Saya sedang berada di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford (OCIS). Hadir ke sini di bawah program visiting research scholar (sarjana penyelidik pelawat) selama sepuluh bulan.

Saya pernah datang ke sini dulu sekadar melawat kawan-kawan. Tidak sangka pula, ada peluang datang pula untuk buat kajian di sini dengan agak lama, berserta sedikit elaun yang diberikan oleh British Council.

former perlis mufti asri zainul abidin oxford Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang menasihati bahawa sekarang bukan masa yang sesuai. Kebanyakan alasan mereka; pilihan raya sudah dekat. Duta British juga kata begitu kepada saya.

Padahal, saya seperti rakyat marhaen yang lain tidak terlibat dengan pilihan raya melainkan sekadar seorang pengundi biasa. Itu bukan alasan yang kukuh. Saya ingin terus mengembara selagi mampu. Mengutip bekalan selagi ada upaya membawanya.

Merentasi denai dan lurah. Mendaki gunung dan cuba menggapai awan, jika diizinkan Allah. Biarlah apa tafsiran orang terhadap kehidupan kita, selagi insan berpaksikan Tuhan, dia akan melihat keindahan dimensi hidup dalam pelbagai spectra dan rupa.

Ini tulisan pertama saya di sini. Saya belum mahu mula. Saya hanya mahu meletakkan satu mukadimah yang boleh kita kongsi bersama mengenai kehidupan. Sesuatu yang kita semua alami dan rasai.

Allah menyuruh kita mengawal diri sendiri dan membetulkan keadaan dengan kadar kemampuan dan ruang yang kita miliki. Namun, tiada siapa dalam kalangan makhluk yang dapat memastikan episod-episod dalam perjalanan hidup.

Misteri kehidupan

Ya, hidup penuh keajaiban. Penuh misteri yang tersimpan di sisi Ilahi. Ada perkara yang insan jangka dan sangka, ia tidak berlaku. Ada perkara yang tidak diduga ia menjelma dalam pelbagai rupa dan warna. Tiada siapa boleh menyatakan yang dia menguasai perjalanan kehidupannya. Tidak! Sama sekali tidak!

Dia mungkin menguasai dirinya bukan perjalanan hidupnya. Dalam alam ini yang penuh dengan pelbagai watak, episod, musim dan rasa, maka tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah. Manusia merancang dan mengatur. Ada kala rancangan itu berjaya, ada kala gagal, ada kala berubah arah dan pelbagai lagi.

Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya; insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing.

Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepada-Nya.

Firman Allah (maksudnya): "...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari masalahnya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang dia tidak sangka.

"Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah itu baginya (untuk menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala urusanNya. Allah telahpun menentukan kadar bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Talaq: 2-3).

Kudrat Tuhan

Ya, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pengatur urusannya. Ketika menyerah pasrah dirinya kepada Allah, insan mungkin mempunyai pelbagai bayangan bagaimana kehendak atau hajatnya akan tercapai.

Namun kuasa, kudrat dan kehendak Allah merentasi segala bayangan dan igauan insani.

Dalam menunai hasrat seseorang insan, Allah kadang-kala takdirkan pelbagai kejadian dan episod hidup agar insan belajar, mendapat ganjaran pahala, menemui pelbagai hikmat dan menjadi hamba yang lebih bersyukur dan akur dengan keagungan-Nya.

Cara sesuatu hasrat itu muncul dan menjelma juga, tidak semestinya sama. Pelbagai warna dan rupa. Mungkin insan ingin sesuatu, Allah gantikan yang lain yang lebih baik daripadanya.

Mungkin insan tidak tahu kejelekan di sebalik sesuatu yang indah pada matanya sehingga dia mengidamnya.

Apabila insan menyerah diri kepada Tuhan dengan jiwa yang luhur dan akur, Allah akan memberikan ganti yang lain, yang mungkin insan kurang suka, tapi itu lebih baik untuknya.

Demikian Allah menegaskan (maksudnya):"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya". (Surah al-Baqarah: 216).

Hanya pada tangan-Nya kekuasaan mutlak terhadap perjalanan alam ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalang-Nya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya.

Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga.

Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepada-Nya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.

Allah mungkin menunaikan hasrat yang tersirat walaupun tidak dalam gambaran yang tersemat. segalanya atas rahsia alam atau hikmat kehidupan yang Allah Maha Tahu.

Apa yang penting Allah tidak mensia-siakan hamba yang bertawakal kepada-Nya. Percaya, jika kita serahkan jiwa raga dengan penuh pasrah kepada Allah, harinya akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kebahagiaan itu jika Allah berikan tiada siapa yang dapat merampasnya dalam dada kita, sekalipun tubuh diluka dan dipenjara.

Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan itu menelusuri diari kehidupan ini.

Hidup ini kembara

Setiap insan mengembara di mayapada ini. Samada dia pernah keluar dari daerahnya ataupun tidak. Dia bagaikan pengembara. Perjalanan diari hidupnya sendiri yang bermula dari hari dilahirkan sehingga menemui kematian. Berjumpa dengan pelbagai watak dan bertemu dengan pelbagai episod dalam hayatnya.

Dalam menelusuri rantai-rantai hari yang datang pergi, insan disuruh mengabdikan diri kepada Ilahi. Melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Insan itu insan. Akan ada episod duka, salah, silap dan episod suka, benar dan tepat.

former perlis mufti asri zainul abidin oxford Ada kala dosa, ada kala pahala. Itulah insan. Namun, dalam kembaranya hendaklah dia pastikan kesilapan akan diikuti dengan pembetulan, dosa diikuti dengan istighfar dan taubat. Pastikan kebaikan yang mengusai dirinya, sementara kejahatan sesuatu yang asing dan terpencil.

Pastikan dalam kembara hidup ini dia tidak membawa beban yang menyukar dia pulang ke pangkuan Tuhan.

Sabda Nabi SAW: "Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya". (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Walaupun hidup menyerupai sebuah kembara, insan disuruh pula untuk mengembara melihat alam ciptaan Allah. Mengambil iktibar dari pelbagai kejadian dan peristiwa.

Begitu banyak ayat dalam al-Quran, Allah menyebut "Tidakkah kamu lihat?!" dan "berjalanlah kamu di bumi".

Pelbagai perkara al-Quran menyuruh kita lihat; gunung-ganang, peristiwa lampau dan lain-lain. Demikian dalam riwayat al-Bukhari bagaimana Jabir bin ‘Abdillah menyembara selama sebulan untuk mendapat sebuah hadis sahaja daripada Abdullah bin Unais.

Maka saya terus mengembara lagi dan mengulangi ungkapan Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab :

"Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak patah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran". ( Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).


P rof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini