Empat lelaki memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pemaju, Eco Meridian Sdn Bhd berhubung projek Subterranean Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (sPICE) di Relau.
Keempat-empat mereka yang mendakwa sebagai mewakili semua pembayar cukai di negeri itu, - Khoo Yen Her, Abdul Manan Abdul Manap, Sathiasilan Krishnan dari Bayan Baru dan Rama Krishnan Rajagopal dari Farlim - menuntut untuk melihat perjanjian yang dimeterai itu.
Perjanjian itu bagi membina projek kontroversi berkenaan yang ditandatangani oleh MPPP bersama Eco Meridian, sebuah anak syarikat pemaju hartanah yang dikaitkan dengan Umno, SP Setia Bhd
Keempat-empat mereka juga mahu Mahkamah Tinggi mengisytiharkan perjanjian berkenaan sebagai batal dan tidak sah.
Menurut peguam mereka, Thayalan Muniandy, semua anak guamnya itu mahu mencabar kesahihan perjanjian antara pihak-pihak yang terbabit.
"Kami telah minta salinan perjanjian daripada MPPP, tetapi diberitahu bahawa ia tidak mempunyai locus standi bagi memberikan dokumen-dokumen itu kepada kami.
"Ini adalah memalukan, terutamanya di Pulau Pinang yang sepatutnya mempunyai Akta Kebebasan Maklumat," ," kata Thayalan di luar mahkamah.
Menurut Thayalan, berdasarkan laporan akhbar, ia kelihatan seolah-olah kerajaan negeri telah ‘meramapas’ autonomi MPPP.
