai dalam satu mesyuarat dengan para pengedarnya beberapa hari selepas kementerian menjalankan operasi merampas tabloid itu di Kuala Lumpur.
"Saya masih belum membaca surat jawaban dari Harakah ," jelas Penolong Ketua Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan, Tengku Mahmood Tengku Ismail kepada malaysiakini apabila ditanya tentang tindakan kementerian selanjutnya terhadap tabloid itu yang masih lagi diedarkan secara terbuka.
Semalam, akhbar New Sunday Times melaporkan tabloid yang diterbitkan dua kali seminggu itu masih dijual secara terbuka walaupun pihak Harakah berjanji mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kementerian agar menjualnya di pejabat-pejabat parti untuk ahli-ahli PAS sahaja.
Laporan itu mendapati tabloid itu dipamerkan di atas rak secara terbuka di sebuah kedai buku di Jalan Sri Hartamas, Damansara dan berdekatan pasar Kg Chubadak, Sentul. Akhbar harian itu juga menyebutkan walaupun pada muka depan tabloid itu tertera arahan untuk ahli PAS sahaja tetapi tidak ada sebarang pertanyaan dikemukakan kepada pembeli.
Bagaimanapun Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 baru-baru ini menjelaskan pihaknya telah mematuhi sedaya-upaya arahan yang dikeluarkan.
"Secara umumnya, kami telah mematuhi arahan KDN," kata Zulkifli. Beliau merayu kepada kementerian agar lebih bertimbang rasa sebelum mengambil sebarang keputusan lanjut berhubung pengedaran terbuka tabloid tersebut.
Menurutnya lagi, kaedah pengedaran akhbar partinya yang telah berjalan selama bertahun-tahun itu tentu memerlukan sedikit masa untuk diubah. "Bagaimanapun, kita tidak dapat menghalang sekiranya kementerian masih mahu bertindak," katanya dalam nada kesal.
Sementara itu, KDN tetap bertegas akan mengambil tindakan sekiranya mendapati laporan akhbar harian itu adalah benar. Mahmood menjelaskan kementerian akan merampas tabloid itu dan menasihatkan pengedar supaya tidak menjual secara terbuka.
"Kementerian akan membuat laporan polis setelah dua langkah ini diambil," jelasnya lagi.
