Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Prof: Kesan negatif pemerdagangan manusia pada M'sia
Diterbitkan:  Oct 14, 2011 12:46 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Peningkatan kes pemerdagangan manusia dan penyeludupan masuk pendatang berkemungkinan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara, kata Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Azizah Kassim.

    

"Ia mencemar nama baik Malaysia dalam arena antarabangsa melainkan jika kerajaan menyediakan lebih banyak sumber daripada segi kewangan dan modal insan bagi membanteras kegiatan haram ini," katanya dalam satu kertas kerja yang dibentangkan pada bengkel Pemberitaan Mengenai Pemerdagangan Manusia di Kuching baru-baru ini.

    

Dr Azizah, yang juga anggota Majlis Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Pendatang (MAPO), berkata pemerdagangan manusia dan penyeludupan pendatang merupakan kegiatan yang kompleks.

    

Ia melibatkan banyak pihak seperti di peringkat negara sumber, transit dan destinasi, sindiket antarabangsa, mangsa dan mereka yang bersubahat, yang kesemuanya boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan sempadan, katanya.

Sambil memetik beberapa perangkaan, Dr Azizah berkata kes melibatkan wanita dieksploitasi tahun ini sahaja berjumlah 217 diikuti buruh paksaan sebanyak 70, melanggar undang-undang imigresen (38) dan penjualan bayi (30).

Beliau berkata selain mengancam undang-undang dan keselamatan negara, kes-kes tertentu juga mencetuskan pertikaian diplomatik antara negara berhubung layanan terhadap mangsa penyeludupan.

    

"Melawan kegiatan seperti ini memerlukan usaha besar-besaran yang bukan saja melibatkan kos tetapi juga kerjasama negara-negara yang berkaitan, agensi antarabangsa dan badan bukan kerajaan," katanya.

    

Dr Azizah berkata disebabkan keadaan politik yang tidak stabil dan kemajuan ekonomi tidak seimbang dalam rantau Asean, beberapa negara yang menikmati pertumbuhan ekonomi lebih baik seperti Malaysia, menjadi pilihan "pendatang ekonomi", sama ada secara sah ataupun tidak.

Beliau juga berkata Malaysia memerlukan bantuan termasuk pakar dalam melindungi mangsa, latihan kepada pengurus dan petugas tempat pelindungan selain untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan serta juga perkongsian kos dengan negara sumber dan transit bagi penghantaran balik mangsa.

- Bernama

ADS