Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat yang berlangsung mulai 25 hingga 27 November 2011, bertempat di Pulai, Johor Darul Takzim, merupakan peluang terbaik bagi warga KEADILAN dan simpatisan melakukan muhasabah diri sebaik mungkin bagi memperkasa minda dan jiwa dalam menghadapi PRU 13 yang akan dilalui tidak lama lagi.

Kongres pada tahun ini akan berlangsung serentak dengan hari ulang tahun Ma’al Hijrah pada Ahad nanti. Justeru, adalah memberi manfaat besar kepada KEADILAN andainya kita dapat mengambil 'ibrah daripada peristiwa hijrah yang amat bersejarah yang telah merobah tamaddun insan secara total ini.

Peristiwa Hijrah adalah titik peralihan penyelamat insan dari kemuncak kefasadan, penindasan, fitnah, kezaliman dan perkauman sempit. Hasil kejayaan hijrah, terbentuklah Piagam Madinah yang melahirkan masyarakat baru yang merdeka, bebas, adil dan padu di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Era gemilang ini bukanlah dimiliki secara mudah. Ia dicapai oleh para pejuang yang punyai kualiti dalaman diri luarbiasa kehebatannya.

Khusus untuk para reformis, kami menyarankan 5 ibrah (pengajaran) fokus dari peristiwa hijrah ini. Semoga ia di ramuan penting memperkasa dalaman diri dalam mencapai cita-cita murni reformasi demi kesejahteraan rakyat ini. Pertamanya, setiap pejuang perlulah mengikhlaskan niat. Penghijrahan yang dilakukan oleh para Sahabat bersama Muhammad SAW adalah ikhlas untuk menegakkan ajaran suci Islam – kebebasan, kebenaran, keadilan - tanpa memikir ganjaran kebendaan, kedudukan, nama dan gelaran. Apa yang paling diharapkan hanyalah keredhaan dan rahmat Allah SWT jua.

Kedua, setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Hijrah tidak mungkin berlaku tanpa adanya pengorbanan harta hatta nyawa. Inilah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para Sahabat, sama ada tua ataupun muda dan sama ada Muhajirin (yang berpindah dari Makkah) ataupun Ansar (penduduk di Madinah).

Ketiga, kejayaan Hijrah adalah hasil dari kerapian persiapan dan perancangan. Sebelum mengarahkan Hijrah ke Madinah, dua ekspedisi diutus ke Habsyah sebagai persiapan. Pergerakan dan laluan hijrah juga diatur kemas dalam semua perkara demi mengelakkan kegagalan. Maka, setiap perjuangan perlu terancang rapi, teliti, strategik dan berkesan.

Keempat, Hijrah mengajar kita agar berdisiplin dan berhemah dalam perjuangan. Paling utama adalah ketaatan kepada kepimpinan dan menjaga adab apabila berbeda pandangan. Kebenaran yang tidak tersusun dan tidak berdisiplin akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang kemas berperaturan. Kelima, pengukuh utama sesebuah gerakan adalah ikatan persaudaraan dan kasih sayang. Hijrah terhasil daripada wujudnya hubungan silaturrahim luarbiasa di antara pendokong gerakan dan rakyat; pemimpin dan pengikut; tua dan muda; kaya dan miskin; serta Islam dan bukan Islam.

Sayugia kita ingati bersama, rakyat kini mendambakan KEADILAN dan Pakatan Rakyat kuat dan istiqamah (konsisten). Hanya dengan ini perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman Umno dan BN dapat dijayakan, Insya-Allah. Semoga ibrah dari Hijrah ini dapat kita jadikan panduan dan pedoman. Adalah suatu hakikat, mengurus nafsu diri itu lebih sukar dari sebuah peperangan.

Nota: Penulis adalah ketua penerangan PKR. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS