Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membuka semula peluang kepada peminjam untuk menukar pinjaman pendidikan mereka kepada sistem pinjaman Islam atau Ujrah bermula 1 Jan depan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peluang itu wajar digunakan sepenuhnya oleh peminjam, memandangkan tawaran bertukar kepada sistem Ujrah tersebut sepatutnya berakhir 30 Sept lalu.
"Walau bagaimanapun, ia berasaskan hutang semasa dan tidak 'backdated kepada 1 Jun 2008," katanya kepada pemberita, selepas perhimpunan bulanan kementerian itu, di Putarajaya hari ini.
Sehingga bulan lalu, seramai 55,546 peminjam PTPTN memilih bertukar kepada sistem Ujrah yang menawarkan bayaran upah satu peratus setahun berkuat kuasa 1 Jun 2008, berbanding sistem konvensional yang menetapkan kadar tiga peratus.
Terdahulu ketika berucap, Khaled berkata PTPTN juga masih membuka peluang kepada peminjam yang berhasrat mendapatkan penurunan kos pentadbiran daripada tiga dan lima peratus kepada satu peratus untuk membuat pembayaran penuh hutang, tanpa perlu bertukar kepada Ujrah.
"Mereka yang membuat penyelesaian penuh sebelum 31 Dis ini, akan dilaraskan akaun mereka secara 'backdated' mulai 1 Jun 2008 dan PTPTN akan mengembalikan apa-apa lebihan kepada peminjam," kata beliau.
Katanya sehingga bulan lalu, seramai 1,518 peminjam telah membuat penyelesaian penuh dan layak diberikan bayaran balik dengan jumlah keseluruhan RM1.2 juta.
Pada majlis itu, 10 pelajar cemerlang dari pelbagai program dan institusi pengajian tinggi yang mewakili keseluruhan penerima ijazah kelas pertama atau setaraf pada atau selepas Januari 2010, menerima surat pelepasan bayaran balik PTPTN.
Tahun lalu seramai 2,091 peminjam dikecualikan daripada membuat pembayaran balik PTPTN berjumlah RM58 juta, manakala tahun ini seramai 97 peminjam layak dengan jumlah bayaran RM2.7 juta yang dijangka bertambah pada hujung tahun ini.
- Bernama
