Most Read
Most Commented
Read more like this

Golam Maola, seorang warganegara Bangladesh, mengaku telah dipukul semasa menjadi tahanan pekerja-pekerja asing di Tanah Merah, Kelantan dalam satu kejadian tiga tahun lepas. Bagaimanapun, Golam tidak menghuraikan bagaimana beliau dipukul. Golam merupakan saksi pertama warga asing bagi pihak tertuduh dalam kes perbicaraan Pengerusi Tenaganita, Irene Fernandez, yang didakwa menyebarkan maklumat palsu di bawah Seksyen 8A (1), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

"Saya telah ditahan sejurus sampai ke Malaysia," jelas Golam dengan dibantu oleh seorang penterjemah dari pihak mahkamah majistret.

Beliau menjelaskan keadaan kem tahanan tersebut sesak dan terpaksa tidur secara berhimpit-himpit bersama sekumpulan pendatang dari jumlah 300 tahanan pekerja asing yang lain. "Saya tidur bersebelahan pendatang-pendatang lain," jelas Golam lagi.

"Keterangan hari ini bertujuan menggambarkan pengalaman pendatang sendiri, bukannya dari pandangan saya. Jika saya yang berkata, tentu timbul isu-isu lain," kata Irene kepada malaysiakini di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tentang kes yang telah berjalan selama 200 hari sejak 10 Jun 1996 lagi.

Irene ditahan pada Mac 1996 selepas menerbitkan satu memorandum bertajuk "Abuse, Torture and Dehumanized Treatment of Migrant Workers at Detention Camps," kepada menteri-menteri kanan pada Ogos 1995. Memorandum itu adalah hasil kajian ke atas 335 pendatang asing mengenai layanan yang didakwa mencabuli hak-hak asasi manusia di kem-kem tahanan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS