Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cukai 6 peratus prabayar telco belum muktamad
Diterbitkan:  Nov 22, 2011 3:58 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Kerajaan belum memutuskan sama ada membatalkan atau tidak cukai enam peratus terhadap pengguna talian pra-bayar seperti yang diumumkan Syarikat telekomunikasi (telco) sebelum ini.

Menyatakan demikian di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Joseph Salang berkata cukai tersebut merupakan salah satu daripada cukai pendapatan utama negara.  

NONE "Keputusan yang akan dibuat juga mungkin bergantung kepada syarikat Telco sendiri," katanya ketika menjawab soalan tambahan dari Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai status penangguhan caj tersebut seperti yang diumumkan KPKK baru-baru ini.

Kepada pertanyaan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah), Salang berkata sebanyak 1,692 lokasi telah dikenal pasti bagi melaksanakan projek Kampung Tanpa Wayar (KTW) dan ia dijangka siap pada hujung tahun depan.

Katanya, buat masa ini Kementerian sedang melaksanakan program KTW secara berperingkat.

    

“Sebanyak 1,408 kampung di seluruh negara telah dilengkapi dengan perkhidmatan wifi sehingga 22 September lalu, namun angka tersebut tidak merangkumi pusat akses tanpa wayar di Pulau Pinang dan Miri, Sarawak," katanya.

Salang turut menjelaskan bahawa sebelum ini projek KTW telah pun dibangunkan di kawasan terpilih semasa pilihan raya kecil seperti di Kerdau, Pahang; Merlimau, Melaka; Tenang, Johor; Gua Musang, Kelantan; dan Sibu, Sarawak," katanya.

Kepada soalan tambahan Amran mengenai kriteria pemilihan kampung untuk diberikan wifi percuma beliau berkata ia dipilih berdasarkan tiga kriteria utama.

"Ini melibatkan pemilihan mengikut berapa ramai penduduk di satu-satu kampung;...adakah kampung tersebut berdekatan dengan kawasan yang sudah mempunyai perkhidmatan untuk akses kepada 3G dan sebagainya; dan terakhir...adakah kawasan kampung tersebut sudah mempunyai perkhidmatan wayar seperti telefon tetap," katanya.

- Bernama

ADS