Mat rempit dakwa KM Pulau Pinang rasis

       

Kira-kira 200 mat rempit mengadakan tunjuk perasaan di bangunan bersejarah jam besar Pulau Pinang yang berhampiran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menuntut ‘litar perlumbaan’ dibina bagi kegunaan mereka.

NONE Kumpulan, yang diketuai oleh Ahmad Shahabuddin - wakil Pertubuhan Islam Gabungan Amal - berbaris di sepanjang kawasan itu dengan motosikal mereka kira-kira jam 1 tengahari dan membunyikan hon selama kira-kira 15 minit sebelum disuraikan oleh polis.

Tindakan mereka dipercayai didalangi politik kerana kebanyakan penunggang berkemeja-T berwarna kuning dengan tertera perkataan ‘LGE rasis’ - merujuk kepada ketua menteri Lim Guan Eng - dan projek 'Selamatkan Pulau Pinang'.

Mereka juga membawa sepanduk yang berbunyi “Kami mahu litar lumba”.

Topi kaledar

Lima penunjuk perasaan, termasuk Shahabuddin, ditahan polis yang telah mengekori sebahagian daripada ahli kumpulan itu dari bangunan Komtar, tempat pentadbiran negeri.

NONE Adalah difahamkan bahawa mat rempit itu bermula dari Jalan Pulau Pinang dan bergerak ke  Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Dewan Undangan Negeri melalui Jalan Street Light.

Semasa tangkapan itu, berlaku pergelutan kecil di antara polis dan penunjuk perasaan yang terus  menjerit. Ada juga yang mencampakkan topi kaledar.

Sebahagian bangunan Komtar sebelum ini telah dicemari dengan grafitti tulisan “Guan Eng tipu Melayu” tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan mat rempit itu yang bertanggungjawab.

NONE Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata kumpulan berkenaan merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Lim berhubung beberapa isu yang melibatkan mereka.

"Kami benarkan mereka untuk menyerahkan memorandum itu kerana ini negara demokrasi. Tetapi jika (himpunan itu) tidak aman, ia boleh menimbulkan keadaan huru-hara dan menyebabkan kehilangan hartabenda," kata Gan.

Mereka yang ditahan akan disiasat kerana menyertai perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis.

Kata Gan, selain Sabaruddin, empat individu lain ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibebaskan selepas keterangan diambil.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda