BERITA Malaysiakini

Amanah ditubuh kerana tiada ruang bersuara dalam BN

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Beberapa bekas pemimpin-pemimpin utama BN mendakwa bahawa ruang demokrasi dalam parti-parti masing-masing semakin terhakis dan berkurangan sehingga menyebabkan mereka menyertai NGO baru Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) agar suara mereka dapat didengar.

NONE Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata kepimpinan semasa Umno tidak lagi membenarkan suara-suara yang membangkang daripada didengar.

"Bagi saya tak ada (ruang) lah," katanya ketika diaju soalan oleh wartawan.

"Sekarang ini nampaknya orang macam saya, Tan Sri (Abdul) Kadir (Sheikh Fadzir) tak ada tempat dah nak bersuara di sana (dalam Umno)," kata Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang.

Menurut beliau, ruang itu ditutup kerana Umno sekarang hanya bergantung kepada satu idea sahaja.

azlan Beliau memberi contoh, semasa perhimpunan agung Umno, di mana, ahli-ahli yang mahu bercakap perlu mendapat kebenaran 'orang atasan' termasuk mendedahkan perkara yang hendak dibangkitkan untuk diluluskan terlebih dahulu.

"Oleh itu, suara dari bawah tidak mendengar," kata Razaleigh yang juga adalah presiden Amanah.

Nak kutuk

Bagi Abdul Kadir pula, kumpulannya itu masih menaruh keyakinan dalam Umno tetapi memilih ruang baru bagi menyuarakan pendapat mereka kepada orang ramai.

NONE “Tidak ada ruang dalam parti (bagi perbezaan pendapat)," katanya.

Dakwanya, kebebasan menyuarakan pendapat yang berbeza wujud suatu ketika dulu dalam Umno tetapi dilenyapkan semasa pentadbiran presiden keempat parti itu, Tun Hussein Onn.

"(Dulu) nak kutuk ke, semua boleh cakap, tak ada masalah.

"(Sekarang) perhimpunan agung Umno untuk perkara-perkara yang sedap didengar sahaja," katanya kecewa.

Amanah dilancarkan Julai lalu dan pendaftarannya diluluskan  Pendaftar Pertubuhan dua minggu lalu.

NONE Selain Razaleigh dan Abdul Kadir, turut serta pada sidang media itu adalah bekas presiden MCA  Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam.

Amanah juga dianggotai oleh timbalan presiden United Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Organisation (Upko) Datuk Wilfred M Bumburing, ahli politik veteran Sarawak Datuk Daniel Tajem, bekas presiden Majlis Peguam Datuk K Ragunath dan bekas pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno tidak pernah menyekat mana-mana pemimpinnya di semua peringkat daripada menyuarakan pendapat tentang isu melibatkan parti kerana parti itu mengamalkan prinsip demokrasi.

azlan Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno berkata, setiap hari beliau membaca dalam akhbar banyak pendapat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang mengulas mengenai pelbagai isu yang membuktikan tiada sekatan daripada parti.

"Tiada satu pun pekeliling yang dikeluarkan kepada mana-mana pemimpin Umno baik di peringkat negeri, bahagian atau individu mengatakan mulut mereka terkunci dan tertutup sepanjang masa.

“Kadang-kadang mereka bercakap lebih daripada yang sepatutnya pun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog terbuka dengan 50 graduan yang terpilih untuk menyertai program Teach For Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.