Most Read
Most Commented
Read more like this

Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Jui Meng akan disaman kerana kecuaiannya ketika menangani serangan wabak virus Nipah tahun lepas, seorang penternak khinzir memberitahu malaysiakini hari ini. Menurutnya, satu kumpulan penternak di Bukit Pelanduk Negeri Sembilan yang kehilangan ahli keluarga, haiwan tenakan dan harta benda dalam wabak itu kini berpakat mendapatkan penjelasan berhubung wabak yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu. "Hanya di mahkamah, kerajaan boleh dipaksa menjelaskan kedudukan sebenar wabak ini," kata seorang penternak yang tidak mahu dikenali.

Beliau berkata penternak khinzir bukan hanya menuntut pampasan untuk kehilangan nyawa, tetapi juga pampasan untuk ladang dan harta benda yang dimusnahkan pihak berwajib semasa proses pelupusan ternakan hidup secara besar-besaran. Beliau menambah, penternak akan meneruskan tindakan mahkamah walaupun MCA mengawal beberapa pertubuhan utama dalam bidang itu, misalnya Persatuan Penternak Negeri Sembilan.

Usaha-usaha penternak berkenaan untuk menarik perhatian masyarakat sebelum ini semuanya menemui kegagalan. Ketika pilihanraya umum lalu, sebilangan penternak cuba mendapatkan ruang iklan bagi mendedahkan nasib mereka di akhbar-akhbar harian berbahasa Cina.

"Iklan itu semuanya ditolak oleh pengarang," katanya kesal.

Beliau berkata walaupun ramai penternak bersedia membayar harga iklan itu tetapi pengarang-pengarang akhbar mendakwa mereka diugut oleh pemimpin-pemimpin MCA supaya tidak menerima iklan-iklan tersebut sekiranya tidak mahu lesen penerbitan mereka ditarik.

Setahun lalu seorang penternak di Sungai Nipah berdekatan Bukit Pelanduk diserang wabak yang dikenali Japanese Encephalitis (JE). Kampung Bukit Pelanduk, mempunyai 700 ladang ternakan, adalah kawasan penternakan khinzir yang terbesar di Asia Tenggara.

Selepas dimaklumkan oleh pihak berkuasa kesihatan bahawa virus penyebab wabak itu dipindahkan melalui sejenis nyamuk, kira-kira 5,000 penduduk kampung itu memulakan operasi anti-JE yang intensif, termasuklah semburan asap, suntikan beramai-ramai dan beberapa langkah keselamatan lain misalnya memakai seluar panjang dan baju berlengan panjang. Bagaimanapun, usaha ini gagal mengawal serangan virus. Seorang demi seorang, penduduk mulai demam, pengsan dan terpaksa dihantar ke hospital.

Antara Oktober 1998 dan Mei 1999, pihak berkuasa kesihatan negara ini mencatatkan 258 jumlah kes encephalitis, sekurang-kurangnya 104 kematian. Beribu-ribu khinzir ditembak mati untuk mengawal wabak itu. Bilangan kematian yang semakin meningkat memaksa penduduk meninggalkan rumah dan menumpang di rumah saudara mara di tempat lain.

Kementerian Kesihatan pada awalnya mengaitkan kebanyakan kematian dengan penyakit JE tetapi kemudiannya sejenis virus baru seakan-akan Hendra - yang pernah menyerang kuda di Australia - dikenali pasti dan ia digelar Nipah sempena sebuah kampung tempat virus itu ditemui.

Dr Chua Jui Meng sering menerima sasaran tuduhan penternak-penternak kerana beliau sering menegaskan wabak itu berpunca dari virus JE, sikap beliau yang lambat bertindak terhadap krisis tersebut, dan juga langkah kementerian berkenaan melengah-lengahkan maklumat tepat berhubung wabak itu.

Sementara itu, menurut seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan, beberapa kakitangan hospital menunjukkan tanda-tanda "kesan tindak balas antibodi yang positif" terhadap virus Nipah, tetapi tidak menunjukkan sebarang kesan serangan.

"Setakat pengetahuan saya, mereka masih sihat. Tetapi mereka perlu menjalankan pemeriksaan dan ujian darah supaya doktor dapat mengesan sebarang perubahan status kesihatan mereka yang mempunyai 'reaktor antibodi positif Nipah yang sihat'," katanya yang tidak mahu dikenali.

Selain kakitangan hospital, lebih 200 orang, sebahagian besarnya penternak khinzir, terbukti mempunyai virus Nipah dalam darah mereka. Ujian positif ini masih membingungkan dan 200 orang itu tidak jelas apakah kesan jangka panjang serangan tersebut. Lagi pun, tidak terdapat bilangan sebenar mereka yang mengidap virus itu kerana masih ramai penternak yang terlalu takut menjalani ujian darah.

Kebanyakan pembawa virus ini tinggal dalam keadaan takut tidak menentu. Dua minggu lalu, seorang penternak khinzir dari Batu Satu, Selangor, yang pernah dimasukkan ke hospital akibat serangan virus Nipah tahun lepas, disahkan mati akibat virus itu.

Bagaimanapun, menurut pensyarah itu lagi, tenaga pakar luar negara tidak perlu ke negara ini untuk menangani mangsa-mangsa virus Nipah.

"Seluruh dunia tidak mempunyai maklumat tentang serangan Nipah dan kesan-kesannya. Pakar luar negara mungkin menggunakan teknologi canggih untuk mengkaji pesakit Nipah, tetapi langkah-langkah jagaan yang segera mempunyai kesan yang sama," katanya.

Beliau mendakwa doktor-doktor di negara ini tidaklah terlalu jauh kebelakang kerana mereka juga menggunakan pengetahuan dan teknologi terkini untuk merawat pesakit.

"Masalah kami ialah dasar Kementerian Kesihatan yang tidak jelas dan tertutup mengenai Nipah. Jika kementerian lebih terbuka dan mudah berkomunikasi, doktor dan jururawat lebih mudah membincangkan tentang virus itu dan menyampaikannya kepada orang ramai."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS