Peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bercadang memanggil Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamed memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis minggu depan.
"Kami berhasrat memanggil Perdana Menteri Khamis minggu depan kerana kami mempunyai beberapa hal untuk diselesaikan dan sekurang-kurangnya lima lagi saksi akan dipanggil," kata peguam Anwar, Christopher Fernando kepada malaysiakini .
Peguam bela adik angkat Anwar yang turut dituduh Sukma Dermawan Sasmitaat Madja, Gobind Deo berkata Mahathir harus hadir di mahkamah seperti juga saksi-saksi yang lain. "Saya tidak tahu mengapa Perdana Menteri wajar diberikan pengecualian," katanya.
Pihak pendakwaan setakat ini belum mengambil sebarang tindakan untuk mengenepikan sapina yang diberikan kepada Mahathir pada November lalu lagi. Perdana Menteri beberapa kali berkata bahawa beliau bersedia hadir di mahkamah jika soalan-soalan yang disoalkan nanti berkaitan dengan perbicaraan kes liwat.
Peguam bela Anwar juga sebelum ini berkata mereka akan memanggil beberapa orang menteri untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan yang sensasi itu.
Anwar dan Sukma dituduh meliwat bekas pemandu Dr Wan Azizah Ismail, Azizan Abu Bakar, di "satu malam antara Januari hingga Mac, 1993 pada jam 7.45 malam." Sukma juga dituduh membantu Anwar meliwat Azizan.
Perbicaraan bersambung hari ini dengan Sukma meneruskan keterangannya. Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Abdul Gani Patail cuba mendapatkan bukti bahawa Sukma hanya mengubah suai bilik tidurnya dan bukan bilik-bilik lain bagi menunjukkan ubahsuaian itu tidak mungkin memakan tempoh selama empat bulan.
Sukma menjelaskan bahawa beliau mengubah suai seluruh pangsapurinya termasuk bilik tidur utama, dapur, bilik makan dan balkoni. Semalam, beliau menerangkan pangsapurinya di Tivoli Villa, tempat yang didakwa berlaku kejadian seks itu, tidak didiami sehingga April 1993 kerana kerja-kerja ubahsuai.
Gani Patail, sambil mencabar keterangan alibi Sukma, berulang kali menyoalnya mengenai perincian ubahsuaian berkenaan. Sukma, kelihatan tenang, berkata dia tidak tahu perincian yang khusus.
"Saya tidak tinggal di pangsapuri itu. Pengurus saya Rahim Mazlan mengurus semua hal mengenai ubahsuaian itu," katanya. Sukma menghabiskan keterangannya hari ini.
Peguam bela kemudiannya memanggil semula Dr Zahari Noor bagi membuktikan keseluruhan pengakuan Sukma direka cipta. Pada November 1998 Sukma mengaku mengaitkan Anwar terlibat meliwat beliau tetapi kemudiannya menarik semula pengakuan tersebut dan berkata polis memaksanya berbuat demikian.
Hakim Arifin Jaka membenarkan Zahari memberikan keterangan walaupun dibantah Gani yang menegaskan kes ini bertumpu pada Sukma meliwat Azizan dan bukannya dia sendiri diliwat. "Sebarang pemeriksaan ini tidak relevan kepada kes ini," katanya.
Zahari, pada awal perbicaraan kes pertama, memberikan keterangan bahawa dubur Sukma tidak pernah ditembusi objek tumpul seperti alat kelamin lelaki. Hari ini, beliau mengulangi hujahnya yang awal dan merumuskan dubur Sukma tidak menunjukkan tanda-tanda penembusan.
Tempat Zahari kemudiannya digantikan dengan Rahim yang memberikan keterangan panjang lebar mengenai ubahsuaian di pangsapuri Sukma. Rahim menegaskan ubahsuaian itu, mengambil masa empat bulan untuk disiapkan, bemula Disember 1992 dan berkahir April 1993.
Perbicaraan bersambung esok dengan Rahim memberikan keterangan yang lebih terperinci.
