Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan akan meminda rang undang-undang perhimpunan aman yang mencetus kontroversi kerana didakwa bertujuan menyekat kebebasan rakyat.

Usul pindaan berkenaan akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz ketika perbahasan di peringkat jawatankuasa Dewan Rakyat hari ini.

Usul pindaan berkenaan melibatkan Fasal 9(1) untuk meminda tempoh yang ditetapkan kepada penganjur untuk memberikan notis mengadakan perhimpunan kepada polis daripada 30 kepada sepuluh hari.

Fasal 12(1) rang undang-undang tersebut turut dipinda untuk memendekkan tempoh untuk polis memaklumkan kepada pihak berkepentingan berhubung perhimpunan tersebut – daripada daripada 48 jam kepada 24 jam.

Tempoh untuk pihak berkepentingan membuat bantahan kepada polis ke atas notis perhimpunan berkenaan pula dipendekkan daripada lima hari kepada 24 jam, menurut usul pindaan ke atas Fasal 12(2).

Selain itu, tempoh untuk polis memberikan respons ke atas bantahan berkenaan juga dipendekkan daripada 12 hari kepada lima hari, menurut pindaan ke atas Fasal 14.

Pindaan ke atas Fasal 16 pula memendekkan tempoh rayuan yang dikenakan ke atas penganjur perhimpunan untuk membuat rayuan kepada menteri.

Rayuan berkenaan adalah berhubung sekatan dan syarat perhimpunan oleh polis yang turut melibatkan tarikh, masa, tempat dan cara perhimpunan.

Kerajaan bagaimanapun tidak meminda kuasa yang luas dalam rang undang-undang berkenaan yang mencetus bantahan keras pelbagai pihak kerana mengharamkan semua bentuk demonstrasi jalanan.

ADS