Berikut adalah sedutan teks perbahasan bajet kerajaan negeri Selangor oleh ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR di Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.
PENDAHULUAN
Saya mohon memulakan perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2012 dengan menukil bait dari Zabur-e-Ajam
karya Muhammad Iqbal.
“Membakar semangat baru, untuk bangsa dan zaman ini, memberi nyawa baru kepada jasad yang telah tua” – Muhammad Iqbal.
Begitulah analogi yang mahu saya berikan kepada kejayaan Pakatan Rakyat membawa sinar serta merealisasikan harapan
rakyat Negeri Selangor untuk hidup dalam sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Setelah lebih 50 tahun Negeri Selangor dibawah kerajaan UMNO-BN, rakyat sudah cukup derita dengan jasad tua yang
membelenggu kehidupan seharian. Jasad tua yang penuh dengan gejala penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah,
pengurusan serta tatakelola negeri yang tidak amanah dengan hanya mementingkan kroni dan kepentingan suku sakat
pemimpin elit.
Saya bersyukur, pada Mac 2008 rakyat Selangor telah sedar dan bangkit membunuh jasad tua tersebut. Lantas dengan
keazaman yang tinggi sebagaimana terbukti hari ini, Pakatan Rakyat telah memberi nafas baru kepada rakyat untuk
meneruskan kehidupan dalam suasana yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.
Insha Allah, saya penuh yakin bahawa rakyat Negeri Selangor akan menghargai usaha gigih kerajaan Pakatan Rakyat yang
prihatin terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor, seterusnya kekal setia memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui Negeri
Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Saya ingin bermula dengan merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat
pada 24 Oktober 2011 yang lalu setelah disorok selama lebih dua minggu.
Objektif pengauditan terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 adalah untuk
memberi pendapat sama ada penyata itu menggambarkan kedudukan kewangan yang benar dan saksama serta rekod
perakaunan yang berkaitan telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.
Justeru apakah dapatan dan rumusan Ketua Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor ?
Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2010 adalah memuaskan. Analisis Audit mendapati Kumpulan
Wang Disatukan meningkat sejumlah RM 266.91 juta (20.2%) kepada RM 1,586.88 juta pada tahun 2010 berbanding RM
1,319.97 juta pada tahun 2009; yang merupakan paras yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun.
Kerajaan Negeri juga berjaya mengurangkan tunggakan hasil negeri sejumlah RM 99.87 juta (16.6%) kepada RM 502.05
juta pada tahun 2010 berbanding RM 601.92 juta pada tahun 2009. Ini adalah hasil kejayaan pelaksanaan Operasi Bersepadu
Mengutip Cukai Tanah (Ops Kutip) secara menyeluruh dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah
Dan Galian Selangor serta semua Pejabat Daerah Dan Tanah Negeri Selangor.
Analisis Audit juga melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kedudukan Wang Tunai Negeri Selangor yang merupakan
aset Kerajaan Negeri menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun 2010 berjumlah RM 301.07 juta (48.8%) menjadi RM
918.27 juta berbanding RM 617.20 juta pada tahun 2009. Peningkatan baki Wang Tunai pada akhir tahun 2010 adalah
disebabkan jumlah penerimaan iaitu RM 1,753.44 juta adalah lebih tinggi berbanding pembayaran berjumlah RM 1,452.37
juta iaitu lebihan sejumlah RM 301.07 juta memandangkan Kerajaan Negeri telah berjaya menurunkan perbelanjaan
mengurus sebanyak 24.9% berbanding tahun 2009.
Hasil Kerajaan Negeri yang berjumlah RM 1,571.50 juta dikatakan menurun 10.9% berbanding tahun 2009 yang berjumlah RM 1,763.86 juta. Laporan Ketua Audit Negara di muka surat 13 menjelaskan kedudukan ini secara terperinci di mana Kerajaan Negeri memungut 3 jenis hasil yang terdiri daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.
Analisis Audit menunjukkan Terimaan Bukan Hasil mencatatkan penurunan paling ketara yang menyumbang kepadapenurunan hasil secara keseluruhan iaitu sejumlah RM 441.45 juta menjadi RM379.70 juta pada tahun 2010 berbanding RM 821.15 juta pada tahun 2009. Menurut audit, penurunan yang ketara ini disebabkan pada tahun 2009, Kerajaan Negeri telah menerima Terimaan Daripada Syarikat Berkaitan iaitu sejumlah RM 391.99 juta sebagai hasil penstrukturan semula hutang
syarikat Talam Corporation Berhad kepada Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Universiti Industri Selangor dan PNSB
berbanding tiada terimaan pada tahun 2010.
Ketika Selangor diperintah UMNO-BN, Menteri Besar seolah-olah tidak menyedari ada syarikat swasta yang berhutang dengan Kerajaan Negeri. Pentadbiran Pakatan Rakyat yang cekap bukan sahaja berupaya mengesan hutang pihak swasta, mengiktiraf (crystalize) malahan berjaya mengutip sejumlah hampir RM400 juta demi rakyat Negeri Selangor.
Namun, transaksi penstrukturan semula ini adalah berbentuk One Off iaitu tiada terimaan selepas tahun 2009.
Walau bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa dua komponen terpenting dalam Hasil Kerajaan Negeri iaitu Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai masing-masing telah mencatatkan peningkatan sejumlah RM 46.18 juta (9.8%) dan RM 202.91 juta (43.1%) menjadikan RM 517.74 juta dan RM 674.06 juta pada tahun 2010 berbanding dengan hanya RM471.56 juta dan RM 471.15 juta pada tahun 2009.
Punca peningkatan Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai adalah kejayaan pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Cukai Tanah (Ops Kutip) secara menyeluruh dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian
Selangor serta semua Pejabat Daerah Dan Tanah Negeri Selangor. Peningkatan hasil turut disumbang oleh pelaksanaan
Program Pemutihan Kilang Haram oleh Pihak Berkuasa Negeri dan penguatkuasaan pekeliling garis panduan pembayaran
Borang 5A oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor di samping peningkatan bilangan permit galian yang diluluskan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada mereka yang telah melaksanakan tugas dan
tanggungjawab ini dengan amanah dan mendukung agenda reformasi untuk membangunkan Negeri Selangor. Kejayaan ini
tidak akan menjadi kenyataan tanpa sumbangan khidmat cemerlang dan iltizam serta budaya kerja yang baik di kalangan
pegawai-pegawai dan anggota-anggota perkhidmatan awam di Negeri Selangor.
PRESTASI SELANGOR MENGURANGKAN HUTANG
Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Dato’ Menteri Besar kerana menguruskan hutang yang ditinggalkan oleh Barisan
Nasional dengan baik sehingga diiktiraf oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.
Untuk makluman Dewan, Barisan Nasional meninggalkan lebih 40 hutang yang diambil dari Kerajaan Persekutuan. Jumlah
tunggakan bayaran balik adalah sebanyak RM829.86 juta pada 31 Disember 2009. Jumlah hutang yang sebegini tinggi
menyebabkan bagi tahun 2010 sahaja, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung anuiti tahunan berjumlah RM 79.7 juta.
Alhamdulillah Kerajaan Negeri Selangor membuat bayaran sejumlah RM 253.16 juta termasuk anuiti tahun semasa
RM79.70 juta. Ini bermakna Kerajaan Negeri membayar pinjaman prinsipal berjumlah RM173 juta menjadikan baki tunggakan bayaran balik menurun kepada RM656.40 juta pada akhir tahun 2010.
Pengurangan hutang secara mendadak sebanyak RM173.46 juta ini sudah tentu akan menghasilkan penjimatan kepada
rakyat dan mengurangkan beban hutang rakyat dengan Kerajaan Persekutuan kerana caj anuiti tahunan berjumlah RM17 juta dalam tahun 2011 dapat dijimatkan.
Fakta, angka dan statistik yang dikemukakan di atas membuktikan Pakatan Rakyat berupaya untuk mentadbir negeri dan mengurus ekonomi dengan berkesan berteraskan prinsip kewangan yang berhemah, tatakelola yang baik dan prinsip value for money.
BELANJAWAN NEGERI SELANGOR 2012
Atas asas yang kukuh inilah, YAB Dato’ Menteri Besar telah membentangkan Belanjawan 2012 yang mencakupi prinsip
pengagihan kekayaan negeri secara adil dan saksama kepada semua rakyat Selangor. Belanjawan 2012 Kerajaan Negeri
Selangor adalah cerminan semangat reformasi Pakatan Rakyat. YAB Dato’ Menteri Besar mempunyai tekad politik untuk
membawa agenda reformasi secara menyeluruh demi memelihara hak rakyat Negeri Selangor.
(Surah Al Hasyr : Ayat 7)
Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak
berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak
yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu
tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah
(s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah
laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
Belanjawan Negeri Selangor 2012 adalah belanjawan berimbang untuk 4 tahun berturut-turut berbanding dengan
Belanjawan Kerajaan Pusat yang mencatatkan defisit untuk 15 tahun berturut-turut. Hutang negara sudah mencecah 53%
daripada KDNK; kurang 2% daripada paras kritikal yang diperuntukkan dalam Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta
Pendanaan Kerajaan 1983.
Manakala, Kerajaan Negeri Selangor terus mencatatkan prestasi pengurusan kewangan yang berhemah di mana Selangor merupakan satu-satunya negeri yang berjaya mengurangkan tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Negeri pada 31 Disember 2010 termasuk membayar sepenuhnya anuiti tahunan.
Kerajaan Negeri Melaka langsung tidak membuat bayaran balik pada tahun 2010 manakala negeri-negeri yang lain hanya
mampu membuat bayaran balik yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah anuiti tahun semasa dan pastinya tidak mempunyai keupayaan untuk membuat bayaran balik pinjaman. Rujuk Jadual 4.33 di muka surat 30 Laporan Ketua Audit Negara, Penyata Kewangan Dan Pengurusan Kewangan Kerajaan Persekutuan.
Situasi seperti ini menyebabkan jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman bagi negeri-negeri ini terus meningkat pada
setiap tahun.
Belanjawan Kerajaan Negeri pada tahun 2012 berjumlah RM1.6 bilion. Daripada jumlah ini, sejumlah RM 1 bilion
diperuntukkan untuk belanja mengurus dan tanggungan dan RM600 juta untuk pembangunan. Jika kita teliti Belanjawan
Kerajaan Pusat, daripada RM232 bilion yang diperuntukkan untuk Belanjawan 2012, hanya RM52 bilion (22%) diperuntukkan
untuk pembangunan manakala sejumlah RM181 bilion untuk belanja mengurus. Pendapatan Kerajaan Pusat ialah RM186 bilion.
Ini bermakna hampir 99% daripada pendapatan negara digunakan untuk belanja mengurus dan Kerajaan Pusat terpaksa berhutang bagi tujuan pembangunan. Ini bukanlah pengurusan kewangan yang berhemah mengikut amalan terbaik.
Izinkan saya menyorot perhatian Dewan kepada keupayaan Negeri Selangor untuk menjana pelaburan semula syarikat-syarikat yang telahpun melabur di negeri ini. Pelaburan semula bermakna para pelabur mempunyai keyakinan terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat yang berteraskan prinsip tatakelola yang baik, ketelusan dan pertanggungjawaban. Ini sekaligus menjamin pertumbuhan yang sihat buat Negeri Selangor.
Statistik pelaburan di Negeri Selangor bagi tempoh Januari hingga Ogos 2011 menunjukkan bahawa Negeri Selangor
bertambah maju dan berdaya saing dengan mencatatkan jumlah pelaburan RM5.9 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak 183 buah projek telah diluluskan dan mewujudkan lebih 12,259 peluang pekerjaan. Pelaburan asing mencatatkan jumlah RM3.49 bilion. Banyak usaha telah mendorong peningkatan pelaburan asing termasuk penambahbaikan infrastruktur,
mempercepatkan proses kelulusan permohonan dan juga meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan
kerajaan.
SELANGOR MUNCUL SEBAGAI HUB KEUSAHAWAN RAKYAT
Saya ingin menarik perhatian Dewan kepada rekod pelaburan baru yang dicapai oleh Selangor sepanjang tahun 2010 dan 2011.
Ramai yang hanya menumpukan kepada angka-angka Pelaburan Asing (Foreign Direct Investment – FDI) tanpa mengambil kira analisa mendalam pola pelaburan keseluruhan setiap negeri.
Untuk makluman Dewan, dalam tahun 2010 Selangor mencatatkan jumlah pelaburan kedua tertinggi di negara yang berjumlah RM10.6 bilion mengikut statistik rasmi MIDA. Yang lebih menariknya ialah jumlah pelaburan ini adalah seimbang di
antara pelaburan dalam negeri sebanyak RM5.5 bilion dan pelaburan asing (FDI) sebanyak RM5.1 bilion; menjadikan Selangor satu-satunya negeri yang berjaya menjadi destinasi pelaburan yang seimbang pada kadar yang tinggi.
Selangor juga mencatatkan jumlah tertinggi projek yang diluluskan sebanyak 325 projek, melebihi satu pertiga daripada
keseluruhan projek yang diluluskan di seluruh negara dalam tahun 2010.
Pencapaian ini diteruskan dalam tahun 2011 sehingga Ogos 2011. Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM5.9 bilion, Selangor adalah negeri terbaik dari segi jumlah pelaburan baru.
Berbanding Sarawak dan Johor yang menduduki tangga pertama dan kedua sehingga Ogos 2011, pelaburan baru di
Selangor adalah lebih seimbang dan melibatkan jauh lebih banyak projek iaitu 183, berbanding hanya 31 projek di Sarawak.
Apa makna semua analisa pelaburan ini?
Ia mengesahkan kejayaan Selangor mewujudkan iklim pelaburan yang diterima oleh masyarakat perniagaan, kerana
pelaburan yang tinggi di Selangor bukanlah datang dari projek-projek mega seperti yang dibawa Barisan Nasional ke Sarawak
dan Johor.
Jumlah projek yang jauh lebih besar berbanding negeri-negeri lain juga bermakna pelaburan ini adalah pelaburan bersaiz sederhana dan kecil yang turut melibatkan syarikat-syarikat usahawan tempatan.
Angka-angka ini mengangkat Selangor sebagai sebuah negeri yang paling diminati oleh pelabur asing dan pelabur
tempatan.
Oleh itu, saya mohon supaya Kerajaan Negeri memperhebatkan lagi usaha mempermudahkan golongan usahawan kecil dan sederhana menjalankan perniagaan mereka di Selangor, supaya ekonomi Selangor boleh berdikari tanpa memerlukan suntikan Kerajaan Pusat atau terlalu bergantung kepada pelaburan asing.
PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR
Usaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor ke arah perkhidmatan yang holistik, berdaya maju dan affordable tariff untuk pengguna mesti dipertahankan. Tindakan Kerajaan Negeri untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air adalah bertepatan dengan Akta 655 Industri Perkhidmatan Air Negara atau Water Services Industry Act (WSIA) yang memperjelaskan peranan Kerajaan Negeri untuk menerajui industri perkhidmatan air.
Penstrukturan semula industri perkhidmatan air semakin mendesak kerana industri air di Negeri Selangor adalah
fragmented atau bercelaru, tidak efisien dan tarif yang melampau ekoran persetujuan Kerajaan Pusat dengan kerjasama Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran lama untuk menswastakan industri perkhidmatan air kepada 4 syarikat konsesi. Sebagai contoh, berdasarkan perjanjian konsesi sedia ada, SYABAS mendapat restu dari Kerajaan Pusat untuk menaikkan tarif air kepada 37% dalam tahun 2009, diikuti dengan kenaikan tambahan sebanyak 25% pada tahun 2012 menjadikan harga air di Negeri Selangor sebanyak RM2.38 per meter padu. Kemudian disusuli dengan kenaikan lagi 20% pada tahun 2015 dan 10% pada tahun 2018. Ini bermakna, pada tahun 2018, rakyat Negeri Selangor perlu membayar RM3.15 per meter padu dan harga ini terus melonjak naik kepada RM3.83 menjelang 2030.
Apakah ini bertepatan dengan tema “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”?
Alhamdulillah, rakyat Negeri Selangor bangun mendukung agenda reformasi dalam Pilihan Raya Umum ke 12 dan
memberikan mandat baru kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Negeri Selangor. Sokongan dan mandat rakyat digalas dengan rasa bertanggungjawab oleh YAB Dato’ Menteri Besar dengan menghalang SYABAS daripada meneruskan semakan tarif yang amat membebankan rakyat Negeri Selangor.
Malahan, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat melancarkan program pemberian air percuma untuk rakyat Negeri Selangor.
Sehubungan dengan itu, saya mendesak Kerajaan Negeri untuk tidak berganjak daripada usaha untuk menamatkan
perjanjian konsesi sedia ada bagi memastikan kos operasi dan keuntungan operator tidak melampau sehingga membebankan
rakyat. Penyanggak air di Negeri Selangor harus diperangi habis habisan kerana menghisap darah rakyat Negeri Selangor dan
mendapat kekebalan dari Kerajaan Pusat.
Rakyat Negeri Selangor amat kesal kerana usaha murni Kerajaan Negeri untuk mengembalikan hak air kepada rakyat
sering mendapat halangan daripada Kerajaan Pusat yang melindungi kepentingan syarikat kroni daripada kebajikan rakyat.
Rakyat juga kecewa dengan sikap Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang menjadi jurucakap Syarikat Bekalan
Air Selangor (SYABAS) untuk mendesak Kerajaan Negeri supaya bersetuju dengan pembinaan Loji Rawatan Air di Sg. Langat
terlebih dahulu sebelum Kerajaan Pusat boleh memulakan rundingan untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri tidak boleh tunduk kepada ugutan Kerajaan Pusat yang menggunakan alasan bahawa Negeri Selangor
akan menghadapi krisis air pada tahun 2014. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor mesti dilihat
secara holistik termasuk pembinaan loji rawatan air di Sg. Langat.
Pendirian Kerajaan Negeri adalah bertepatan dengan Akta 655 Industri Perkhidmatan Air Negara atau Water Services
Industry Act (WSIA) di mana Kerajaan Negeri adalah peneraju utama industri perkhidmatan air. Malahan, Kerajaan Pusat
pernah mengeluarkan surat kepada anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)
bertarikh 16 Januari 2008 yang menyatakan persetujuan Kerajaan Pusat untuk KDEB dilantik sebagai syarikat pengendali
dan penyelenggara loji rawatan air Langat II.
Mengapa dua bulan selepas UMNO ditolak oleh rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Pusat menarik balik keputusan awal untuk membenarkan Kerajaan Negeri menerajui projek Langat II?
Saya ingin menegaskan bahawa projek pembinaan loji rawatan air Langat II ini mestilah sebahagian daripada usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air kerana jika tidak dimuktamadkan dan diselesaikan dengan mewujudkan perkhidmatan yang holistik, Langat II akan terus menikmati dan menggunapakai tarif yang tinggi yangterkandung di dalam perjanjian konsesi dengan SYABAS.
Mengapa Kerajaan Pusat mendesak Kerajaan Negeri untuk bersetuju dengan pembinaan loji rawatan air di Sg. Langat
ketika loji rawatan air Sg. Labu masih belum memulakan operasi ? Kalau dakwaan Kerajaan Pusat bahawa krisis air akan
bermula pada tahun 2014, perlantikan pengendali dan penyelenggara loji rawatan air Sg. Labu harus disegerakan.
Pembinaan loji rawatan air Sg. Labu telahpun siap dengan kapasiti 105 jlh (juta liter sehari). Projek ini menelan belanja
hampir RM300 juta dan dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Kelulusan Kerajaan Negeri diperlukan untuk
menyalurkan air mentah dari Sg. Labu ke loji rawatan air ini untuk tujuan testing and commissioning. Kerajaan Negeri
telah bermurah hati memberikan kelulusan bagi tempoh 6 bulan sehingga Disember 2011 untuk mencapai matlamat T&C.
Walaupun tempoh T&C sudah hampir tamat, Kerajaan Pusat masih gagal untuk melantik syarikat pengendali dan
penyelenggara atau operation & maintenance (O & M) bagi loji rawatan air Sg. Labu.
Saya difahamkan kelewatan ini berpunca dari agenda terancang Kerajaan Pusat untuk melantik syarikat kroni mereka
bagi kerja-kerja O & M Sg. Labu melalui tender terhad yang dicadangkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Saya yakin Kerajaan Negeri dapat menghidu agenda tersirat Kerajaan Pusat apabila salah satu daripada 3 syarikat yang
dicadangkan untuk tender terhad adalah Puncak Niaga.
Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengenalpasti anak syarikat Kerajaan Negeri untuk mengemukakan
permohonan Lesen Individu (Pengagihan) dan Lesen Individu Perkhidmatan (Rawatan) daripada Syarikat Perkhidmatan Air
Negara (SPAN) selaras dengan hasrat untuk mewujudkan perkhidmatan industri air yang holistik dan memenuhi tuntutan
WSIA.
Sekiranya Kerajaan Pusat masih berdegil untuk mengagalkan penstrukturan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor, saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri juga perlu mengambil langkah yang tegas dengan memastikan Lembaga Urus Air
Selangor (LUAS) tidak mengeluarkan Lesen Abstaksi Air Mentah di bawah enakmen LUAS kepada syarikat-syarikat kroni UMNO.
Saya mendukung langkah Kerajaan Negeri untuk mengambilalih semula 33 loji rawatan air di seluruh Negeri Selangor apabila tamat tempoh perjanjian konsesi kelak. Untuk rekod Dewan yang mulia ini, pecahan milikan loji rawatan air di
Negeri Selangor adalah 30 diberikan kepada Puncak Niaga (termasuk 1 di Sg. Selangor Fasa II), 2 kepada SPLASH (masing-masing di Sg. Selangor Fasa 1 & 3) dan hanya 1 kepada ABBAS iaitu di Sg. Semenyih.
Melihat perkembangan di Sg. Labu, Kerajaan Negeri punyai alasan yang kukuh untuk tidak lagi mempercayai Kerajaan
Pusat berhubung desakan pembinaan loji rawatan air di Sg. Langat.
Dakwaan bahawa Negeri Selangor akan menghadapi krisis air menjelang tahun 2014 juga perlu diteliti dengan
bertanggungjawab oleh semua pihak. Data-data yang dikumpulkan oleh pelbagai pihak berhubung pengeluaran dan
permintaan air di Negeri Selangor menunjukkan sebaliknya.
Menurut statistik ini, pada tahun 2014, penggunaan sebenar air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya
adalah sebanyak 3,072 jlh. Kapasiti air yang diperlukan sebelum mengambil kira peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) adalah
sebanyak 3,879 jlh. Namun, setelah mengambil kira 30% NRW, jumlah pengeluaran yang kita perlukan ialah 4,389 jlh. Kalau
kita menerima data ini, pada tahun 2014, kekurangan yang dijangkakan ialah 63 jlh. Tetapi, harus diingatkan, berlakunya
kekurangan 63 jlh ini apabila NRW disasarkan pada kadar 30%.
Maka, penyelesaian kepada masalah ini ialah bukan mendesak pembinaan loji rawatan air yang baru tetapi yang lebih mendesak ialah bagaimana keupayaan kita untuk mengurangkan NRW. Data ini juga menunjukkan sekiranya kita
mengurangkan 5% sahaja NRW, simpanan air di Negeri Selangor mempunyai lebihan sebanyak 230 jlh menjelang tahun 2014.
Kerajaan Negeri juga perlu melihat kepada mekanisma pengagihan (distribution) yang mungkin tidak seimbang dengan
permintaan di daerah-daerah.
Saya ingin menegaskan dalam Dewan yang mulia ini, usaha Kerajaan Negeri untuk membela hak serta nasib rakyat Negeri
Selangor mesti dipertahankan. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini penting untuk menjamin keberkesanan
kos (cost effectiveness) dan memperkukuh pengurusan serta operasi perkhidmatan air yang mampan.
Saya juga berhasrat mengambil peluang ini untuk mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar segera meneliti potensi underground water. Usaha ini pasti memerlukan Kerajaan Negeri untuk mengkaji penggunaan teknologi baru sebagai satu ikhtiar mendapatkan bekalan air bersih. Kerajaan Negeri juga perlu meneliti serta mengkaji kaedah untuk manfaatkan storm water sebagai pilihan kepada rakyat.
Kini rakyat sedar Kerajaan Pusat tidak akan melindungi hak rakyat Negeri Selangor. UMNO-BN sekadar mahu menangguk
di air yang keruh, dengan merumitkan serta mempolitikkan isu penstrukturan perkhidmatan air. Apa yang penting buat
UMNO-BN ialah memastikan nasib mereka yang segelintir, yang dekat dengan mereka mampu menyediakan dana buat
membiayai pilihanraya yang akan datang.
KDEB SEBAGAI PENERAJU INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR DI NEGERI SELANGOR
Keputusan Kerajaan Negeri melantik Kumpulan Darul
Ehsan Berhad (KDEB) menerajui usaha untuk
menstrukturkan semula industri perkhidmatan air
amatlah tepat dan berasas. Pengurusan KDEB yang
baru mempunyai tahap profesionalisma yang tinggi,
berintegriti dan memahami falsafah pengurusan yang
berorientasikan keuntungan dengan tanggungjawab
sosial selaras dengan dasar “Hasil Negeri Untuk
Rakyat” yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan
Pakatan Rakyat Negeri Selangor.
Saya juga amat gembira kerana pengurusan KDEB
dapat bersama-sama dengan Kerajaan Negeri
mempertahankan hak rakyat Negeri Selangor daripada
dicabuli oleh Kerajaan Pusat. Tindakan membuli oleh
Kerajaan Pusat untuk menggagalkan usaha
menstrukturkan semula industri perkhidmatan air
Negeri Selangor semakin menggila.
Tohmahan bahawa KDEB menanggung kerugian
berikutan pemberian air percuma adalah meleset dan
propaganda UMNO untuk mengalih pandangan rakyat
daripada mengetahui kebobrokan dan kebejatan
pengurusan kewangan Kerajaan Pusat yang dilaporkan
oleh Ketua Audit Negara. Sebab itu laporan Ketua Audit
Negara pada tahun ini disorokkan dan tidak
dibentangkan sebelum pembentangan Belanjawan
2012 tetapi hanya diberikan setelah selesai sesi
perbahasan Belanjawan.
Keuntungan terkumpul syarikat KDEB pada tahun
2009 adalah sebanyak RM239 juta manakala
keuntungan terkumpul kumpulan KDEB adalah
sebanyak RM341 juta. Sebagai anak syarikat Kerajaan
Negeri, matlamat pelaburan KDEB bukan
berorientasikan keuntungan semata-mata tetapi
keuntungan yang diperolehi perlu disalurkan terus
kepada rakyat sebagai pemilik mutlak khazanah negeri.
Inilah prinsip keuntungan dengan tanggungjawab
sosial demi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat
Negeri Selangor.
Untuk maksud ini, KDEB melihat program pemberian
air percuma merupakan pelaburan yang menepati
hasrat Kerajaan Negeri untuk berkongsi kekayaan
khazanah negeri ini dengan rakyat Negeri Selangor.
Pelaburan 20 meter padu air percuma kepada rakyat
Negeri Selangor melalui KDEB adalah salah satu usaha
untuk menyalurkan keuntungan terus kepada rakyat.
Semua pihak boleh meneliti bagaimana keuntungan ini
dibelanjakan demi kesejahteraan rakyat. Kita mahu
memastikan keuntungan anak-anak syarikat disalurkan dengan betul dan tepat kepada kumpulan
sasaran supaya tidak berlaku ketirisan dalam agihan
kekayaaan negeri.
Pada tahun 2009, KDEB telah membelanjakan sejumlah
RM131 juta untuk program air percuma. Manakala,
untuk tempoh Jun 2008 sehingga Feb 2010, sejumlah
RM222 juta telah dikeluarkan oleh KDEB untuk
program pemberian air percuma bagi rakyat Negeri
Selangor.
Maka, jelas kepada kita bahawa kerugian yang
dimaksudkan bukan disebabkan ketirisan, kebocoran,
rasuah atau salahguna kuasa tetapi kerana program
untuk rakyat.
Kedudukan kewangan KDEB pada tahun 2009 amat
kukuh untuk membolehkan KDEB terlibat dalam
program tanggungjawab sosial seperti melabur dalam
program pemberian air percuma.
KDEB juga dijangka akan menerima suntikan aset
bernilai RM12 bilion dalam bentuk aset air milik
Kerajaan Negeri apabila selesai penstrukturan semula
industri perkhidmatan air. KDEB akan muncul sebagai
pemain utama industri perkhidmatan air di Negeri
Selangor dengan jumlah aset yang besar dan pulangan
yang amat kukuh. Nilai aset dan pulangan atas aset ini
mampu menampung kos pelaburan untuk program air
percuma demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.
PRINSIP KEUNTUNGAN DENGAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Saya mengakui bahawa terdapat teguran dalam
Laporan Ketua Audit Negara berhubung pulangan atas
pelaburan jangka panjang yang tidak memuaskan dan
dakwaan bahawa dividen tidak diterima oleh Kerajaan
Negeri pada tahun 2010.
Saya difahamkan bahawa anak-anak syarikat Kerajaan
Negeri menyumbang kepada Kerajaan Negeri dengan
menyalurkan terus kepada MBI atau menaja terus
program-program Kerajaan Prihatin dan bukannya
melalui dividen terus kepada Kerajaan Negeri.
Namun, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri tetap
menyumbang untuk menjayakan program-program
Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan jumlah dana
yang besar. Sebagai contoh, KSSB menyumbang RM5
juta untuk program Jom Shopping di bawah Skim
Mesra Usia Emas. KSSB turut membayar dividen
kepada MBI sejumlah RM3.5 juta. KSSB juga
menyumbang RM307,200.00 untuk program lembu
korban sempena Eidul Adha. PNSB menyumbang RM 1
juta kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). PNSB
dan KSSB masing-masing menyumbang RM2 juta dan
RM1 juta untuk Akaun Amanah Merakyatkan Ekonomi
Selangor (MES). MBI juga telah menerima sumbangan
RM500,000 untuk Program Mempromosikan Negeri
Selangor manakala Perbendaharaan Negeri menerima
RM616,000 untuk pembayaran bonus JKKK.
Beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri menyumbang
terus kepada Program Kerajaan Prihatin dari tahun
2008 sehingga 2011. Permodalan Negeri Selangor
Berhad (PNSB) menyumbang sejumlah RM3.44 juta,
PKNS turut menjayakan Program Kerajaan Prihatin
dengan menyumbang RM4.08 juta tidak termasuk
program-program tanggungjawab sosial yang lain
seperti CERIA dan perumahan rakyat. Worldwide Sdn.
Bhd. menyumbang RM3.42 juta, Perbadanan
Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberikan
sumbangan RM920,000 manakala Kumpulan Darul
Ehsan Berhad (KDEB) menyumbang RM406,000 tidak
termasuk kos program air percuma yang telah menelan
belanja RM222 juta. Kumpulan SEMESTA
menyumbang RM2 juta, Selangor Industrial
Corporation menyumbang RM500,000 dan Selaman
Sdn. Bhd. menyumbang RM1 juta.
PKNS tidak membayar dividen kerana PKNS tidak
ditubuhkan di bawah Akta Syarikat. Bagaimanapun,
PKNS terus menyumbang kepada Kerajaan Negeri
dalam pelbagai bentuk program untuk menjamin
kesejahteraan rakyat.
PKNS menanggung subsidi rumah kos rendah di Bukit
Botak berjumlah RM78 juta, sumbangan untuk
program Kerajaan Prihatin berjumlah RM4.5 juta,
pembinaan asrama desa menelan belanja RM5.2 juta,
sumbangan untuk Yayasan Pendidikan Negeri
sebanyak RM5 juta, program membaik puloh lif rumah
pangsa berjumlah RM2 juta dan program Ceria iaitu
mengecat bangunan rumah pangsa menelan belanja
RM5 juta. PKNS juga menyumbang untuk membina
persimpangan bertingkat untuk meleraikan kesesakan
trafik yang menelan belanja RM58 juta.
Justeru itu, apabila audit menyemak Penyata
Kewangan Negeri, jumlah pembayaran dividen oleh
anak-anak syarikat tidak tertera dalam kategori
dividen. Tetapi, ini tidak bermakna anak-anak syarikat
tidak menyumbang kepada Kerajaan Negeri atas
pelaburan yang dibuat.
Walau bagaimanapun, oleh kerana teguran telah dibuat
oleh Ketua Audit Negara, saya ingin mencadangkan
untuk masa yang akan datang, Kerajaan Negeri akan
meneliti semula kaedah pembayaran dividen dan
sumbangan oleh anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.
Untuk mengelakkan tohmahan oleh pihak lawan yang
sering memutar belitkan kenyataan, saya berpendapat
semua pembayaran dividen dan sumbangan anak-anak
syarikat dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan
dan kemudian barulah dibuat pembayaran kepada MBI
atau program-program Merakyatkan Ekonomi
Selangor. Kerajaan Negeri menerima pakai kaedah ini
dalam urusan mengutip hutang dari Talam Corporation.
GAJI MINIMA UNTUK PENINGKATAN PRODUKTIVITI
Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Selangor telah
memulakan pelaksanaan gaji minima sebanyak
RM1500 dalam ucapan belanjawan semalam untuk
pekerja-pekerja di anak-anak syarikat Kerajaan Negeri
Selangor.
Perlaksanaan gaji minima amat bertepatan masanya
memandangkan kejayaan Kerajaan Negeri dalam usaha
mempertingkat hasil negeri dan juga prestasi GLC yang
membanggakan.
Produktiviti yang tinggi hasil usaha keras golongan
pekerja adalah tidak bermakna sekiranya tiada langkah
positif untuk berkongsi productivity gain dengan
mereka yang juga merupakan stakeholder kepada
syarikat.
Malah pengumuman tersebut diharapkan dapat
memberi suntikan moral kepada golongan pekerja juga
sebagai insentif agar mereka terus berusaha dengan
lebih gigih untuk meningkatkan produktiviti syarikat.
Membangun Generasi Tweakers
Saya mohon perhatian dewan kepada majalah terkenal,
The New Yorker untuk keluaran bulan November 2011
telah menerbitkan satu rencana yang berjudul The
Tweaker: The real genius of Steve Jobs. Rencana
tersebut ditulis oleh Malcolm Gladwell mengulas dan
membedah fenomena “Steve Jobs” ini.
Ramai antara kita mengagumi rekaan mahupun produk
keluaran Apple Inc. Janggal jika kita tidak tahu apa itu
iPhone, iPad atau iPod. Akan tetapi kita perlu ada
kesedaran bahawa ciptaan ini bukan secara tiba-tiba
muncul. Ia melalui suatu proses panjang yang
mengerah segenap daya fikir dan cetusan imaginasi.
Malcolm Gladwell melalui rencana tersebut, tidak
sekadar mengangkat sosok Steve Jobs itu, apa yang
menjadi perhatian penulis ialah kekuatan yang
mendasari serta berjaya membangun generasi yang
kita kenal sebagai Generasi Tweakers; generasi yang
kukuh kekuatan daya ciptanya, berani serta yakin
untuk bersaing dengan sesiapa sahaja namun tidak
tercabut dari akar budayanya.
Kita tidak menolak bahawa pembangunan prasarana
itu penting untuk melahirkan generasi muda yang
berimaginatif dan mampu melakar semula sempadan
yang kononnya tidak boleh berganjak. Akan tetapi,
sekadar prasarana dan pembangunan fizikal tidak
berupaya mencetus generasi muda yang kritis
seumpama Steve Jobs dengan Apple serta Pixar nya,
George Lucas dengan siri filem Star Wars nya dan
Sergey Brin dengan Google nya.
Pandangan ini malah dikongsi oleh dua ahli ekonomi
yang mengkaji sejarah revolusi industri di Britain pada
abad 18 dan 19. Mereka berdua; Ralf Meisenzahl dan
Joel Mokyr menegaskan mengapa Britain mendahului
negara-negara lain ketika itu adalah kerana generasi
“tweaker”; golongan artisan dan jurutera mahir yang
luas imaginasinya ramai di negara tersebut.
Justeru saya menyambut baik hasrat kerajaan yang
memberi tumpuan secara menyeluruh kepada
pembangunan generasi muda. Melalui 6 geran dalam
Geran Selangorku yang bernilai 148 juta; yang mana
ianya galakan terhadap pembangunan generasi muda.
Makanya menjadi suatu keutamaan buat Kerajaan
Negeri untuk menyediakan suatu perancangan dasar
ataupun suatu master plan yang merangka
kesinambungan dari program-program yang
diumumkan. Kita tidak mahu peruntukan ini sekadar
melaksanakan program-program beliau tanpa
wawasan yang jelas untuk meletakkan peranan belia
dalam membangunkan Negeri Selangor.
Bagi menjamin kesinambungan yang didasari
pembangunan generasi muda yang kreatif, berdaya
saing dan mempunyai daya cipta yang tinggi,
keutamaan haruslah diberikan kepada usaha untuk
menyegerakan kemudahan Wi-Fi di seluruh Negeri
Selangor agar menjadi pemangkin dan gerbang
maklumat buat generasi muda. Walau bagaimanapun,
saya berpendapat peruntukan RM 10 juta untuk
pembangunan Wi-Fi pastinya tidak mencukupi. Oleh
kerana itu, saya berharap Kerajaan Negeri
mengusahakan supaya diadakan peruntukan tambahan
untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan
sepenuhnya dalam kadar yang segera.
Selain daripada itu, saya juga ingin mencadangkan
supaya program-program pemerkasaan generasi muda
diperbanyakkan. Namun program ini bukanlah sekadar
memenuhi kriteria kepimpinan dan pengukuhan
organisasi. Program pemerkasaan ini haruslah sebuah
program yang mampu mendorong generasi muda
untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif serta
mempunyai daya saing yang tinggi.
Pada masa yang sama, program bersifat kebudayaan
juga harus digarap dalam rencana panjang ini supaya
generasi muda Selangor membangun sebagai sebuah
generasi moden yang berpasak kukuh kepada akar
budaya bangsanya. Negeri Selangor harus menjadi
contoh untuk mempelopori usaha ini sekaligus
mendepani masa hadapan dengan melahirkan generasi
tweakers.
HAK MILIK STRATA RUMAH PANGSA KOS RENDAH
Saya ingin mengajak Dewan ini untuk membincangkan
secara serius masalah pemilik-pemilik rumah pangsa
yang tidak mahu mengambil hakmilik strata
masing–masing kerana mereka terpaksa menanggung
kos pindah milik yang tinggi seperti fee guaman,
bayaran kepada Pejabat Tanah dan Galian dan duti
setem. Sebagai contoh, PKNS mempunyai tunggakan
cukai tanah berjumlah RM 16 juta sehingga September
2011 memandangkan terdapat hampir 40,000 unit
rumah kos rendah dan lebih 58, 000 unit rumah kos
sederhana yang telah dijual oleh PKNS tetapi
menghadapi masalah proses pindah milik seperti yang
dinyatakan tadi.
103. Anggaran kos pindah milik rumah yang berharga RM
42, 000 menelan belanja RM1, 288 manakala untuk
rumah yang berharga RM72, 000 kos pindah milik
berjumlah RM1,588.00.
Lanjutan daripada masalah ini, PKNS tercatat dalam
akaun negeri sebagai pemiutang dengan jumlah RM15 juta.
Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri
menyerap kos pindah milik bagi meringankan beban
pemilik-pemilik rumah kos rendah ini yang umumnya
berpendapatan rendah.
Usaha ini akan membolehkan setiap pemilik memiliki
hak milik masing-masing dan ianya akan memberi nilai
kepada hartanah berkenaan di masa yang akan datang.
PEMBATALAN CUKAI PINTU
Saya ingin menarik perhatian dewan berhubung
kutipan cukai pintu berdasarkan pegangan yang
dikutip oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri
Selangor.
Memandangkan kos kehidupan semakin meningkat,
saya ingin bincang bagaimana Kerajaan Negeri dapat
membantu rakyat Negeri Selangor yang berpendapatan
rendah untuk menabung sebahagian kecil daripada
pendapatan bulanan mereka.
Pada masa ini, rakyat Negeri Selangor yang memiliki
rumah kediaman dan premis perniagaan perlu
membayar cukai pintu kepada PBT. Sumber
pendapatan utama PBT ialah dari kutipan hasil cukai
pintu ini untuk menampung perbelanjaan mengurus
PBT yang berkenaan. Kadar taksiran bagi pegangan ini
berbeza-beza mengikut status bangunan, jenis
kediaman dan kawasan.
Sebagai contoh, Majlis Daerah Sabak Bernam yang
mempunyai jumlah pegangan 2,564 untuk perniagaan
dan 12,791 kediaman yang terdiri daripada 3,399 unit
rumah kos rendah dan 2,084 unit rumah kos
sederhana. Jumlah hasil kutipan untuk perniagaan
ialah RM867,921.35 manakala untuk kediaman RM
1,482,930.11.
Manakala di bawah pentadbiran MPAJ, terdapat 23,552
pegangan perniagaan dan 135,073 pegangan
kediaman yang meliputi 30, 752 unit rumah kos
rendah. Jumlah hasil kutipan untuk perniagaan ialah
RM 17. 3 juta manakala untuk kediaman berjumlah RM
51. 1 juta.
Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri
dapat menimbangkan untuk menghapuskan cukai pintu bagi
rumah-rumah kos rendah di Negeri Selangor.
Walaupun saya menyedari bahawa usaha ini akan
mengurangkan kutipan hasil PBT, namun perlaksanaannya
akan memberi manfaat langsung kepada rakyat yang
berpendatan rendah. Untuk menampung kekurangan hasil
BT, saya ingin mencadangkan di Dewan ini memandangkan
Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan 24.9% belanja mengurus,
sejumlah wang di bawah maksud Bekalan boleh diperuntukkan
kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
Saya yakin Kerajaan Negeri berupaya untuk menyerap
kos ini memandangkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri
untuk tahun ini dan tahun akan datang amat kukuh dan usaha
ini adalah bagi menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Selangor
khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
PROGRAM PENGHUTANAN SEMULA
Saya ingin mendapatkan penjelasan dari Kerajaan
Negeri berhubung status pulangan kepada Kerajaan
Negeri berhubung projek menghutan semula kawasan
Acasia dengan projek tanaman Sentang dan Jati di
Hutan Simpan Bukit Tarek dan Hutan Simpan Rantau
Panjang, daerah Hulu Selangor.
Saya mendapat maklumat bahawa pada 22 Februari
2001, Kerajaan Negeri telah menandatangani
perjanjian konsesi dan pajakan dengan PKPS di mana
PKPS diberi konsesi tanah Hutan Simpan Bukit Tarek
seluas 5,000 hektar dan Hutan Simpan Rantau Panjang
seluas 5,000 hektar untuk tempoh pajakan selama 60
tahun.
Aktiviti perhutanan semula dijalankan oleh PKPS
dengan usahasama tujuh (7) syarikat swasta. Antara
syarikat swasta yang mendapat konsesi ini ialah
Syarikat Schrader Forest Management Sdn Bhd. untuk
kerja-kerja penanaman pokok jati. Salah seorang Ahli
Lembaga Pengarah syarikat ini ialah Tan Sri Dato’ Seri
Sanusi Junid. Syarikat ini telah diberi konsesi tanah
Hutan Simpan Bukit Tarek seluas 5,000 hektar untuk
tempoh pajakan selama 50 tahun.
Syarikat lain yang mendapat konsesi tanah Hutan
Simpan Rantau Panjang seluas 1,000 hektar untuk
tempoh pajakan selama 50 tahun ialah Syarikat In-N-
Out Plantation Management Sdn. Bhd. Ahli Lembaga
Pengarah yang mewakili syarikat menandatangani
perjanjian konsesi dengan PKPS pada 16 Mei 2002
ialah Dato’ Abdul Rahman bin Palil. Saya difahamkan
maklumat kelulusan pemberian konsesi tanah seluas
1,000 hektar kepada Syarikat In-N-Out Plantation
Management Sdn. Bhd. sudah tidak dapat dikesan di
PKPS.
Syarikat-syarikat lain yang mendapat konsesi di Hutan
Simpan Bukit Tarek dan Hutan Simpan Rantau Panjang
adalah Syarikat Mega Forest Plantation Management
Sdn. Bhd. (1,000 hektar) bagi kerja-kerja menanam
pokok sentang, Syarikat Mewah Ikhtiar Sdn. Bhd. (660 hektar),
Syarikat Eco Murni Sdn. Bhd. (80 hektar),
Syarikat Kayangan Rampai Sdn. Bhd. (100 hektar) dan
Syarikat Tropical Position Sdn. Bhd. (1,144 hektar).
Perjanjian konsesi di antara PKPS dan syarikat-syarikat
pemajak telah menetapkan kadar pajakan, royalti
balak, hasil ladang termasuk cukai-cukai yang perlu
dibayar kepada Jabatan Perhutanan Negeri.
Menurut semakan awal saya, unjuran pendapatan
PKPS berbanding dengan syarikat-syarikat pemajak
menunjukkan untuk tempoh lebih dari 20 tahun, PKPS
akan mendapat pulangan sebanyak RM40 juta bagi
pajakan tanah seluas 10,000 hektar manakala syarikat-
syarikat pemajak dijangka mendapat keuntungan lebih
daripada RM400 juta.
Saya ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan
Negeri bagaimana perjanjian yang ditandatangani oleh
PKPS dengan syarikat-syarikat pemajak bersifat berat
sebelah dan tidak memberi pulangan yang adil kepada
Kerajaan Negeri. Apakah tindakan Kerajaan Negeri hari
ini untuk memperbetulkan ketempangan dan
penyelewengan yang berlaku dalam penganugerahan
konsesi tanah di kedua-dua hutan simpan ini ?
Saya difahamkan bahawa jumlah keseluruhan bayaran
yang telah diterima oleh PKPS sehingga bulan Oktober
2009 bagi program penghutanan semula Hutan Simpan
Bukit Tarek dan Hutan Simpan Rantau Panjang adalah
lebih kurang RM700,000 sahaja. Bagaimana konsesi
tanah seluas 10,000 hektar untuk pajakan selama 60
tahun memberikan pulangan kepada Kerajaan Negeri
hanya RM 700,000 sahaja ?
Jumlah bayaran yang diterima oleh PKPS dari Syarikat
In-N-Out Sdn. Bhd. bagi bayaran pajakan sehingga
bulan Oktober 2009 hanya RM 46,526 sahaja.
Saya ingin mendapat jawapan yang tepat dari Kerajaan
Negeri mengenai jumlah bayaran yang diterima dari
setiap syarikat pemajak mengikut pecahan jumlah
kadar pajakan, royalti balak, hasil ladang dan cukai
yang telah dibayar kepada Jabatan Perhutanan Negeri
Selangor sehingga 31 Disember 2010.
Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada
Kerajaan Negeri apakah bentuk tindakan yang bakal
diambil ke atas syarikat-syarikat pemajak ini yang
telah mencabuli perjanjian yang ditandatangani
dengan PKPS ?
PENDIDIKAN
Saya ingin mengajak Dewan untuk memberi perhatian
kepada persoalan pendidikan. Berdasarkan statistik
Jabatan Perangkaan, terdapat lebih 50,000 orang yang
kini tinggal di sekitar puncak Bukit Antarabangsa.
Daripada jumlah ini, dilaporkan terdapat 15,000
pelajar di peringkat menengah manakala 5,000 pelajar
lagi adalah di peringkat rendah.
Namun, sehingga hari ini, belum wujud satu sekolah
rendah atau menengah di puncak Bukit Antarabangsa.
Ibu bapa dan penjaga terpaksa menghantar anak-anak
mereka ke sekolah-sekolah di Hulu Kelang, Taman
Melawati dan Dato’ Keramat yang terletak jauh dari
rumah kediaman dan terpaksa mengharungi
Lebuhraya MRR2 yang senantiasa sesak. Tambahan
pula, sekolah-sekolah ini telahpun padat dengan
pelajar-pelajar.
Saya telah mendapat kerjasama yang cukup baik dari
Pengarah Tanah dan Galian, Negeri Selangor ketika itu,
Dato’ Mohd Jaafar Bin Mohd Atan dan pegawai-
pegawai Kementerian Pelajaran bersama pegawai-
pegawai dari MPAJ dan Pejabat Daerah dan Tanah
Gombak untuk turun ke padang dan melihat lokasi
yang sesuai dan selamat untuk pembinaan sekolah.
Hasil perbincangan dengan pegawai-pegawai yang
bertanggungjawab, Kerajaan Negeri telah mengenal
pasti dua tapak yang amat sesuai bagi pembinaan
sekolah rendah dan menengah bagi menampung
keperluan mendesak pendidikan anak-anak kita di
Bukit Antarabangsa.
YAB Dato’ Menteri Besar telah menulis surat kepada
YAB Menteri Pelajaran pada Mei 2010 untuk memohon
kelulusan Kerajaan Pusat untuk memasukkan
cadangan pembinaan sekolah-sekolah ini dalam
Rancangan Malaysia ke 9. Malangnya, sehingga hari ini,
tidak ada sebarang usaha Kerajaan Pusat untuk
membina sekolah rendah dan sekolah menengah di
Bukit Antarabangsa malahan surat rasmi dari Kerajaan
Negeri Selangor tidak dijawab oleh Timbalan Perdana
Menteri.
Apakah ini transformasi yang dijanjikan oleh Perdana Menteri ?
Apabila Kerajaan Negeri diserang oleh Timbalan
Menteri Pelajaran minggu lalu di Dewan Rakyat dengan
dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu
menyediakan tapak untuk pembinaan sekolah, saya
telah berbahas dengan YAB Menteri Pelajaran pada 24
Oktober 2011 bahawa tapak telah disediakan hampir
dua tahun tetapi tiada sebarang tindakan yang positif
dari Kementerian Pelajaran. Tan Sri Muhyiddin Yassin
cuba memberi helah bahawa Kementerian Pelajaran
tidak mempunyai peruntukkan yang mencukupi. Sekali
lagi, Ahli Parlimen dari Machang bangun mencelah dan
mengemukakan bukti bahawa Kementerian Pelajaran
mempunyai peruntukkan yang mencukupi bagi tujuan
ini malahan menurut laporan Ketua Audit Negara,
Kementerian Pelajaran hanya membelanjakan 55%
daripada peruntukkan.
Pada ketika itulah, YAB Menteri Pelajaran
menunjukkan sifat dan watak sebenar pemimpin
UMNO dengan menyatakan bahawa peruntukkan yang
sedia ada ditumpukan di tempat yang lain kerana
permohonan yang dikemukakan datangnya dari
Gombak. Inilah alasan sebenar mengapa permohonan
dari Kerajaan Negeri tidak dipedulikan kerana
Kerajaan Pusat sanggup mengorbankan kepentingan
pendidikan anak-anak kita kerana pertimbangan
politik mereka.
Justeru itu, saya ingin mendesak Kerajaan Negeri untuk
segera meluluskan sejumlah peruntukkan untuk membina sekolah agama di puncak Bukit Antarabangsa. Statistik menunjukkan terdapat lebih 35,000 keluarga umat Islam yang menetap di puncak Bukit Antarabangsa. Keperluan pendidikan agama Islam amat mendesak dan saya pohon kelulusan dalam
Dewan ini untuk memenuhi hasrat di atas.
PROGRAM PEMULIHAN PROJEK-PROJEK TERBENGKALAI
Saya difahamkan terdapat lebih 180 projek perumahan
terbengkalai di Negeri Selangor yang diwarisi dari
pentadbiran yang lama. Projek-projek ini tergolong
dalam 3 kategori iaitu sakit, tenat dan terbengkalai.
Sebahagian daripada projek terbengkalai ini terletak di
Hulu Kelang, Gombak.
Saya ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan
Negeri apakah usaha-usaha yang telah dan akan
diambil untuk memulihkan projek-projek ini demi
melindungi hak dan kepentingan pembeli-pembeli
rumah-rumah yang berkenaan? Apakah kekangan
yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri dari segi
perundangan dan juga implikasi kewangan untuk
memulihkan projek-projek ini? Apakah tindakan yang
boleh diambil dalam kerangka bidang kuasa Kerajaan
Negeri terhadap pemaju-pemaju yang tidak bertanggungjawab
dalam menyiapkan projek-projek ini?
Saya mengikuti kejayaan Kerajaan Negeri dalam
program pemulihan projek perumahan di Bukit Botak
dan Alam Perdana di Kuala Selangor. Namun, puluhan
ribu pembeli rumah terbengkalai yang lain sedang
menunggu tangan Kerajaan Negeri untuk menyelamatkan mereka.
MENINGKATKAN PENGELUARAN MAKANAN DALAM NEGERI
Import bahan makanan negara semakin meningkat dan
ianya memberi kesan langsung kepada harga bahan
makanan yang semakin membebankan rakyat.
Program Jaminan Makanan Negara (Food Security
Program) yang diperuntukkan sejumlah RM50 bilion
telah gagal mengurangkan impot bahan makanan.
Punca kegagalan projek ini ialah kerana
penyelewengan dan salah guna kuasa seperti apa yang
berlaku dalam Projek Feedlot Negara yang didedahkan
oleh Ketua Audit Negara dalam Dewan Rakyat baru-
baru ini.
Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan
supaya Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada
usaha untuk meningkatkan pengeluaran bahan
makanan dalam negeri bagi membantu usaha
mengurangkan impot bahan makanan. Bidang
pertanian dengan teknologi yang tinggi dan insentif
yang menarik boleh menjana pertumbuhan industri
pertanian moden di Negeri Selangor.
Selangor mempunyai peranan penting untuk menjamin
bekalan makanan rakyat. Selangor juga mempunyai
kapasiti dari segi keluasan tanah, kewangan dan
kepakaran untuk membangunkan sektor pertanian
dengan lebih terurus dan cekap.
Saya mencadangkan Kerajaan Negeri memberi
tumpuan khusus kepada usaha-usaha melahirkan
petani dan penternak berjaya yang beroperasi di
Selangor melalui program-program khusus yang
dirintis Kerajaan Negeri.
Peranan PKPS perlu diteliti semula selaras dengan
keperluan semasa yang menuntut PKPS lebih proaktif
bukan sekadar memungut dividen di atas
pelaburannya yang tidak lagi produktif tetapi menjadi
anak syarikat yang terlibat secara langsung dalam
pertanian moden berteknologi tinggi bagi
meningkatkan produktiviti asas tani dalam negeri.
Melalui PKPS, usaha melatih dan melengkapkan petani
dan penternak terpilih perlu dipertingkatkan di
samping memberi sokongan dalam bentuk penyediaan
tapak dan modal pinjaman.
Pendekatan Kerajaan Selangor perlu berbeza dari
dasar UMNO yang hanya memperuntukkan dana besar
dan tanah ribuan ekar kepada kerabat Menteri sahaja,
sedangkan ribuan petani dan penternak yang
sepatutnya mendapat manfaat dipinggirkan.
PENUTUP
Saya penuh yakin dan percaya bahawa kerajaan
Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah kepimpinan
YAB Menteri Besar adalah sebuah kerajaan yang
sentiasa mengutamakan kebajikan serta prihatin
terhadap kehidupan dan masa depan rakyat.
Kejayaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor adalah
bukti yang jelas bahawa kerajaan yang prihatin dan
amanah akan terus menerima mandat dan kepercayaan
daripada rakyat untuk kekal mentadbir Negeri Selangor.
Kita harus ingat bahawa tatakelola yang baik dan
kecekapan pengurusan ekonomi serta masa depan
rakyat yang terjamin adalah bergantung kepada
kerajaan yang amanah serta sentiasa memberikan
keadilan untuk rakyatnya.
Inilah pentadbiran yang wajar dikekalkan agar
kebijakan yang digarap demi kemaslahatan rakyat
dapat diteruskan. Disiplin pengurusan kewangan
negeri menzahirkan iltizam untuk memastikan
ketirisan dan penyelewengan pentadbiran terdahulu
tidak berulang.
Saya yakin rakyat Selangor membuat pilihan yang tepat
dengan memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui
negeri ini.
