BERITA

MP: Mana laporan audit?

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Okt 2011, 8:02 pagi

Ahli parlimen Pakatan Rakyat menimbang untuk mengemukakan usul khas bagi menuntut penjelasan kerajaan kerana masih belum mendapat laporan kewangan untuk tahun 2010.

Sedangkan pejabat ketua audit negara telah mengesahkan bahawa laporan audit itu telahpun siap, dakwa ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

"Mereka terkejut bila ahli parlimen belum dapat (laporan audit) sedangkan ia telah dihantar," kata Johari dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Jelasnya, beliau diberitahu demikian ketika menghubungi pejabat ketua audit negara semalam.

"Malah mereka gembira kerana mereka boleh siapkan laporan itu jauh lebih baik daripada tahun lepas," katanya.

Tambahnya, laporan berkenaan biasanya telahpun disediakan ketika menteri kewangan membentangkan belanjawan.

Macam mana nak bahas bajet

"Macam mana kita hendak bahaskan bajet jika kita belum lihat laporan sebelum ini," katanya lagi dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, perkara itu memalukan kerana perbahasan telahpun masuk hari keempat dan laporan itu masih belum diperolehi.

"Kalau sangkut di pejabat menteri, itu pelik kerana laporan itu perlu diserahkan kepada parlimen, bukannya ke pejabat menteri.

"Yang saya hairan, bagaimana ada negeri yang telah dapat laporan audit daripadada jawatan audit negara berhubung kewangan negeri tersebut.

"Selalunya akan dibentangkan (laporan) kerajaan pusat dan kerajaan negeri semuanya akan diberikan kepada kami," katanya lagi.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa negeri Kelantan telahpun mendapat laporan kewangan untuk negeri berkenaan.

Minta penjelasan PAC

Sementara itu ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof pula berkata, isu berhubung laporan audit itu telahpun ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbahasannya Isnin lalu.

"Beliau telah menempelak kerajaan kerana inilah kali pertama laporan audit tidak dibentangkan sebelum perbahasan.

"Tidak pernah berlaku di zaman (Anwar yang juga bekas menteri kewangan). Itupun, hingga sekarang tidak dibawa ke Dewan," katanya.

Tambahnya, speaker dewan boleh mencadangkan supaya perbahasan itu tidak dapat diteruskan selagi dokumen tersebut tidak diperolehi.

Ahli parlimen Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaafar dalam sidang media sama berkata beliau selaku ahli Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) juga tidak pernah menerima atau melihat apa-apa laporan audit.

"Saya rayu kepada pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid supaya buat penjelasan," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.