Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Shahidan lantik musuh politik sebagai Exco Kerajaan Negeri

Perlantikan ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Beseri, Datuk Zahidi Zainul Abidin - yang dianggap 'musuh politik' Menteri Besar, Shahidan Kassim - sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Jumaat lalu- amat mengejutkan.

Di Perlis, ianya menjadi rahsia umum yang Shahidan tidak sebulu dengan Zahidi, Datuk Radzi Sheikh Ahmad (Ketua Bahagian Kangar) dan Datuk Azmi Khalid (Ketua Bahagian Padang Besar) yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Zahidi yang juga ahli Exco Pergerakan pemuda Umno Malaysia pernah menjadi pegawai di pejabat Menteri Besar Perlis. Bagaimanapun, hubungannya dengan Shahidan menjadi "sangat dingin" selepas pilihanraya umum 1999.

Berikutan itu, khabar angin bertiup kencang di Perlis sekarang mengenai kemungkinan perlantikan itu sebagai satu 'pakatan politik' di antara Shahidan dan Zahidi, bagi menghadapi cabaran hebat daripada Radzi dan Azmi, dalam pemilihan parti akan datang.

Ini berikutan Shahidan dan Zahidi telah mengadakan hari terbuka bersama, bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Beseri, sempena Hari Raya Puasa baru-baru ini.

Zahidi yang sebelum ini menjadi Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kedua, memang diketahui rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah. Ahmad Badawi.

Tandatanya

Shahidan ketika mengumumkan perkara itu Jumaat lalu, berkata perlantikan Zahidi pada telah mendapat restu Abdullah.

Zahidi dijadual menerima tauliah perlantikan dan mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Istana Arau apabila baginda pulang daripada bercuti di luar negeri.

Sebelum ini, Perlis mempunyai enam ahli Exco - Datuk Ishak Arshad (Hal-Ehwal Agama Islam dan Pengguna), Datuk Yazid Mat (Kemudahan Awam, Pelaburan dan Industri), Datuk Dr Md Isa Sabu (Exco Pertanian dan Alam Sekitar), Mohd Hadzi Nordin (Exco Tanah, Perhutanan dan Pembangunan Luar Bandar), Loh Yoon Foo (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Abu Bakar Ismail (Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan).

Shahidan dijangka menyerahkan salah satu daripada enam portfolio yang disandangnya sekarang kepada Zahidi. Enam portfolio tersebut ialah Pentadbiran Kewangan, Belia dan Sukan, Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Kesihatan dan Hal-Ehwal Wanita.

Perlantikan Zahari ini juga menimbulkan banyak tandatanya memandang pilihanraya umum tidak lama lagi.

Selain itu, Shahidan sebelum ini pernah mendakwa adanya orang tertentu di negeri itu yang membawa mulut yang karier politiknya akan tamat berikutan selepas persaraan Tun Dr Mahathir Mohammad dan digantikan oleh Abdullah.

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, ramai yang percaya dakwaaan Shahidan itu, antaranya ditujukan kepada penyokong Zahidi.

Penafian

Sumber-sumber itu juga percayai, perlantikan Zahidi juga menjadi petanda awal bahawa perubahan kepimpinan akan berlaku dalam Umno dan kerajaan negeri Perlis selepas pilihanraya umum nanti.

Bagaimanapun, menurut laporan akhbar, Shahidan terpaksa menafikan kepada para wartawan bahawa beliau akan diganti.

Ketika menafikan desas-desus terbaru,Shahidan mendakwa ia sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang cemburu pada kekuatan jentera Barisan Nasional Perlis.

Sebelum itu, pihak akhbar melaporakan mengenai desas-desus kononnya Johor akan mempunyai Menteri Besar baru pada pilihan raya umum ke-11 akan datang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman enggan mengulas perkara itu serta spekulasi yang beliau akan bertanding di peringkat Parlimen.

Beliau dilaporkan berkata, masa depan dan kedudukannya dalam Umno dan Kerajaan Johor akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS