Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sama ada mahu mengambil tindakan terhadap individu yang membuat aduan terhadapnya berhubung kes pengeluaran 6,000 permit teksi yang didapati tidak berasas.

Siasatan tersebut dibuat berikutan dakwaan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi Limousin dan Kereta Sewa Malaysia (Pertekma), Yusoff Lahir yang mendakwa terdapat individu yang memiliki 6,000 permit teksi melalui 19 syarikat.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan dakwaan itu adalah tidak benar.

Bagaimanapun, kata Abdul Gani, pihaknya mendapati terdapat beberapa perkara lain yang menimbulkan persoalan dikesan dalam proses pemberian permit tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada pegawai kanan BPR di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini, Nazri juga tidak yakin yang dakwaan yang dibuat terhadapnya itu bermotifkan politik.

"Saya tidak percaya begitu...setahu saya orang berkenaan bukan ahli mana-mana parti politik..," katanya sambil menambah beliau juga tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.

Siasat keraguan

Nazri yang kelihatan lega dan ceria menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang yang bersifat pendendam terhadap mana-mana yang membuat dakwaan terhadapnya.

Sebelum ini, pegawai-pegawai BPR yang diketuai oleh Pengarah BPR Wilayah Persekutuan, Chuah Chang Man, mengambil masa hampir tiga jam mengambil keterangan Nazri berhubung beberapa "keraguan" dalam prosedur pengeluaran kira-kira 1,000 permit teksi di Lembah Klang.

Menurutnya, ada beberapa keadaan di mana beliau menulis di kertas "diluluskan" bagi beberapa permohonan terbabit.

Berikutan itu, kata Nazri, beliau menjelaskan bahawa kelulusan itu diberikan berdasarkan kepada siasatan susulan oleh pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan dalam hal tersebut.

Sekiranya ada keraguan, tegas beliau, permohonan terbabit dibatalkan walaupun beliau telah memberi kelulusan sebelumnya.

Menurutnya, perjumpaan hari ini berjalan dalam suasana mesra, dan kenyataan yang diberikannya berjumlah tujuh muka surat.

Permit baru

Menurutnya, pegawai BPR terbabit juga bertanya mengapa beliau menarik balik pembekuan permit teksi sebelum ini.

Dalam hal tersebut, katanya, beliau menjelaskan kepada mereka bahawa kajian yang dijalankan mendapati kira-kira 26,000 permit teksi diperlukan untuk kemudahan kira-kira 5 juta penduduk di Lembah Kelang, mengikut nisbah satu teksi bagi 200 orang.

Sebelum ini, jelasnya, hanya 13,000 permit teksi dikeluarkan, dengan hanya 10,000 daripada yang aktif beroperasi.

Berikutan itu, Nazri berkata, kementerian mengambil keputusan untuk mengeluar permit tambahan kepada syarikat-syarikat teksi sedia ada.

"Dan syarikat-syarikat teksi ini memangpun sudah sedia ada sewaktu menteri-menteri sebelum saya," tambahnya. Datuk Yusof Noor dan Datuk Mustafa Mohamad pernah mengetuai kementerian berkenaan sebelum ini.

Nazri juga menegaskan bahawa keterangan yang diberikannya kepada pihak BPR hari ini tiada kaitan dengan dakwaan tersebut, kerana kes itu sudah ditutup.

Mesyuarat Kabinet

Bagaimanapun, katanya terpulanglah kepada BPR untuk membuat pendakwaan baru berhubung 'keraguan-keraguan tersebut" sekiranya mendapati ada asas-asas untuk membuat demikian.

Ditanya sama ada episod tersebut telah menjejaskan imej politiknya, Nazri yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata: "Saya tidak rasa begitu...kalau nak tahu awak kena tanya mereka (ahli-ahli parti)....tapi saya rasa tidak..."

Bagaimanapun, katanya, pihak BPR mungkin menemuinya lagi jika mereka memerlukan maklumat lanjut untuk membantu siasatan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada mesyuarat Kabinet hari ini ada membincangkan perkara tersebut, terutama kenyataannya sebelum ini supaya Pengarah Siasatan BPR, Datuk Nordin Ismail, tidak terbabit dalam siasatan kes tersebut.

"Kes itupun telah ditutup... jadi tiada apa lagi lah...," katanya sambil menambah yang pertemuan yang sepatutnya diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga tidak perlu diadakan lagi.