Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Wanita gesa Dr Koh tak bertanding dalam PRU
Diterbitkan:  Oct 15, 2011 10:41 AM
Dikemaskini: Oct 16, 2011 7:17 AM

Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe menggesa Presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon agar tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang demi kepentingan parti.

    

Tan yang membuat gesaan itu di persidangan perwakilan kebangsaan Wanita Gerakan, di ibunegara hari ini, bagaimanapun berkata Koh boleh terus memimpin parti pada PRU berkenaan serta membuat keputusan tegas mengenai masa depan dan kelangsungan Gerakan.

    

tan lian hoe gerakan wanita chief agm 2011 2 "Saya tidak memaksa beliau berundur tetapi Wanita berharap beliau tidak akan jadi calon pada PRU itu nanti. Saya yakin beliau akan jadi lebih baik (sebagai pemimpin) jika tidak bertanding," katanya kepada pemberita selepas penggulungan persidangan sayap tersebut.

    

Tan berkata Gerakan yang merekodkan prestasi buruk pada PRU 2008 memerlukan pemimpin yang berani dan teguh sekiranya mahu terus 'hidup' selepas PRU akan datang.

    

Beliau juga mendakwa suara akar umbi semakin lantang mengkritik kepimpinan parti, dan menambah Wanita turut bimbang jika tidak ada tindakan tegas diambil oleh pucuk pimpinan sekarang, Gerakan akan terus dimalukan pada PRU akan datang.

    

"Kita nak dia ubah sedikit stail kepimpinan. Beliau perlu berani buat keputusan tepat dan jangan teragak-agak. Bila teragak-agak, persepsi rakyat dan ahli terhadap beliau ialah seolah-olah beliau adalah seorang pemimpin yang lemah.

    

"Kami mahu beliau berani membuat keputusan, tetapi ini tidak bermakna kami mahu beliau meletak jawatan," katanya.

    

Tan juga tidak bimbang kritikannya itu akan menyebabkan beliau tidak dicalonkan semula pada PRU akan datang.

    

"Saya tak ada masalah bertanding atau tidak, atau dipancung, tak ada masalah. Tapi yang penting saya mesti bertanggungjawab supaya parti tidak dipandang rendah oleh orang ramai," katanya.

    

Ahli parlimen Gerik itu turut berkata semua pemimpin parti yang telah kehilangan sokongan harus berundur daripada bertanding agar tidak melemahkan lagi semangat parti ketika menghadapi pilihan raya umum.

    

"Ini untuk survival kita, saya mahu sampaikan mesej kepada mereka supaya berundur, supaya parti kita boleh bangkit semula," katanya.

    

Terdahulu dalam ucapannya, Tan yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan mengingatkan anggota Wanita agar memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN) dan semua calonnya.

    

"Kita dah setuju bersama BN, BN adalah keluarga besar kita. Saya tak nak ada yang belot dan tak setia pada parti.  Tak kira siapa (calon BN) yang bertanding, kita mesti undi," katanya.

    

Sementara itu, dalam persidangan Majlis Anggota Seumur Hidup (LMC) Gerakan hari ini, beberapa anggota menasihatkan Koh yang mempengerusikan mesyuarat selepas Pengerusinya Tun Dr Lim Keng Yaik tidak dapat hadir kerana jangkitan pneumonia, agar lebih tegas dalam memimpin parti.

Mereka berkata Koh yang memegang jawatan itu sejak April 2007, terlalu berlembut dan ini boleh menghalang parti daripada melangkah ke hadapan.

Ditemui selepas mesyuarat tertutup itu, Sow Siew Yong yang menyertai Gerakan sejak 1976, berkata semua perwakilan menghormati Koh, namun beberapa orang mengambil peluang menyuarakan kritikan mereka.

    

"Itu sajalah, ada yang kritik dia lembut sikit dalam membuat keputusan, jadi banyak yang bangun suruh dia berubah sikit," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun kata Sow, tidak ada seorangpun yang meminta Koh melepaskan jawatan presiden.

    

Dr Chee See Choke yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Pusat parti berkata antara cadangan yang dibangkitkan LMC ialah agar Koh bertindak berani dalam perkataan dan tindakannya.

    

"Ya, tidak ada yang minta beliau berundur tapi mereka mahu beliau lebih tegas, mahu lebih banyak tindakan diambil," katanya yang menyertai Gerakan pada 1980.

    

Sementara itu,  Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin berkata semua anggota parti harus merapatkan barisan dan bersatu di belakang Koh.

    

"Beliau dipilih secara demokrasi. Suka atau tidak beliau masih presiden kita dan semua harus berdiri di belakang beliau.

    

"Saya fikir adalah suatu yang tidak betul untuk meminta presiden meletak jawatan tanpa alasan kerana kepimpinan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya untuk Koh. Tentu buruk jika Koh berjalan dan berarak sendirian tanpa siapa di belakangnya.

    

"Bukan ini yang kita mahu dalam Gerakan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran persidangan sayap itu.

- Bernama

 

ADS