Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Bagi ramai umat Islam negara ini yang terbiasa dengan model politik Islam PAS, penampilan parti berteraskan Islam di Tunisia, Ennahda (An-Nahdhah), di pentas politik negara itu, tentu begitu mengejutkan dan sangat janggal.

Pada 22 Januari lalu – 8 hari selepas Ben Ali digulingkan - pemimpin utama Ennahda, Syaikh Rashid Ghannoushi memberikan kenyataan kepada akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya tidak berusaha melaksanakan syariat Islam jika berpeluang memerintah Tunisia.

Objektif partinya jelas, iaitu membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk.

Jika sikap dingin Ennahda terhadap perlaksanaan syariat Islam ini diteropong melalui jendela politik Islam versi PAS, ia tidak boleh diterima langsung - sebuah parti Islam mengumumkan tidak berusaha melaksanakan syariat Islam dalam negara yang dikuasainya!

Dalam persekitaran politik Islam versi PAS, tindakan sesebuah parti Islam tidak menyebut sebarang sikap berhubung perlaksanaan syariat Islam masih boleh diterima, walaupun dengan berat hati.

Ennahda bukan mengumumkan tidak akan melaksanakan hudud – juzuk kecil dalam syariat Islam – sebaliknya tidak akan berusaha melaksanakan syariat Islam itu sendiri!

Andainya pengumuman serupa – disebabkan pertimbangan tertentu yang wajar – dilakukan oleh parti Islam di Malaysia, barangkali ramai ahli akan meninggalkan parti.

Paling kurang pun, parti akan dituduh mengorbankan perjuangan menegakkan agama Allah dan mencari keredaan-Nya, semata-mata kerana kuasa politik dan 'keredaan' pengundi (terutamanya bukan Islam)!

Jika pengumuman seperti itu dibuat oleh parti yang bukan dari aliran Islam, akidah pemimpinnya akan segera diragui, dan dengan pantas dilabel menolak hukum Allah serta lebih mengutamakan sokongan pengundi.

Negara sekular

Sejajar dengan pengumuman itu, persoalan berhubung perlaksanaan syariat Islam, termasuk hudud dan qisas, tidak didendangkan langsung oleh Ennahda dalam kempen pilihan raya Tunisia pada 23 Oktober lalu.

Ennahda yang diasaskan pada tahun 1981 terus membuat 'kejutan', apabila mengumumkan akan berusaha membentuk masyarakat sekular pelbagai parti yang menghormati hak-hak manusia!

Dalam iklim politik Malaysia, sikap Ennahda yang berterus terang sangat ‘melampau’ dan pasti mencetuskan perdebatan hukum yang serius.

Tindakan sebegitu sangat sensitif bagi umat Islam di sini, sehinggakan Umno sendiri, yang disifatkan PAS sebagai bukan parti Islam, tidak berani dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Umno sebaliknya bersungguh-sungguh mendakwa dirinya juga memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam, dan Malaysia merupakan negara Islam.

Rentetan pendirian politik itu, pengasas Ennahda Rachid Ghannouchi mengambil sikap liberal atau sangat ‘longgar’ terhadap aktiviti penjualan dan penggunaan arak di Tunisia.

Beliau mengumumkan, partinya tidak akan menutup tempat penjualan arak dan tidak akan mengganggu budaya memakai bikini di pantai negara itu.

Sikap yang sama ditunjukkan dalam layanan parti Islam itu terhadap wanita. Mereka membenarkan wanita Islam tidak bertudung menjadi calonnya, disamping menjamin mempertahankan hak wanita Tunisia memakai apa jua pakaian yang dikehendaki.

‘Jenama Islam’

Pendirian politik dan sikap liberal Ennahda berhubung persoalan yang dinyatakan membentuk kesimpulan, iaitu parti Islam itu berusaha menyembunyikan ciri-ciri keislaman dalam tindak tanduk dan pendiriannya, demi maslahah yang lebih besar, iaitu menerajui negara.

Ennahda juga cuba menampilkan dirinya dalam bentuk sebuah parti yang dinamik, sederhana dan toleran.

Ini berbeza dengan PAS yang dilihat berusaha ke arah sebaliknya, iaitu menampilkan ciri-ciri keislaman dan ‘jenama Islam’.

Namun, perkembangan semasa memperlihatkan PAS semakin mendekati Ennahda apabila ‘menutup’ ciri-ciri keislamannya zahir dan ketara, iaitu penubuhan negara Islam, yang kini dengan idea negara berkebajikan.

Bezanya, Ennahda tidak mengambil masa untuk sampai kepada kedudukannya sekarang. Parti itu tampil dengan watak sebegitu sejak awal, sejak kejatuhan regim Ben Ali lagi.

Tidak seperti PAS - parti yang satu-satunya menamakan dirinya parti Islam itu  mengambil masa puluhan tahun untuk sampai kepada titik itu, iaitu titik pasca pilihan raya umum 2008, yang menyaksikannya tampil dengan karakter sederhana dan dinamik.

PAS mengambil masa puluhan tahun untuk menyolek dirinya. Dipercayai, banyak pihak, termasuk profesional dalam PAS, mengimpikan agar PAS tampil seperti bentuknya sekarang, paling tidak, sejak berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990.

Tentunya ada pihak yang mengandaikan, jika parti itu bermula awal,

mungkin kedudukannya di pentas politik tanah air masa kini lebih baik dari sekarang atau sudah pun menguasai Putrajaya!

Ijtihad politik

Mengambil kira kedudukan Ghannoushi selaku seorang pemikir Islam yang banyak menghasilkan karya bermutu, menjadi pembantu setiausaha agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Yusuf Qaradhawi, pendirian Ennahda perlu dinilai sebagai ijtihad politik yang perlu dialu-alukan.

Ennahda melihat dirinya berhadapan dengan kewajipan membentuk negara yang adil serta kewajipan melaksanakan hukum hakam Islam berhubung arak, hudud dan penguatkuasaan etika Islam.

Pada pertimbangan Ennahda, kedua-dua kewajipan ini tidak dapat dilaksanakan serentak. Pelaksanaan hukum hakam berkaitan arak, hudud dan etika Islam dijangka akan mencetuskan tentangan rakyat, seterusnya mungkin mengakibatkan mereka gagal menerajui negara.

Sehubungan itu, Ennahda memilih memberi keutamaan kepada kewajipan membentuk negara yang adil, biarpun dengan menangguhkan buat sementara kewajipan lain.

Pendirian ini diambil kerana parti itu melihat ‘menerajui negara’ maslahahnya lebih besar. Ia akan memberi peluang kepada parti itu

melaksanakan agenda yang lebih menyeluruh kesannya, iaitu keadilan sosial, kebebasan undang-undang, perlaksanaan syura, ketelusan pentadbiran dan demokrasi. Pada hakikatnya ia tuntutan Islam yang besar dan utama.

Selain berpedomankan Fekah Awlawiyyat (fekah keutamaan) dalam membuat pendirian politik, Ennahda juga berpandukan kepada konsep tadarruj (beransur-ansur) dalam perlaksanaan Islam.

Realitinya, konsep ini kekal absah, bukannya 'tamat tempoh’ sebaik sahaja hukum hakam Islam lengkap dan sempurna, sejurus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Dalam ruangan yang terbatas ini, tindakan dan kenyataan Khalifah Umar Abdul Aziz sudah memadai untuk mengesahkan keabsahan konsep ini sehingga ke hari ini.

Umar, pada zaman pemerintahannya, pernah menangguhkan usaha-usaha penghapusan saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah sebelum beliau (Lihat al-Qaradhawi dalam kitab al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud Wa al-Tatarruf, hlm 106).

Penangguhan ini bagaimanapun dibantah anak beliau Abdul Malik. Beliau berkata kepada Umar:

“Mengapa ayahanda tidak melaksanakan perkara-perkara ini (menghapuskan saki baki penyelewengan dan kezaliman)? Demi Allah, anakanda tidak peduli, sekalipun anakanda dan ayahanda menggelegak dalam kawah kerana menegakkan kebenaran!”

Khalifah Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama) membantah kenyataan anaknya itu dengan berkata:

“Jangan tergesa-gesa anakanda, kerana sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada waktu berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya) mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu).

“Sesungguhnya, ayahanda takut untuk mewajibkan al-haq (perkara yang benar) ke atas manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan) fitnah.” (Lihat Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat , jilid 2, hlm 93-94).

Fekah Awlawiyyat

Realiti di Tunisia mungkin berbeza dengan negara ini. Tulisan ini tidak bermaksud memberi saranan kepada mana-mana pihak agar mengambil sikap politik yang sama dengan Ennahda.

Objektif tulisan ini ialah melambung persoalan Fekah Awlawiyyat agar menjadi pertimbangan dan perkiraan semua pihak, terutama gerakan Islam, dalam setiap tindak tanduk dan perdirian yang diambil.

Ya, mungkin suasana di Tunisia memerlukan Ennahda mengambil sikap yang begitu liberal terhadap perlaksanaan syariat Islam disebabkan latar belakang kehidupan rakyatnya yang dicengkam ‘sekularisme melampau’ sejak berdekad-dekad lamanya.

Namun, kita perlu berfikir panjang dan berhati-hati sebelum mengutarakan bahawa pendekatan, sikap dan pendirian politik yang serupa tidak sesuai di Malaysia, disebabkan perkembangan Islam yang pesat di negara ini dan kefahaman rakyatnya yang tinggi terhadap Islam.

Ini kerana, di sini terdapat fenomena yang memerlukan pertimbangan khusus, yang lebih ‘parah’ daripada ‘sekularisme melampau’ di Tunisia, iaitu kewujudan bukan Islam yang ramai dan menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya.

Jika realiti semasa Tunisia yang dilatari ‘sekularisme melampau’ dalam tempoh yang lama memerlukan Ennahda mengambil sikap sebegitu, bagaimana pula dengan realiti berteraskan kemajmukan agama dan kepercayaan seperti di Malaysia?

Mana-mana pihak yang menyakini politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam dan percaya perjuangan menegakkan negara adalah tuntutan Islam, tidak perlulah tampil menyifatkan tindakan Ennahda sebagai mengorbankan prinsip perjuangan atau tuntutan agama demi kuasa politik.

Mereka tidak boleh berkata demikian kerana mereka juga yang melaung-laungkan bahawa perjuangan menegakkan negara dan memerintah negara adalah satu kewajipan dan tututan Islam.

Jika demikian, tindakan Ennahda itu termasuk dalam kategori mendahulukan kewajipan agama (menegakkan negara) yang dinilai lebih utama, dengan menangguhkan satu lagi kewajipan agama (perlaksanaan hudud dan penguatkuasaan etika Islam) yang dinilai sebaliknya.

Ia adalah berkaitan Fekah Awlawiyyat. Ia bukannya menggadai prinsip perjuangan demi kuasa!


Penulis adalah lepasan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Mu’tah, Jordan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkang pendirian rasmi sisang pengarang Malaysiakini.

ADS