Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu teksi juga dapat pelbagai insentif
Diterbitkan:  Oct 7, 2011 6:40 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan di Dewan Rakyat hari ini membawa khabar berita gembira kepada pemilik teksi bajet persendirian.

NONE Menyedari pemilik teksi berkenaan menanggung kos operasi yang meningkat dan sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi, kerajaan mencadangkan pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

“Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;

“Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian,” kata Najib yang disambut tepukan gemuruh oleh ahli parlimen yang hadir.

Selain itu, Najib juga mengumumkan pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh bagi golongan berkenaan untuk memiliki teksi baru buatan tempatan.

Skim pinjaman itu yang diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari depan.

Bagi menjaga kebajikan pemandu serta menambah baik perkhidmatan teksi, kerajaan juga mencadangkan pemberian bantuan RM3,000 ringgit bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun.

taxi public transport malaysia 180908 01 “Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan RM1,000 akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun

mulai 1 Januari 2012.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus menaikkan imej negara yang mesra pelancong,” katanya.

Bagi semua bantuan itu, Najib berkata setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat kira-kira RM 7,560.

Beliau juga berkata pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS